Friday 22 July 2011

Keanehan politik Pas


SEBENARNYA, kita terutama umat Islam tidak perlu terkejut dengan tindakan Kerajaan Pas Kedah yang mengubah pendirian berhubung larangan ke atas 13 jenis pusat hiburan di negeri itu sempena Ramadan.

Tindakan mengubah pendirian itu hanyalah contoh kecil bagaimana Pas kini sanggup mengorbankan apa sahaja demi kepentingan politik merebut kekuasaan bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Hakikatnya, perubahan keputusan yang dibuat tidak sampai 24 jam itu juga adalah antara beberapa tindakan ‘aneh’ Pas dalam politik sejak selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu.

Dalam perbualan penulis dengan beberapa penyokong Pas, mereka yang semakin tidak berpuas hati dengan corak kepimpinan dan hala tuju parti itu menggariskan beberapa tindakan Pas yang mereka lihat semakin ‘aneh’.

Keadaan itu berlaku kerana Pas kini sudah benar-benar beriltizam untuk berkongsi kuasa memerintah negara bersama-sama dengan PKR dan DAP, biar pun terpaksa mengorbankan prinsip perjuangan sendiri.

Berikut penulis paparkan beberapa tindakan dan sikap Pas yang dianggap ‘aneh’ dan tidak lagi mencerminkan perjuangan dan identiti parti itu sebagai pejuang Islam – satu pendekatan yang suatu ketika dulu membantu Pas sampai ke tahap sekarang.

* Mengubah haluan Perjuangan – jika suatu ketika dulu Pas begitu beria-ia hendak menubuhkan negara Islam tetapi kini ia sudah berubah kepada negara berkebajikan.

Perubahan dasar ini menurut sumber dilakukan kerana kepimpinan Pas percaya perjuangan menegakkan negara Islam akan membantut impian parti itu untuk berkuasa bersama-sama PKR dan DAP.

Apatah lagi Pas memahami bahawa DAP sejak dulu lagi memang menentang keras penubuhan negara Islam dan ia sekali lagi ditegaskan oleh DAP melalui Pengerusinya, Karpal Singh dalam isu pusat hiburan di Kedah baru-baru ini.

Oleh itu bagi menjaga hati dan memastikan perjuangan negara Islam tidak menjadi duri dalam daging bagi hubungan di kalangan pakatan pembangkang maka perubahan dasar perjuangan pun dilakukan kepada negara berkebajikan.

* Semakin terhakisnya kepimpinan ulama – Keputusan pemilihan parti itu baru-baru ini sudah menampakkan dengan jelas bahawa keyakinan sebahagian besar penyokong Pas bahawa golongan ulama boleh membawa parti ke puncak kuasa semakin pudar.

Oleh itu mereka membuat keputusan memberi kemenangan kepada bukan ulama untuk menduduki jawatan-jawatan penting, biar pun Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah seorang ulama.
Malahan pemimpin Pas termasuk Abdul Hadi sendiri tanpa berselindung menegaskan kepimpinan yang terpilih adalah barisan pilihan raya.

Ia seolah-olah menggambarkan perasaan putus asa di kalangan sesetengah pemimpin dan ahli Pas untuk menaruh harapan kepada golongan ulama bagi mengarak panji-panji parti itu meraih kemenangan menawan Putrajaya bersama-sama PKR dan DAP.

Ketika ini sudah tidak ada lagi perhitungan apatah lagi perasaan membelek kembali sejarah bagaimana Pas ditubuhkan dan siapakah yang bertanggungjawab meletakkan parti itu pada tahap sekarang.

* Menolak kerjasama dengan UMNO tetapi sedia ‘tunduk’ kepada DAP. - Sejarah perjalanan politik negara sudah membuktikan bagaimana pemimpin dan ahli Pas menolak sebarang kerjasama dengan UMNO biar pun demi kepentingan orang Melayu dan umat Islam.

Sebaliknya, Pas bukan sahaja membuka pintu seluas-luasnya untuk menjalin kerjasama politik dengan PKR dan DAP tetapi juga bersedia ‘tunduk’ dengan kehendak kedua-dua parti berkenaan.

Semua itu berlaku kerana berdasarkan kepada pilihan raya umum 2008, Pas terlalu yakin kedudukan pembangkang kini semakin kukuh dan mampu menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.

Namun Pas sama sekali tidak mahu memikirkan bagaimana dalam kerjasama itu parti lebih banyak ruginya daripada untung.

Malahan walaupun Pas turut berkongsi kuasa di Selangor dan Pulau Pinang namun Pas tidak ada suara untuk menegakkan perjuangan berlandaskan Islam.

Ia kerana di kedua-dua negeri itu segala-galanya ditentukan oleh DAP manakala Pas hanya mengikut sahaja.
* Bersikap ‘double standard’ - Walaupun sebagai sebuah parti Islam, Pas sepatutnya menegaskan yang benar itu benar yang salah tetap salah, namun dalam banyak perkara Pas lebih banyak meletakkan kepentingan politik mengatasi segala-galanya.

Ia jelas apabila Pas turut bermati-matian mempertahankan pemimpin-pemimpin pembangkang yang terlibat dalam masalah moral.

Biar pun bukti semakin jelas dan nyata namun demi kepentingan politik kekuasaan, Pas sanggup bersekongkol dan mengeluarkan pelbagai kenyataan demi mempertahankan golongan berkenaan.

* Membiarkan diri diperalat - Demi kepentingan politik kekuasaan juga, Pas sanggup diperalatkan oleh PKR dan DAP serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sehaluan dengan pembangkang.

Ia terbukti apabila Pas terlibat dalam demonstrasi haram bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil.
Walaupun hakikatnya selama ini Pas sudah menang banyak kerusi termasuklah memerintah Kelantan sejak 21 tahun lalu, di Terengganu selama sepenggal dan kini di Kedah melalui satu pilihan raya yang telus dan adil, namun Pas tetap mahu bermain politik.

Justeru Pas bersedia berganding bahu dengan Pengerusi pertubuhan haram Bersih, Datuk S.Ambiga yang suatu dulu ditentang oleh parti itu kerana cuba menggugat kesucian agama Islam.

Tetapi Pas bersedia memaafkan Ambiga dengan menurunkan penyokong-penyokongnya ke jalanan. Jumlah penyokong Pas lebih ramai berbanding PKR dan DAP. Kedua-dua parti itu sememangnya bergantung kepada Pas sama ada dalam pilihan raya mahupun demonstrasi.

Demikianlah beberapa perkara berkaitan perjalanan politik Pas yang semakin aneh dari semasa ke semasa dan ia diketengahkan oleh kalangan mereka sendiri.

Sebagai kesimpulan fikir-fikirkanlah apa yang dicoretkan oleh seorang penyokong Pas dalam sebuah blog yang menyokong parti berkenaan.

Antara lain individu tersebut bertanya;
‘‘Kenapa Pas dah lari daripada matlamat dan perjuangan yang asal? Mana matlamat nak membentuk sebuah negara Islam? Apa yang dah berlaku?

‘‘Kenapa semuanya berubah bila bergabung dengan PKR? Adakah Islam digunakan sebagai alasan politik Pas semata-mata? DAP tetap dengan perjuangan mereka, perjuangan yg bertentangan dengan Pas, tetapi kenapa hingga hari ini Pas hanya tutup mata? Adakah ini semata-mata untuk meraih undi daripada kaum lain sehingga sanggup membelakangkan perjuangan asal… apa dah berlaku dalam Pas ni?

Terserahlah kepada pemimpin-pemimpin Pas menjawab persoalan ini, apa yang pasti pendekatan politik parti itu kini semakin merugikan mereka.

sumber