Saturday 4 February 2012

BR1M Umpan Rakyat Hadir Ceramah BN

BR1M yang dilancarkan oleh UMNO BN dengan memberikan bantuan RM500 kepada warganegara Malaysia yang berpendapatan RM3000 ke bawah. Pemimpin BN mendakwa bahawa bantuan ini adalah untuk meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat.

Pakatan Rakyat pula mengatakan ini adalah umpan untuk pilihanraya yang semakin hampir. Walaupun pemimpin UMNO BN mengatakan bahawa ia bukan tujuan politik, tetapi rakyat tahu bahawa ini adalah umpan untuk rakyat undi BN dalam pilihanraya akan datang.

Disebalik bantuan ini juga, BR1M juga dijadikan misi dan umpan untuk memudahkan BN mengumpulkan lebih banyak pendengar hadir ke ceramah-ceramah ajuran mereka.

Caranya dengan menghantar SMS kepada bakal penerima bantuan untuk hadir di tempat yang dinyatakan dan mendengar amanat pemimpin yang hadir sebelum di berikan baucer RM500.

Jika diamati, memang sejak BR1M ini diperkenalkan, di mana sahaja program atau ceramah anjuran UMNO BN diadakan, berduyun-duyun rakyat tidak kira bangsa hadir ke program tersebut.

Seorang rakan sanggup memohon cuti semata-mata untuk mendapatkan bantuan RM500 itu. Tetapi rakan tersebut hampa kerana tidak dapat baucer yang dijanjikan akibat timbul masalah semasa pemberian tersebut diberikan.

Walau apapun yang berlaku, taktik BN ini berjaya menarik minat ribuan orang untuk hadir di mana-mana sahaja ada program BR1M di seluruh negara. Mereka hadir bukan untuk mendengar amanat pemimpin, tetapi tujuan mereka adalah untuk mendapatkan bantuan tersebut.

Apa yang tidak pasti, adakah rakyat akan terpedaya dengan taktik dan umpan yang diberikan oleh BN. Tunggu dan lihat selepas PRU 13 nanti.

Oleh : Mus (malaysiadaily.net)

No comments:

Post a Comment