Wednesday 2 November 2011

Kedah buat persiapan rapi hadapi kemungkinan banjir

Ditulis oleh AMELIA HASHIM

ALOR SETAR, 2 November: Kerajaan Negeri giat melakukan persediaan bagi menghadapi banjir yang diramalkan akan lebih besar berbanding tahun lalu dengan membeli 16 buah bot disamping bot-bot dari Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Polis Diraja Malaysia.

Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak menjelaskan, kedatangan banjir tahun lalu menyebabkan sedikit kelam kabut kerana penduduk tidak bersedia berikutan tidak menduga air naik dengan pantas. Walaupun begitu Kerajaan Negeri mengambil tindakan segera dengan membuka bilik gerakan di tiap-tiap daerah dan semua masalah dapat diatasi.

Menurutnya, bot-bot berkenaan akan diagihkan kepada semua daerah dan daerah yang diberi keutamaan ialah yang sering dilanda banjir seperti Padang Terap, Kubang pasu, Pendang dan Pokok Sena.

“Jangan bimbang semua daerah akan mendapat bot dan keutamaan akan diberi kepada daerah-daerah yang sering dilanda banjir,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darulaman.

Katanya, bot-bot jenis ini ringan kerana diperbuat daripada aluminium dan sesuai dengan suasana banjir yang kedalaman air berbeza mengikut tinggi rendah kawasan berkenaan.

Beliau juga memberitahu, bot-bot ini tidak ada injen dan menggunakan pendayung dan senang dipindahkan dengan cara mengangkat mengikut kesesuaian tempat beroperasi.

Sehubungan itu beliau menjelaskan bantuan yang diperlukan terbahagi kepada dua bentuk iaitu bantuan tebatan banjir dan bantuan kecemasan.

“Tahun lepas kita peruntukan RM3 juta dan tahun ini mungkin sekitar jumlah itu tetapi terletak kepada banjir itu sekiranya sama dengan lepas ataupun lebih besar,” katanya bagi menjawab soalan media yang ingin tahu mengenai jumlah yang diperuntukan.

Mengenai sebab-sebab berlakunya banjir beliau menegaskan, tahun lepas ada pihak-pihak yang menyanggah pendapat kerajaan negeri iaitu pembinaan landasan keretapi berkembar sedikit sebanyak telah menyumbang kepada berlakunya banjir apabila tanah-tanah yang ditimbun telah menutup laluan air.

“Pendapat kita disanggah oleh pusat, kita tahu outlet dalam jalan itu menyebabkan banjir bila tebuk lubang air banjir kering. Itu saja kita tengok sekarang Double Trecking tak ada masalah lagi. Kalau ada masalah depa ambil tindakan. Ini kerana ada kerjasama,” katanya.

Untuk itu, katanya, kerajaan melalui Setiausaha Kerajaan Negeri dipanggil menghadiri mesyuarat khas persediaan banjir oleh Majlis Keselamatan Negara Jabatan Perdana Menteri di Kuala Lumpur.

Ini adalah langkah kerjasama pihak kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Bagi peringkat negeri pula setiap daerah telah membuat persiapan dengan memberi taklimat kepada Penghulu, Majlis Komuniti Ketua Kampong (MKK) dan Jawatankuasa Keselamatan Kampung.

No comments:

Post a Comment