Friday 15 February 2013

Keangkuhan PAS Kedah sama dengan DAP P.Pinang

Umno Kedah menyifatkan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak angkuh apabila mengugut kerajaan pusat membayar RM100 juta supaya menghentikan penebangan balak di negeri itu. Pengerusi Umno negeri, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, tindakan Azizan boleh dianggap tidak mengenang budi kerajaan pusat yang memberi banyak bentuk bantuan kepada Kedah yang ditadbir pembangkang. "Azizan boleh tergamak mengugut kerajaan pusat.



 Sikap seperti ini tidak patut ada pada seorang Menteri Besar," katanya mengulas kata dua Menteri Besar itu semalam yang akan terus menebang balak dalam kawasan hutan simpan jika kerajaan pusat enggan membayar pampasan RM100 juta setahun. Dalam satu kenyataan kepada media di sini semalam, Ahmad Bashah berkata Azizan sewajarnya menyelesaikan isu itu melalui musyawarah atau perbincangan dengan kerajaan pusat dan bukan dengan membuat ugutan.

 "Saya lihat cara terbaik ialah melalui perbincangan jika benar bahawa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah membuat perjanjian lisan pada satu ketika dulu ketika isu balak di Kedah hangat diperbualkan. "Dalam soal ini Azizan mewujudkan dua isu iaitu mengugut supaya dibayar RM100 juta dan satu lagi penebangan balak. Saya lihat tindakan Azizan adalah bagi menghalalkan tindakan rakus kerajaan negeri menebang balak," katanya.

 Ahmad Bashah berkata, Azizan membangkitkan soal bayaran bagi melepaskan dirinya daripada kritikan menggunung orang ramai tentang tindakan buruk kerajaan menggondol bukit di Baling dan Padang Terap bagi pengambilan balak. "Strategi Azizan agak mudah. Apabila kerajaan pusat enggan melayan tuntutannya, Menteri Besar itu berkata akan terus menebang balak dan boleh menyalahkan kerajaan," katanya. Mengulas kenyataan Azizan bahawa beliau tidak peduli luahan staf Kolej Universiti Insaniah (Kuin) mengenai nasib mereka dan kemelut pentadbirannya,

 Ahmad Bashah berkata, sikap 'tidak tahu dan tidak peduli' Menteri Besar itu sebenarnya melambangkan kelemahan kerajaan negeri pimpinan Pas. Staf Insaniah menderita dengan pelbagai masalah seperti bayaran pinjaman kepada bank tidak dibuat, KWSP tidak dicarum dan pelbagai masalah lain. "Bagaimana hendak selesai masalah jika semua pihak tidak mahu bertanggungjawab," katanya sambil menambah masalah Kuin tidak akan selesai tanpa campur tangan Menteri Besar.

 Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, Azizan cuba mengalih perhatian rakyat daripada isu sebenar iaitu pembalakan rakus oleh Pas Kedah di Tasik "Tuntutan itu tidak boleh dilayan kerana ia hanya perjanjian lisan. Azizan sendiri tidak terlibat dalam perjanjian tersebut," katanya kepada pemberita selepas taklimat pelaburan Kedah di Hotel Holiday Vila di sini hari ini. Mukhriz, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, berasa pelik dengan Azizan kerana sebagai Menteri Besar beliau tidak wajar mengeluarkan kenyataan seperti itu.

 "Takkan dia tak tahu mengurus tadbir kerajaan negeri tidak boleh berpegang kepada perjanjian lisan. Tambahan dia sendiri tidak terlibat. Dari mana dia dapat maklumat ini sampaikan berpegang pada lisan sebagai perjanjian," katanya. Mukhriz berkata, tuntutan itu menunjukkan Azizan tidak mempunyai fokus terhadap isu dan masalah kegiatan penebangan balak bernilai tinggi dengan alasan membuka ladang buah-buahan walaupun dibantah rakyat.

 Katanya, lapan orang Menteri Besar sebelum ini tidak sanggup melakukan aktiviti itu namun Azizan menggunakan taktik menyalahkan pihak lain bagi menutup kerakusan pembalakan itu. Mukhriz berkata, bekas Menteri Besar Datuk Seri Syed Razak Syed Zain pernah mencadangkan pembalakan dalam air Tasik Pedu tanpa menjejaskan alam sekitar dan pelancongan tetapi dibantah Azizan. Beliau juga menyoal ke mana duit hasil balak akan digunakan kerana sebelum ini kerajaan pusat memberi RM150 juta untuk menyelenggara jalan negeri tetapi hanya RM60 juta yang dibelanjakan dan bakinya tidak diketahui ke mana hilangnya.

No comments:

Post a Comment