Friday 26 August 2011

PBT Alor Setar cadang tutup operasi pasar malam 30 minit ketika Maghrib

August 26, 2011

ALOR SETAR, 26 Ogos ─ Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bercadang melaksanakan pemberhentian sementara operasi pasar-pasar malam selama 30 minit ketika solat Maghrib.

Datuk Bandar Alor Setar Datuk Mat Noh Ahmad berkata cadangan itu melibatkan penutupan selama 15 minit sebelum Maghrib dan 15 minit selepas Maghrib bagi membolehkan peniaga dan pembeli menunaikan solat Maghrib dan menghormati waktu solat.

Beliau berkata untuk permulaan pihaknya akan berjumpa dan berbincang dengan peniaga-peniaga di Pasar Malam Pantai Johor di sini berkaitan dengan cadangan penutupan sementara waktu perniagaan di pasar malam itu.

“Kita akan mulakan di pasar malam itu dahulu memandangkan pasar malam itu berhadapan dengan masjid,” katanya dipetik Bernama Online.

Beliau berkata jika berjaya dilaksanakan, pihaknya akan melaksanakan kaedah itu di pasar malam lain yang berhampiran surau atau masjid.

“Di tempat-tempat lain, kita perlu tengok kelengkapan dan kemudahan yang ada. Mungkin kita akan memasang khemah atau meletakkan tikar secara sementara di samping menyediakan tempah wuduk kepada mereka. Ini cadangan kita,” katanya.

Sementara itu, Mat Noh berkata sebanyak 30 kes melibatkan gerai dan kedai makan Melayu dikenakan tindakan kerana memulakan operasi perniagaan sebelum pukul 3 petang di sepanjang Ramadan ini.

“Mereka bukan sahaja berniaga di kedai dan juga gerai-gerai tepi jalan malah terdapat peniaga yang cuba mengaburi mata kita dengan berniaga di dalam kereta. Kita telah merampas semua barang mereka (peniaga) yang ingkar dan mereka perlu membayar kompaun sebanyak RM300. Selepas membayar kompaun, barulah kita memberi semula barang-barang mereka,” katanya.

Daripada 30 kes, terdapat empat kes berulang dan bagi kesalahan berulang, peniaga yang melanggar arahan perlu membayar kompaun tetapi barang yang dirampas tidak akan diberi semula.

“Ini adalah sebagai pengajaran kepada orang Islam supaya menghormati bulan puasa. Antara tangkapan adalah di kawasan Alor Setar, Kuala Kedah, Pokok Sena, Simpang Empat dan Anak Bukit,” katanya.

No comments:

Post a Comment