Thursday 22 September 2011

‘Jom Kenduri Kampung’ di Pokok Sena


Kenduri Kampung Sinar Harian 23 September ini

POKOK SENA - Penduduk Jabi, Pokok Sena dan kawasan sekitar berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat Sinar Harian melalui program ‘Jom Kenduri Kampung’ apabila skuad promosi dan wartawan berhampiran akan turun padang di sana pada 23 September ini .

Program yang diadakan buat kali ketiga ini bertujuan mewujudkan persefahaman dan semangat kejiranan di kalangan penduduk yang terlibat, serta ruang untuk mengenali dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim di kalangan penduduk dan juga warga :Sinar Harian:.

Pengurus Kanan Operasi Utara Karangkraf Network Sdn Bhd, Rusmin Fadzil (gambar) berkata, aktiviti ini adalah di bawah program Karangkraf Peduli Muafakat.

Menurutnya, selain bermatlamat untuk terus mempromosi akhbar :Sinar Harian: sebagai akhbar komuniti, Karangkraf juga serius dalam mengeratkan lagi kerjasama dalam kalangan penduduk setempat.

“Kenduri kampung ini adalah kali ketiga dianjurkan dan sebelum ini kita sudah mengadakannya dengan kerjasama pemimpin setempat di Padang Terap, Kedah dan di Bertam, Pulau Pinang.

“Sinar Harian terus mengalu-alukan pemimpin di kawasan lain untuk mengadakan kerjasama dalam menganjurkan kenduri kampung di kawasan mereka,” katanya.

Program berkenaan diadakan dengan kerjasama Pejabat Khidmat Wakil Rakyat Ahli Parlimen Pokok Sena.

Sementara itu Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada Sinar Harian yang membawa satu pendekatan baik kepada masyarakat bukan sahaja di Parlimen Pokok Sena tetapi seluruh Kedah.

Menurutnya, ia satu usaha menghidupkan budaya saling membantu di dalam mewujudkan masyarakat harmoni dan menghormati sesama penduduk

No comments:

Post a Comment