Thursday 15 September 2011

Hadiah NAJIB untuk Hari Malaysia - Harga ayam terus naik


Harga ayam terus naik

PENDANG – ‘Jualan ayam semakin merosot’. Itulah luahan hati beberapa peniaga di Pasar Pendang kepada Sinar Harian ketika tinjauan di situ berikutan harga ayam mentah terus naik berturut-turut selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu.

Kenaikan harga berterusan selepas sambutan perayaan tidak dijangka peniaga dan pembeli memandangkan harga pelbagai jenis barang lain naik ketika musim perayaan.

Peniaga, Nor Shahidan Mansor, 34, berkata, jualan ayam kini semakin merosot sejak kenaikan harga ayam yang berturut-turut iaitu sebanyak 90 sen selepas sambutan hari raya.

“Peniaga terpaksa menjual ayam dengan harga RM9 sekilo apabila harga ayam terus naik iaitu harga ayam naik selepas raya sebanyak 40 sen dan kelmarin harga ayam naik pula sebanyak 50 sen.

“Kami terpaksa menjual dengan harga tinggi memandangkan harga yang diambil kepada pemborong turut tinggi iaitu RM7.50 sekilo tidak termasuk kos memproses ayam, plastik dan gaji pekerja setiap hari,” katanya.

Menurutnya, selepas ditolak dengan semua kos terbabit keuntungan yang diperoleh peniaga adalah begitu tipis memandangkan dia terpaksa mengurangkan kuantiti jualan sejak jualan ayam merosot kebelakangan ini.

Seorang lagi peniaga, Abdullah Sani Abdul Razak, 44, berkata, peniaga tidak mengambil ayam dengan jumlah yang banyak daripada pemborong kerana sambutan terhadap jualan ayam semakin berkurangan sedangkan peniaga terpaksa mengeluarkan modal yang tinggi.

“Jumlah ayam yang diambil berkurangan sebanyak 50 peratus menyebabkan keuntungan setiap hari adalah tipis kerana pembeli akan membeli ayam dengan kuantiti yang sedikit contohnya sebelum ini mereka (pembeli) membeli seekor tapi sejak harga naik mereka hanya membeli sebelah ayam sahaja.

“Pengunjung membeli ayam tetapi membeli pada kuantiti yang sedikit sejak harga ayam naik kerana harga ayam yang tinggi bukan sahaja membebankan peniaga untuk mengeluarkan modal tinggi tapi turut membebankan pembeli,” katanya.

Abdullah berkata keuntungan bagi sekilo ayam diperoleh peniaga adalah tidak sampai 70 sen selepas ditolak semua kos dan kenaikan harga ayam ini tidak boleh berterusan memandangkan kenaikan ini turut tidak dimaklumkan kepada peniaga dan orang ramai.

Sementara itu, seorang pembeli, Nor Hasyimah Ibrahim, 33, berkata, kenaikan harga ayam membebankan pengguna kerana ayam merupakan bahan mentah yang sering dibeli.

“Saya tetap juga membeli ayam walaupun mengetahui harganya terlalu tinggi kerana anak-anak gemar makan ayam berbanding ikan namun terpaksa mengehadkan kuantiti pembelian daripada sebelum ini.

“Kenaikan harga ayam tidak sepatutnya berlaku kerana ia turut membebankan golongan berpendapatan rendah dan mungkin mereka terpaksa membeli ikan,” katanya.

No comments:

Post a Comment