Wednesday 9 November 2011

Halang maksiat, seks bebas cegah buang bayi

harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Nov: Undang-undang dan pusat-pusat pemulihan yang ada pada hari ini tidak memadai bagi menyedar dan menakutkan mereka yang terus bergelumang dengan dosa dan noda membuang bayi.

“Saya percaya, undang-undang dan pusat-pusat pemulihan tidak memadai bagi menyedar dan menakutkan mereka daripada terus bergelumang dengan dosa dan noda, tetapi kekuatan suara masyarakat awam mengecam dan memandang jijik perbuatan tidak senonoh mereka yang berzina dan tidak bertanggungjawab itu boleh membuat mereka berfikir dua kali untuk melakukannya,” kata Ketua Wanita dan Keluarga Isma Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Norsaleha Mohd Salleh dalam satu kenyataan.

Beliau merujuk laporan Berita Harian bertarikh 7 Nov 2011 yang dipetik daripada hasil temuramah dengan Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin iaitu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman berkaitan 73 kes buang bayi yang dilaporkan sejak Januari hingga Ogos lalu melibatkan 44 bayi ditemui mati, manakala 29 masih hidup.

Daripada keseluruhan kes pembuangan bayi tahun ini, 26 daripadanya adalah lelaki, 30 perempuan selain 17 lagi tidak dapat dikenal pasti jantinanya kerana sudah reput.

Malah, semakan Berita Harian mendapati, sekurang-kurangnya 10 lagi kes pembuangan bayi dilaporkan sepanjang dua bulan lalu menjadikan jumlah keseluruhan kes tahun ini hampir menyamai 91 kes sepanjang 2010.

“Laporan ini perlu dipandang serius oleh seluruh lapisan masyarakat, ibu bapa, guru-guru, majikan dan badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan,” ujar Norsaleha lagi.

Katanya, tiba masanya semua agensi kerajaan, swasta dan badan agama berganding bahu membenteras gejala ini dengan melakukan berbagai-bagai-bagai tindakan yang boleh mencegah dan mengawal daripada terus bertambah parah.

Menurutnya, kesatuan suara yang ditunjukkan oleh berbagai-bagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), swasta dan badan kerajaan dalam menangani sesuatu isu dan kes seperti isu seksualiti merdeka dilihat telah berjaya menarik perhatian masyarakat dan pihak berkuasa untuk membuat tindakan yang sewajarnya.

“Hari ini, saya menyeru semua NGO, badan-badan agama untuk mengambil posisi membuat desakan demi desakan bagi memerangi gejala buang bayi yang tidak berperikemanusiaan ini,” ujarnya.

Beliau menambah, gejala seumpama itu boleh dikawal sekiranya semua masyarakat dan pihak berkuasa mengambil tanggungjawab menghalang segala bentuk maksiat dan kebebasan seksual yang amalkan oleh golongan muda mudi kita di tempat-tempat awam, pesta-pesta hiburan, hari kekasih, sambutan tahun baru dan lain-lain lagi.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan membuang bayi yang tidak berdosa dan menganggap perbuatan tersebut di luar norma kemanusiaan bahkan binatang sendiri tidak tergamak melakukan yang sedemikian.

“Oleh itu, saya menyeru seluruh masyarakat yang berbilang kaum dan agama untuk sama-sama mengutuk dan mengecam perbuatan tersebut dan perkara-perkara maksiat yang boleh membawa kepada tragedi buang bayi,” katanya

No comments:

Post a Comment