Wednesday 16 November 2011

KASI PECAH!! KERAJAAN KEBAJIKAN KEDAH PAKAR MENGURUS EKONOMONEY



Kerajaan PAS Kedah Bentang Belanjawan Defisit

Kerajaan PAS Kedah pada Selasa membentangkan belanjawan 2012 defisit berjumlah RM1.008 bilion berbanding anggaran hasil RM550.8 juta.

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak semasa membentangkan belanjawan pada sidang Dewan Undangan Negeri, berkata RM570 juta akan diguna untuk perbelanjaan mengurus, RM259 juta untuk pembangunan dan RM179 juta bagi bekalan air.

Bagi belanja mengurus, sebanyak 38 peratus adalah untuk emolumen, bekalan dan perkhidmatan (19 peratus), pemberian dan kenaan tetap (38 peratus), pembelian aset (dua peratus) dan perbelanjaan lain (tiga peratus).

Bagi perbelanjaan pembangunan, 57.6 peratus adalah untuk projek infrastruktur, pertanian (12.96 peratus), pentadbiran (16.9 peratus) dan kemudahan sosial (13.84 peratus).

Azizan berkata hasil negeri bagi tahun 2012 dijangka meningkat 5.61 peratus kepada RM550.8 juta berbanding unjuran tahun ini, iaitu RM521.5 juta.

Empat strategi akan dilaksana bagi mencapai sasaran kutipan hasil tahun depan, iaitu meningkatkan pertumbuhan ekonomi dengan memperkasa sektor pertanian, meningkatkan kesejahteraan rakyat, meningkatkan modal insan dan memperkasa tadbir urus kerajaan negeri.

Azizan berkata kerajaan negeri juga menyambut baik pengumuman peruntukan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM420 juta untuk membangunkan Langkawi dan untuk itu satu pasukan petugas ditubuh bagi menyelaras dan menyusun semula pembangunan Pantai Cenang.

Selain itu, kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah juga akan memajukan 160 hektar kawasan industri di Kulim Hi-Tech Park dan 80 hektar di Bukit Kayu Hitam yang bakal meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini, katanya.

Mengenai kemasukan pelaburan dan bidang pembuatan, beliau berkata jumlah pelaburan yang diterima pada tahun 2010 ialah RM1.96 bilion dan sehingga Ogos tahun ini, pelaburan yang diterima ialah RM725 juta.

"Kerajaan negeri mengambil langkah untuk tidak meningkatkan Belanjawan 2012 bagi mengelakkan defisit yang besar serta membebankan kerajaan pada masa depan," katanya.

Azizan berkata kerajaan negeri juga bakal menerima hasil baru daripada aktiviti kuari bijih besi di beberapa daerah dan bayaran royalti lumayan akan diterima tahun hadapan, kata Azizan.

Beliau berkata bagi menghadapi banjir, kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM15.2 juta untuk melaksana projek tebatan banjir, pemuliharaan sungai dan menaiktaraf sistem saliran.

Dalam ucapan belanjawan itu, Azizan turut merakamkan ucapan tahniah kerajaan negeri kepada Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong untuk kali kedua untuk tempoh lima tahun berkuatkuasa 13 Dis ini.(Bernama)

1 comment:

  1. owhhh takde tmpt chit chat ek...
    tapi 'ganeh' blog ihiks...

    ReplyDelete