Friday 22 July 2011

NGO bantah hukuman gantung enam siswa Kuin.




ALOR SETAR - Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) akan membuat petisyen mengutip sokongan mahasiswa, tokoh akademik, badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli politik sebagai bantahan terhadap hukuman gantung pengajian dan denda yang dijatuhkan ke atas enam penuntut Kolej Universiti Insaniah (Kuin) Kedah.

Pengerusi SMM, Ahmad Syukri Ab Razab berkata, petisyen itu akan digerakkan oleh gabungan pertubuhan mahasiswa yang bersatu di bawah nama SMM seperti Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma), Pro Mahasiswa (Pro M), Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi), Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), dan Malaysia Youth And Student Democratic Movement (Dema) demi menuntut keadilan terhadap kegagalan Kuin memberi ruang amalan demokrasi di institusi itu.

Justeru, Ahmad Syukri menjelaskan petisyen itu dilancarkan bermula semalam bagi mendapat sokongan mahasiswa, tokoh akademik, NGO dan ahli politik dan sekurang-kurangnya 100 tanda tangan disasarkan bagi melengkapkannya.

“SMM amat kesal dengan apa yang berlaku terhadap enam penuntut Kuin yang dikekalkan hukuman walaupun hanya mempraktikkan ruang berdemokrasi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Ahmad Syukri berkata, SMM bakal mengadakan konvoi ke Kuin dalam masa terdekat yang disertai pimpinan mahasiswa dari Lembah Klang.

Menurutnya, konvoi itu bertujuan mengadakan pertemuan dengan pengurusan Kuin sekali gus menyerahkan petisyen yang dikumpulkan.

“SMM juga akan menyerahkan petisyen ini terus kepada Menteri Besar Kedah selaku Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Kuin untuk memberi konsultasi kepada Rektor Kuin mengenai prinsip menghormati demokrasi,” katanya.

Ahmad Syukri berkata, mahkamah perlu dijadikan pilihan terakhir enam mahasiswa terbabit kerana proses itu akan menyebabkan keadaan menjadi lebih rumit dan melibatkan kos besar.

“Bagaimanapun, SMM bersedia menyediakan khidmat guaman sekiranya enam mahasiswa terbabit nekad untuk mencabar isu ini di mahkamah,” katanya

sumber

No comments:

Post a Comment