Monday 24 October 2011

Orang tengah hanya kaut untung

ALOR SETAR - Kerajaan Pusat digesa bertindak segera membatalkan lesen belian padi penimbang besar melalui orang tengah serta skim beras subsidi kerajaan (Super Tempatan ST 15%) demi kebaikan pengguna.

Pengerusi Persatuan Pengilang-pengilang Beras Cina Melayu Kedah, Datuk Chew Giok Kun berkata, tindakan berkenaan perlu dilakukan kerana kewujudan orang tengah hanya sekadar mengaut keuntungan melalui dua hasil komisen daripada petani serta pengilang beras.

Menurutnya, petani akan mendapat keuntungan yang lebih tinggi sekiranya hasil padi mereka dijual secara terus kepada kilang tanpa menggunakan khidmat orang tengah untuk melakukan urusan berkenaan.

“Jika orang tengah terus dibiarkan menguasai perniagaan ini tidak mustahil akan menimbulkan pelbagai masalah lain dan turut menjejaskan sumber pendapatan pengilang beras bersaiz sederhana untuk membeli hasil padi.

“Orang tengah bukan sahaja membeli hasil padi daripada petani dengan harga lebih rendah tetapi dalam masa yang sama meminta komisen tinggi kepada kami termasuk caj tidak sepatutnya antara RM100 hingga RM150 termasuk kos pengangkutan,” katanya kepada media di sini, semalam.

Giok Kun berkata, kapasiti kilang yang dilengkapi pelbagai peralatan moden di Kedah dan Perlis turut melebihi hasil keluaran padi dan tidak akan timbul sebarang masalah sekiranya lesen belian padi penimbang besar dimansuhkan.

“Kami sudah tidak sanggup untuk menanggung bebas kos operasi yang terlalu tinggi kerana terpaksa membayar komisen bagi menguntungkan orang tengah sedangkan golongan petani tidak dapat menikmatinya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia, Marzukhi Othman berkata, kilang beras mampu membeli sekitar satu juta metrik tan padi namun hasil padi yang mampu dikeluarkan di kedua negeri ini sekitar 550 ribu tan metrik sahaja.

“Terdapat 14 pemegang lesen penimbang belian padi penimbang besar sedang bergerak aktif membeli hasil padi daripada petani di dua negeri ini termasuk Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan ada antaranya dikesan pernah wujud pada 1974.

“Kebanyakan pemegang lesen ditaja oleh kumpulan kilang beras swasta besar yang memerlukan bekalan padi dalam kuantiti banyak dan kilang bersaiz besar ini turut dibina bersebelahan kilang beras bersaiz sederhana dan ini menimbulkan persaingan,” katanya.

Menurutnya, mereka turut mencadangkan kepada kerajaan supaya setiap kilang beras diberi kuota belian padi mengikut nisbah supaya tidak timbul monopoli pembelian padi secara berleluasa antara kilang serta mampu menawarkan harga terbaik dalam pasaran.

“Kerajaan pusat juga perlu memansuhkan skim beras subsidi kerajaan (ST 15%) kerana walaupun sudah lama dilancarkan namun tidak sampai ke tangan penerima yang sepatutnya sehingga menimbulkan rungutan daripada orang ramai.

“Kami pernah mencadangkan supaya kupon penerima skim beras subsidi kerajaan diperkenalkan namun tidak mendapat perhatian dan disebabkan itu ada segelintir pemborong tidak bertanggungjawab membeli beras ST 15% secara pukal kemudian menukar jenama sebelum menjual kembali beras dengan harga lebih rendah,” katanya.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia, Mohamad Zaini Ahmad.

No comments:

Post a Comment