Monday, 23 May 2011

SEKOLAH BUKAN TEMPAT BERPOLITIK

PENDANG – Hampir 20 Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat (PR) Pendang dengan gabungan Pemuda Pas Pendang dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) serta satu badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) membuat laporan polis kerana membantah penggunaan premis sekolah untuk tujuan politik oleh Pemuda UMNO Pendang semalam.

Sinar Harian difahamkan Pemuda UMNO Bahagian Pendang menggunakan dewan Al-Marbawi Sekolah Menengah Kebangsaan Pendang pada jam 3 petang untuk perasmian mesyuarat agung perwakilan Pemuda UMNO Bahagian.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas kawasan Pendang, Abd Ghafur Syukur berkata, sejak dua tahun kebelakangan ini, UMNO sering menggunakan premis sekolah untuk aktiviti politik mereka .
“Tahun lalu Pemuda UMNO Bahagian Pendang turut menggunakan dewan Sekolah Menengah Tengku Temenggung untuk tujuan politik dan kali ini turut menggunakan dewan sekolah untuk politik mereka,” katanya kepada Sinar Harian selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pendang.

Sementara itu, wakil ketua Angkatan Muda Keadilan Pendang, Mohd Zaki Razak, beliau juga menerima rungutan daripada ibu bapa yang tidak berpuas hati sekolah digunakan untuk tujuan politik dan kegiatan ini bertentangan pekeliling yang dikeluarkan Jabatan Pelajaran Negeri Kedah pada 2008.

“UMNO Bahagian Pendang berterusan menggunakan dewan Al-Marbawi sekolah itu untuk tujuan politik dan sebelum ini pada minggu lepas UMNO Bahagian Pendang turut menggunakan dewan yang sama untuk tujuan politik (mesyuarat Wanita).

“Sekretariat Pemuda mengharapkan premis pendidikan tidak disalahgunakan demi menjaga mutu pendidikan,” katanya.
Katanya, sekretariat mempersoalkan penggunaan dewan sekolah untuk tujuan politik sedangkan banyak lagi dewan yang boleh disewa seperti dewan serba guna, dewan Pendang Lake Resort dan banyak lagi.

“Jabatan Pelajaran Negeri Kedah didesak menjelaskan secara khusus sama ada program politik dibenarkan dianjurkan dalam kawasan sekolah dan kami juga meminta Pejabat Pendidikan Daerah serta Kementerian Pendidikan mengambil tindakan serius terhadap perkara ini kerana kami tidak akan benarkan masa depan anak-anak dipolitikkan,” katanya.
Wakil SAMM, Mohd Zuhairi Khamis berkata, sambutan hari guru NGO itu telah dicemari dengan propaganda politik UMNO Barisan Nasional.

“Jika ingin berpolitik pergilah ke tempat yang sepatutnya dan bukan di sekolah dan saya minta Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil tindakan serta berlaku adil supaya tidak berulang lagi di mana-mana sekolah selepas ini,” katanya.

3 comments:

  1. berkunjung disni sahabatku :)

    ReplyDelete
  2. betul3...sy setuju..sekolah bukan tmpat utk berpolitik...

    ReplyDelete