Saturday 17 September 2011

Perghhh MAT BASHAH pekana 'toyu Cap Kipas Udang' nampak...dulu bukan main tak sokong ISA nie..!!


Mansuh ISA langkah tepat

 
 
ALOR SETAR - Umno Kedah menyifatkan langkah bersejarah dan berani Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) serta pindaan terhadap beberapa akta lain sangat tepat dan memenuhi situasi geopolitik semasa.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, langkah itu pasti disambut baik oleh rakyat.

Menurutnya, langkah itu bukan untuk mempopularkan kerajaan sebaliknya dilakukan atas dasar memenuhi aspirasi rakyat selaras dengan mendahulukan kehendak rakyat.

“Umno Kedah menyambut baik tindakan yang diumumkan oleh Perdana Menteri malam kelmarin.

“Syabas kepada Kerajaan Pusat kerana sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Ahmad Bashah berkata, dari sudut politik, Pakatan Rakyat (PR) seperti biasa akan menyuarakan ‘sesuatu yang tidak kena’ dengan pengumuman yang dibuat malam kelmarin.

“Walaupun rakyat menyokong tindakan itu, saya pasti pembangkang akan mengeluarkan pelbagai versi dan teori bagi memberi gambaran negatif komitmen kerajaan ke arah itu.

“Yang penting rakyat menyokong tindakan itu, biarkan pembangkang semakin terluka dengan pembaharuan dilakukan pentadbiran Najib,” katanya.

Malam kelmarin, Najib mengumumkan keputusan kerajaan memansuhkan ISA dan Akta Buang Negeri 1959.

Selain memansuhkan ISA, kerajaan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Kajian semula komprehensif itu akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

Kerajaan Pusat juga akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

Bagaimanapun, bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah bagi memelihara ketenteraman dan keselamatan awam, kerajaan akan menggubal dua undang-undang baru yang sesuai di bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.

No comments:

Post a Comment