Saturday 12 November 2011

Banjir: YSB sedia RM50,000


Oleh : ROSNANI SAAD [Sinar Harian]
bot
ALOR SETAR - Sejumlah RM50,000 diperuntukkan Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) sebagai persediaan awal menghadapi banjir di negeri ini termasuk menyediakan barangan keperluan harian kepada mangsa.

Pengerusinya, Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim berkata, peruntukan itu dijangka mampu menampung keperluan kira-kira 500 orang untuk tempoh tiga hari.

Beliau berkata, sebahagian daripada peruntukan itu akan digunakan untuk membeli makanan dan barangan keperluan asas termasuk susu serta lampin pakai buang untuk kanak-kanak.

“Malah kita sudah berhubung dengan beberapa rangkaian kedai untuk membekalkan barangan keperluan jika banjir berlaku.

“YSB turut membeli sebuah bot ringan yang dilengkapi enjin dianggarkan bernilai RM13,000 untuk memudahkan bantuan dihulurkan kepada mangsa banjir,” katanya.

Menurutnya, YSB mengambil inisiatif menubuhkan pasukan YSB Support Team dianggotai 30 ahli dari seluruh daerah di negeri ini sebagai satu lagi persediaan menghadapi bencana itu.

“Mereka terdiri daripada individu yang sudah mempunyai pengalaman menghadapi bencana alam dan remaja yang akan diberikan latihan asas termasuk cara mengendalikan bot serta sokongan daripada kumpulan pacuan empat roda dan radio amatur.

“Pengalaman banjir besar pada tahun lalu membolehkan kita membuat persediaan awal supaya sekiranya banjir berlaku sekali pada tahun ini,” katanya.

Terdahulu, Tunku Puteri Intan Safinaz berkenan melancarkan penubuhan YSB Support Team dan bot bantuan bencana.

Beliau juga menyerahkan bendera kepada pasukan YSB Sharpshooter yang akan bertanding dalam Kejohanan Dunia Asia Paintball 2011 di Langkawi, yang dijadual bermula esok.

Pada majlis sama, beliau menyampaikan RM10,000 untuk 36 mangsa ribut di Yan penghujung bulan lalu kepada Pegawai Daerah Yan, Zahari Ismail serta sumbangan kepada dua keluarga mangsa kebakaran di Taman Bersatu, Kuala Kedah.

No comments:

Post a Comment