Showing posts with label AMANAT. Show all posts
Showing posts with label AMANAT. Show all posts

Sunday, 6 January 2013

Amanat : Kenyataan Tegas Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang


 KUALA TERENGGANU - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat kejutan dengan mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak akan menarik balik fakta ucapan kontroversinya yang dilabelkan sebagai Amanat Haji Hadi.

Beliau bertegas mahu diberi peluang untuk menjelaskan perkara sebenar berhubung dengan ucapan yang dibuatnya di Kampung Banggol Peradong, Manir, dekat sini, 32 tahun lalu.

Menurutnya, masyarakat perlu mendengar penjelasan beliau dahulu, sebelum menilai sendiri sama ada apa yang beliau ucapkan itu betul atau salah.

“(Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais (Yatim) tak nak bagi peluang (kepadanya menjelaskan perkara itu melalui siaran langsung RTM dan TV3).

"Itu hak dia, tetapi saya tetap dengan pendirian saya, supaya masyarakat berlaku adil kepada semua pihak. Hanya cara (memberi penjelasan melalui siaran langsung) itu boleh memulihkan keadaan, kerana kita (Pas) tiada media. Biar rakyat tahu dan jangan dengar sebelah pihak.

“Biar mereka nilai betul atau tidak. Televisyen perlu siarkan satu jam ucapan saya. Amanat itu pentingkan?" katanya di Masjid Abidin, di sini, selepas menziarahi makam bonda saudara Sultan Mizan, Tengku Zaleha Ismail binti Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang mangkat pagi semalam.

Pada 17 Disember lalu, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh menggesa Abdul Hadi menarik balik Amanat Haji Hadi.

Harussani berkata, selagi seseorang Islam itu mengucap dua kalimah syahadat, mengamalkan ajaran agama, orang itu tidak boleh dituduh kafir.

Wan Zahidi pula menyifatkan, amanat tersebut tidak memberi bahaya kepada Umno, sebaliknya ke atas Hadi sendiri.

Pendapat sama turut disuarakan Pengerusi Penerbitan Dakwah Islamiah Malaysia (Pedim), Datuk Mat Jahaya Hussin yang berharap semua pihak bercakap perkara yang benar sahaja.

Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula berkata ahli Pas hari ini sudah tidak mengamalkan amanat tersebut, namun Abdul Hadi wajar membuat penarikan semula sebagai pencerahan kepada masyarakat.

Gesaan yang sama turut dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia, Fathul Bari Mat Jahya, Ketua Penerangan Umno Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman, Pengarah Pusat Pemikiran Islam dan Peradaban Melayu, Shamsudin Munir dan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, antara lain.

Saya tidak label ucapan saya

Beliau berkata, beliau tidak pernah melabelkan ucapan dan kenyataan yang dibuat di Kampung Dong Perada pada 7 April, 1981 itu sebagai Amanat Haji Hadi.

"Saya tidak berikan nama amanat, tetapi orang lain yang berikan nama amanat. Mereka petik ucapan saya dan bentang dalam Dun.

"Saya akui ia memang ucapan saya, tetapi mereka (pihak berkuasa) hanya senyap selepas itu. Itu ceritanya. Kenapa mereka tidak hujah pada masa itu, tetapi 30 tahun kemudian?” kata Abdul Hadi, yang juga Ahli Parlimen Marang dan Adun Rhu Rendang.

Beliau turut menyanggah kenyataan Rais yang memutuskan tidak akan melaksanakan cadangan untuk mengadakan forum bagi membincangkan Amanat Haji Hadi menerusi RTM kerana penyiarannya menyalahi fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Fatwa Kebangsaan, pada 24 Julai 2002.

Sambil menempelak Majlis Fatwa Kebangsaan, Abdul Hadi mempertikaikan kenapa kenyataannya di Kampung Banggol Peradong itu didakwa bercanggah dengan ajaran Islam.

“Saya tidak menerima apa-apa surat daripada Majlis Fatwa Kebangsaan (mengenai perkara itu) dan saya cabar mereka (membuktikan mereka ada menghantar kepada beliau surat mengenainya).

"Mereka membuat keputusan untuk mengharamkannya tanpa memanggil saya memberi penjelasan.

“Saya tidak dengar. Surat rasmi pun tiada. Hanya atas angin. Berniaga pun tiada (dibuat) atas angin. Saya bercakap bukan kerana pilihan raya (sudah hampir) tetapi kerana akhirat. Kita semua akan mati, hanya tuhan yang akan menentukan siapa yang betul, siapa yang salah.

“Ada ke mereka (boleh) membuat keputusan tanpa bertemu dengan saya? Betul ke? Mereka menjatuhkan hukuman tanpa perbicaraan,” katanya.

Wednesday, 2 January 2013

Amanat Hadi!!!


KOTA BHARU - Pihak berwajib disarankan bertindak tegas sekiranya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang enggan tampil untuk sesi penjelasan di televisyen setelah menetapkan syarat kepada kerajaan.

Pengerusi Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran Umno Kelantan, Profesor Mohd Noor Deris berkata, Abdul Hadi wajar ditahan dan diambil keterangan seandainya beliau sengaja tidak hadir setelah meminta untuk bersiaran langsung bagi menjelaskan isu yang hangat diperkatakan itu.

Saranan Mohd Noor itu adalah berikutan Abdul Hadi sendiri yang menetapkan syarat untuk berdialog selama satu jam secara langsung menerusi televisyen dan tindakan tegas itu perlu kerana tidak mahu kesungguhan kerajaan dilihat sebagai mainan oleh Pas dalam isu Amanat Haji Hadi itu.

“Saya melihat Pas ini sudah mencabar banyak perkara, ini bukan perkara main-main, jika tidak hadir juga paksa dia datang, sekiranya tidak mahu pihak berkuasa boleh menahan dia serta disiasat mengikut undang-undang yang ada.


“Amanat Haji Hadi ini adalah sesuatu yang boleh membawa mudarat jika ia tidak ditangani dengan baik dan Abdul Hadi itu sendiri perlu jelaskan perkara tersebut kerana ia mengganggu metodologi politik Islam,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim untuk menjemput tokoh agama dan mufti negeri bersama sesi siaran langsung Mohd Noor yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas menegaskan, ia satu cadangan baik.

Katanya, perbincangan melibatkan tokoh ulama akan memberi kesan yang besar kepada dunia menerusi kupasan secara jelas apatah lagi boleh menghilangkan kekeliruan didakwa berhubung kait dengan tuduhan kafir sesama Islam ini.

“Isu Amanat Haji Hadi ini adalah satu cabaran yang besar kepada negara dan pihak berkaitan tidak boleh berdiam diri kerana dakwaan pegangan ke arah memesongkan ini boleh meracuni maruah, agama, keturunan, ekonomi serta minda,” katanya.

Sabtu lalu, Abdul Hadi meminta diberi peluang secara langsung selama satu jam untuk menjelaskan amanat yang dibuatnya pada tahun 1981 itu dan beliau bersedia bila-bila masa sahaja menghadirinya.

Tuesday, 1 January 2013

Kalau Amanat Hadi dibangkit kenapa Memali didiamkan


Mohd Sayuti Omar

Sebelum kita semua dibawa melangkah ke tahun baru masihi saya ingin melontarkan pertanyaan 'bodoh cerdik' kepada kita semua untuk dijawab secara senyap. Apa yang saya ingin kemukakan begini; kalau orang Umno mempertikaikan apa dinamakan 'Amanat Haji Hadi' dan meminta presiden PAS itu memohon maaf, apakah tidak boleh dipertikaikan tragedi Memali dan meminta orang terlibat dalam tragedi itu juga memohon maaf sama?
Kita tahu kenapa isu amanat ditimbulkan untuk dijadikan modal politik. Isu itu bukan berat seperti mana ditonjolkan kerana ia sudah lama berlaku. Sudah 31 tahun perkara itu timbul tetapi kenapa tidak pernah ambil serius untuk menyelesaikannya.

Barang kali betul apa yang diucapkan oleh bekas seorang ahli Parlimen asal Terengganu kepada saya dua hari lalu tatkala tersebut perkara itu. Katanya isu itu sudah lama berlaku dan tidak diselesaikan kerana ia dijadikan modal politik. Sebab itu bila setiap kali menjelang pilihan raya ia diungkitkan, begitulah ujarnya jujur.

Apa yang diucapkan bekas ahli parlimen pernah menjadi timbalan menteri itu ia menepati apa yang saya jangkakan sebelum ini. Amanat Haji Hadi adalah modal politik Umno.

Di sinilah tampak PAS jauh lebih baik berbanding dengan Umno. PAS lebih gentlemen dan tidak suka mengungkit-ungkitkan perkara yang sudah berlaku. Kalau PAS hendak berbuat seperti apa Umno lakukan, PAS juga boleh, sebab parti itu juga ada peristiwa yang tidak kurang juga menarik dan boleh menguntungkan parti itu kalau ia ditimbulkan apa lagi dieksploitasikan.

Isu itu ialah tragedi Memali yang berlaku pada 19 November 1985 yang mengakibatkan Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya ditembak mati bersama 12 orang penduduk Kampung Memali. Kejadian yang berlaku itu banyak menimbulkan kemisterian. Banyak perkara yang belum terjawab secara tuntas. Plot-plot yang dihidangkan kepada umum tidak logik dan meninggalkan simpulan tanda tanya besar di kepala dan sejarah.

Kalau diteliti kronologi peristiwa itu menjelaskan akan kesadisan pihak Polis di mana ini adalah tanggungjawab kerajaan UBN. Sebaliknya kalau dilihat dari versi polis yang jahat dan banduknya ialah Ibrahim Libya dan penduduk Memali. Akal manusia yang waras tidak menerima drama yang dinukilkan semula dari kejadian asal di Baling Kedah itu.

Sesuatu kejadian itu boleh diputar belitkan seperti mana video boleh disunting mengikut selera dan kehendak editor dan tuannya (producer). Seperti mana orang boleh bikin video mengenai Anwar Ibrahim melayan pelacur, maka begitu juga video Memali dulu. Ia tidak disiarkan dari versi aslinya terutamanya dramatik saat penduduk kampung dikepung kemudian ditembak.

Mengenai kejadian itu mungkin generasi muda yang baru lahir selepas atau ketika kejadian itu berlaku, tidak mengetahuinya. Mungkin mereka tidak pernah pun mendengar perkataan Memali. Sejarah mengenai Memali ini pun jarang diungkitkan. Ulang tahun kejadian itu tidak diperbesarkan, RTM dan tv nombor tiga tidak pernah memberi liputan. Rancangan dokumentari mengenainya di tv juga tidak menyorot secara jujur dan telus melainkan terus melumurkan lumpur dosa kepada al Syahid Ibrahim Libya dan pengikutnya.

PAS sendiri seakan sudah terlupa dengan tragedi kejam itu. PAS Kedah sendiri sejak menang dan memerintah Kedah rasanya tidak begitu ghairah mengangkat kejadian itu atau merai keluarga mereka yang syahid dalam kejadian itu. Ataupun saya tidak mengetahuinya? Setelah PAS memerintah Kedah rasanya elok kalau kerajaan PAS mendidikan sebuah memorial di tempat kejadian itu sebagai kenangan sejarah.

Masyarakat umum mesti hendak tahu kenapa meletus tragedi itu. Kenapa polis sampai jadi histeria menembak orang kampung yang hanya bersenjata peralatan sawah. Kenapa pembunuhan di Memali itu dilakukan ketika Mahathir Mohamad berada di China. Mesej apa yang hendak ditunjukkan? Apakah Musa Hitam yang ketika menteri dalam negeri sudah merasakan dirinya putih dengan kejadian itu?

Walaupun kertas putih mengenai tragedi itu sudah didedah di Parlimen, namun itu secara formal saja tetapi tidak menjawab persoalan sebenarnya. Saya juga ada sedikit akses dengan kejadian itu. Semasa bertugas dengan akhbar Minggu Islam, KDN melarangkan media massa membuat liputan mengenai kejadian itu. Semua penerbitan menerima surat larangan dan amaran berkenaan termasuk penerbitan kami.

Kenapa? Kalau kejadian itu ditangani dengan betul mengikut lunas undang-undang kenapa ada larangan dan amaran itu? Sesuatu yang buruk boleh disembunyikan pada masa kejadian tetapi tidak tahun-tahun selepasnya. Ahli sejarahwan akan menggali dan mencari jawaban sebenar.

PAS sebuah parti yang baik. Yang menerima kejadian itu seadanya seperti mana disampaikan kerajaan. Kalau hendak dikira PAS boleh membangkitkan isu berkenaan. Tetapi PAS tidak berbuat begitu.

Jelas berpandukan kepada dua kejadian ini - amanat Hadi dan Memali ia menunjukkan PAS sebuah parti yang baik. PAS tidak suka menjual barang lama dan menggunakan modal usang untuk laba politiknya.

Dari situasi ini sudah menjelaskan kepada rakyat mengenai hakikat politik hari ini. Apabila Umno terpaksa menjual modal lama yang telah basi nyata Umno tidak ada modal baru lagi untuk dijadikan tarikan kepada rakyat.

Tetapi kalau modal usang Amanat Haji Hadi itu terus diecer oleh Umno secara gila-gila PAS juga tidak mungkin boleh berfikir untuk ikut sama mengungkitkan tragedi Memali itu sebagai modal politik. Mungkin generasi lama sudah memaafi di atas pembunuhan itu tetapi generasi baru yang baru tahu akan kesadisan Polis dan kerajaan UBN termakan dengan isu berkenaan.