Showing posts with label tan sri musa hassan. Show all posts
Showing posts with label tan sri musa hassan. Show all posts

Saturday, 15 December 2012

PANAS!!! Norhashimah mohammad ikut jejak Musa Hassan






Memerdekakan polis dari gangguan Umno


Oleh Subky Latif

BETAPA polis dipandang rendah oleh masyarakat disebabkan gangguan orang politik telah didedahkan oleh Tan Sri Musa Hasan yang baru setahun jagung bersara dari Ketua Polis Negara.

Lebih dari sekali dia bersungut tentang campuran tangan orang politik mengganggu polis menjalankan tugasnya.

Jika sekadar sekali dua atau sekali sekala gangguan itu berlaku, tentu pegawai polis yang diketahui tinggi disiplinnya terhadap kerajaan tidak akan bersungut secara terbuka kepada umum.

Dia tidak menamakan orang politik mana yang campur tangan kerja polis itu, tetapi tentulah bukan PAS, PKR dan DAP walaupun kumpulan pembangkang itu sering mengkritik polis yang dikatakan tidak profesional menjalankan tugas.

Jika mereka yang mengganggu kerja polis itu sudah lama semua pemimpin pembangkang diseret ke mahkamah seperti yang dilakukan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pertuduhan menghalang polis menjalankan tugas. Sudah tentu ramai mereka telah dipenjarakan.

Siapa yang dituduh oleh Musa Hasan itu? Tentulah UMNO.


Memang persepsi umum merasakan orang kuat UMNO cawangan-cawangan lebih berkuasa dari Ketua Polis Daerah terutama dalam menangani urusan politik dengan pembangkang. Hingga payah hendak ditentukan sikap pihak berwajib terhadap Bersih yang tiga kali itu adakah keputusan polis atau keputusan UMNO?

Tujuan Musa membuat pendedahan itu bagi memulihkan persepsi rendah umum terhadap polis. Diakuinya pula, bukanlah senang hendak membetulkan semula imej polis disebabkan belenggu yang dihadapi polis itu bukanlah baru, bahkan sudah berlarutan.

Ada tanggapan Musa sudah dirasuk politik kerana dia menyatakan tidak puas hatinya itu pada saat UMNO/BN dikecam kiri kanan menjelang PRU13 ini. Hingga ada yang merasakan dia hendak masuk politik. Ada pula kononnya, ada parti politik mempelawa dia masuk politik.

Berkali-kali ditegaskannya dia tidak akan menyertai politik, tetapi apa yang dibuatnya sekadar mahu memebaskan polis dari gangguan politik tentunya UMNO dan mahu memulihkan persepsi buruk umum terhadap polis.

Musa memang mendapat perhatian dan sokongan masyarakat yang mahu semua perkhidmatan negara mendapat kebebasan profesional dalam menjalankan tugas masing-masing.

Ketika rencana ini ditulis belum ada reaksi rasmi kerajaan terhadap pendedahan Musa itu. Seperti sah sekarang polis dibelenggu oleh UMNO bagai persepsi kebanyakan orang bukan UMNO.

Adakah yang tidak suka dengan belenggu itu hanya Musa saja? Semua bekas polis dan anggota polis suka mereka dibelenggu? Mungkin orang yang dibelenggu itu tidak rasa mereka dibelenggu dan kalau dibelenggupun tidak mengapa kerana ia dilakukan oleh parti kerajaan. Kalau mereka tidak merasa malu kerana setia membabi buta kepada UMNO, tetapi polis Malaysia mesti malu kepada polis dunia yang negara masing-masing memberi kemerdekaan kepadanya berkhidmat secara profesional.

Kata Musa, bukan mudah untuk memulihkan kebebasan polis itu. Memang benar kiranya Malaysia terus dikuasa oleh UMNO. Polis jangan harap UMNO dan BN boleh mengubah nasib polis. Mereka sudah sedap pegawai-pegawai polis itu tunduk kepada orang kuat akar umbi UMNO.

Tuhan tidak akan mengubah nasib polis kiranya polis tidak mengubah nasibnya sendiri.

Musa sudah ada kesedaran itu. Tetapi dia sendiri menghadapkan supaya UMNO mengubah sikap terhadap polis. Musa kata, payah hendak mengubahnya.

Ia tidak payah seperti yang Musa sangka. Amat senang. Dan inilah masanya maruah polis dipulihkan iaitu memerdekakannya dengan polis tidak mengundi Barisan Nasional dalam PRU13 yang sudah dekat itu.

Kalau tok nenek polis dan anak cucu polis tidak mahu polis terus dibelenggu macam lembu Kedah, hari mengundi nanti jangan undi dacing. Pastikan kotak undi pos anggota polis itu kosong untuk BN. Kerajaan menunggu tidak akan membelenggu polis.

Mari sokong Musa memerdekakan profesionalisma kepolisian!

Wednesday, 12 December 2012

Isu Musa Hassan patut menjadi pengajaran kepada semua


oleh Aspan Alias


Isu kenyataan Musa Hassan masih menjadi isu hangat dan entah bila isu ini akan surut. Merata-rata dalam media massa alternatif ianya diperkata dan dibincangkan oleh rakyat khususnya mereka yang tampil untuk menulis tentangnya. Minat rakyat terhadap isu ini semakin besar kerana isu permainan politik di dalam institusi penguatkuasa dan demokrasi dalam negara ini sememangnya isu yang begitu sensitif bermulanya dari pentadbiran Dr Mahathir dahulu.

Pihak eksekutif telah mencerobohi semua badan dan institusi demokrasi dan penguatkuasa kerana kepentingan seseorang atau sekumpulan manusia lemah yang memimpin kita. Mereka ini telah lemah untuk mendapatkan sokongan rakyat secara natural dan berdasarkan kepada kemampuan peribadi maka menggunakan institusi kepolisan merupakan kaedah yang ampuh bagi mereka walaupun dalam jangka panjang ia akan terbongkar dan di hina rakyat.

Dengan kenyataan-kenyataan yang tidak henti-henti dari Musa itu, ia membuktikan yang kerjasama secara haram di antara pemimpin lemah dengan individu-individu dalam PDRM semasa itulah yang menyebabkan BN yang sepatutnya jatuh lama dahulu mampu bertahan sehingga hari ini. Tetapi kerja yang tidak baik akhirnya akan di ketahui ramai juga, kerana konspirasi dua belah pihak untuk melakukan kerja yang tidak betul lambat laun akan terbongkar juga.


Bagi saya Musa bukan isunya. Isu yang terbesar sekarang ialah dengan pembongkaran oleh bekas Ketua Polis Negara itu menunjukkan kepada kita bahawa Polis telah di gunakan untuk kepentingan peribadi pimpinan untuk menahan ombak perubahan yang sebenarnya telah bermula sejak zaman Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri lagi. Apa yang pimpinan tertinggi UMNO dan kerajaan tidak tahu, ialah apabila konspirasi seperti ini dilakukan yang paling penting untuk di jaga ialah mengekalkan perhubungan kedua-dua belah yang berkonspirasi itu.

Hasil dari pembongkaran Musa ini kita mendapat tahu maklumat tambahan bagaimana Polis Di Raja kita rupa-rupanya berpecah belah kerana selagi ada campur tangan pihak politik dalam PDRM yang sepatutnya bertindak secara ‘professional’ itu telah lari dari asas tanggungjawab pihak PDRM itu.

Tidak guna ada pihak yang sedang menuduh Musa itu dan ini, tetapi yang penting Musa telah melambakkan apa-apa kejahatan moral yang dilakukan oleh pimpinan negara kita kerana kuasa politik semata-mata. Politik yang menggunakan kuasa Polis untuk berpolitik merupakan pemimpin yang tidak bertanggungjawab kerana tidak merasa sensitif dan tidak mahu mengakui yang pencerobohan terhadap Polis itu boleh mengekalkan kuasa tetapi hanya untuk jangka masa pendek sahaja.

Akhirnya rakyat akan tahu dan akan bertindak terhadap mereka dan dalam isu kita di Malaysia ini ia akan dilakukan oleh rakyat yang mengundi di dalam PRU nanti. Sekarang semuanya sudah terbongkar satu demi satu dan pemimpin yang menjadi sasar tuduhan Musa itu sedang diam membisu dan tidak memberikan apa-apa reaksi terhadap isu itu.

Kepada pegawai-pegawai tertinggi Polis atau mana-mana penjawat awam yang sedang berkuasa kini wajar menjadikan isu ini sebagai pengajaran. Satu pengajaran yang boleh saudara/i sekalian pelajari ialah apabila mereka (pegawai kerajaan) menjadi sasaran rakyat ahli-ahli politik yang menggunakan mereka akan berdiam diri dan menyelamatkan diri masing-masing dan tidak akan keluar membantu mereka dalam kesusahan.

Ini jugalah yang sedang berlaku kepada ramai pemimpin yang tidak jujur yang lain. Mereka begitu ‘glamour’ semasa berkuasa kerana ada banyak institusi kerajaan yang membantu mereka melakukan kerja yang tidak baik itu. Tetapi apabila bersara semuanya terbongkar satu demi satu dan zaman persaraan mereka itu tidak aman dan yang besar-besar pangkatnya dahulu gagal untuk mencapai status yang di idamkan mereka.

Contohnya Dr Mahathir sendiri telah gagal untuk di anggap sebagai negarawan dari pandangan banyak pihak kerana beliau masih aktif berpolitik kerana terlalu banyak perkara yang beliau terpaksa tutupi. Dr Mahathir terpaksa bercakap sehingga isu buku memoir Rosmah pun terpaksa beliau komen. Beliau terpaksa memberi penjelasan kenapa beliau membidas pewaris kuasa dari beliau, Abdulah Badawi dengan berbagai alasan yang mudah dipatahkan oleh orang ramai.

Pendeknya beliau terpaksa bercakap dan bercakap dan menggunakan isu mempertahankan Melayu sebagai alasan untuk mempertahan diri dari anggapan negatif rakyat terhadap beliau. Beliau cuba hendak menyorokkan fakta yang segala kecelaruan politik dan ekonomi negara ini bermula dari kelemahan zaman beliau sendiri. Rakyat telah memahami bahawa bangunan tertinggi, jambatan terpanjang dan tiang bendera tertinggi di dunia yang ada dalam negara kita ini tidak mampu untuk dijadikan isu untuk Mahathir menunjukkan perbezaaan dengan pimpinan sebelum beliau.

Segala budaya politik perniagaan dan sebagainya telah rosak sehinggakan sekarang tidak tahu lagi bagaimana dan siapa yang akan mampu untuk memperbaikkinya. Tidak mungkin pemimpin dari gerombolan sekarang mampu untuk memperbaiki nya kerana mereka adalah dari kumpulan yang telah melakukan kerosakkan kepada segala sistem politik dan budaya kehidupan rakyat yang ramai ini.

Jika UMNO hendak memperbaiki keadaan ini parti itu terpaksa memberikan tugas kepada orang yang berpengalaman dalam kerajaan yang tidak berada di dalam kabinet negara. Hanya orang yang tidak terpalit dengan kerosakan ini sahaja yang mampu untuk memberikan imej dan budaya politik dan pembangunan negara yang lebih di yakini rakyat yang ramai.

Kalau pimpinan UMNO sesungguhnya jujur, semua yang berada di dalam kabinet hari ini mesti meletakkan jawatan dan menyerahkan kepada seorang yang lebih bertanggungjawab untuk meneruskan usaha membangunkan negara agar matlamat pencapaian negara yang mempunyai rakyat yang berpadu tanpa mengira kaum, agama dan warna kulit hidup aman dan damai setidak-tidaknya 50 atau enam puluh tahun yang akan datamg.

Kurang dari itu, UMNO tidak akan lagi relevan dan akan terbukti dalam pilihanraya yang akan datang. Kalau pun berjaya ia akan hanya kejayaan yang amat tipis dan UMNO akan menjadi parti yang seperti kata perbilangan Melayu ‘hidup segan mati tak mahu’.

Dalam isu Musa yang sedang diperkatakan ini, pimpinan negara sepatutnya mengambil ‘accountability’ dan berhadapan dengan rakyat. Kalau politik tidak masuk campur dan membiarkan PDRM melaksanakan tugas secara 'professional', polimik tentang Musa ini tidak akan wujud.

Sekarang ini biar Mahathir, dan Najib menjawab segala-gala yang di sebut oleh Musa Hassan itu. Kepada pegawai-pegawai tertinggi kerajaan termasuk Ketua Polis, Ketua SPRM dan pegawai-pegawai tinggi yang lain elok belajar dari apa yang berlaku terhadap PDRM hasil dari permainan politik pimpinan yang sedang berkuasa.

Pandangan ini penting di ambil kira kerana apabila rakyat melakukan perubahan nanti pegawai-pegawai ini akan terus berkhidmat tanpa sarat dengan isu lama yang buruk melekat di diri anda. Ingat, ahli politik datang dan pergi. Anda di dalam perkhidmatan awam akan kekal sehingga tarikh persaraan.

Berkhidmatlah dengan jujur agar dalam zaman persaraan untuk menunggu mati anda tidak terlibat dengan isu yang tidak baik. Kita perlu ingat di dalam melalui sisa-sisa hidup kita tidak dipandang remeh oleh masyarakat sekeriah dan jiran tetangga kita.

Apabila kita meninggal dunia, biarlah sanak saudara dan jiran tetangga kita mengusung jenazah tanah perkuburan kita akan diiringi dengan doa mereka yang baik-baik bagi kita menghadapi kehidupan yang kekal di akhirat nanti.

Tuesday, 11 December 2012

Musa Hassan belasah Cawangan SB pulak...!!


Musa minta SB tumpu jenayah bukan politik

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan meminta agar pegawai Cawangan Khas (SB) polis memberi lebih tumpuan kepada isu-isu jenayah dan tidak hanya tertumpu kepada isu politik sahaja.

(Musa dalam sidang media MyWatch hari ini)

"Saya harap SB ini berikan tumpuan kepada isu-isu untuk banteras jenayah dan jangan terlalu lebih beri tumpuan kepada isu-isu politik.

"Biarlah kerja-kerja siasatan politik ini dijalankan oleh mereka yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), kerja polis untuk memastikan kadar jenayah terus berkurangan dan rakyat lebih terjamin keselamatan mereka," sambung beliau lagi.

Beliau yang berkata demikian pada sidang media anjuran Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) di sebuah hotel di Petaling Jaya petang tadi.

Isu polis terlalu memberikan tumpuan kepada politik menjadi panas baru-baru ini sehingga menyebabkan anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar berkata polis sudah cukup tetapi silap tumpuan..

Ia dijawab oleh pihak polis dengan berkata bilangan anggota polis berkurangan dari yang sepatutnya.

Namun dengan permintaan bekas orang nombor satu polis ini, isu kekurangan anggota boleh diselesaikan dengan cara polis memberikan tumpuan kepada jenayah bukannya kerja-kerja menjadi alat orang politik.

Dedah statistik jenayah

Musa juga meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan angka statistik yang sebenar jenayah negara ini bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan.

Musa menyatakan, angka statistik yang diumumkan sebelum ini hanya merujuk kepada jenayah jalanan sahaja tetapi tidak merangkumi jenayah-jenayah lain.

"Kita melihat pada NKRA kerajaan hanya mengumumkan kadar statistik jenayah yang melibatkan jenayah jalanan sahaja iaitu seperti ragut dan sebagainya.

"Tetapi apa yang berlaku pada jenayah-jenayah lain seperti pecah rumah mahupun bentuk-bentuk jenayah yang lain, apakah kadar statistik jenayah tersebut," jelasnya.

Menurut beliau, rakyat sebenar keliru dengan kadar statistik yang diumumkan apabila kerajaan mengatakan kadar jenayah telah menurun sedangan rakyat terus mempersoalkan jenayah yang sering berlaku disekeliling mereka.

"Kerajaan perlu mendedahkan yang sebenar tentang kadar statistik jenayah biar semua tahu dan rakyat akan mengetahui kedudukan mereka dalam situasi jenayah negara," kata beliau lagi.

Beliau yang mengulangi masih menyayangi Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan berharap agensi tersebut dapat mengembalikan semula kepercayaan rakyat.

Lantang bersuara,Musa Hassan mahu bantu Anwar jadi PM.



Bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan semalam tampil dengan dakwaan baru bahawa ketua setiausaha kementerian dalam negeri Datuk Abdul Rahim Mohamad Radzi turut campur tangan dalam hal ehwal polis. Tanpa menamakan Abdul Rahim, Musa mendakwa setiausaha agung kementerian itu memberi arahan terus kepada pegawai polis tertentu, yang menurutnya menyebabkan pasukan itu keliru dalam mengikut arahan. Musa mendakwa Abdul Rahim mengeluarkan arahan supaya pegawai polis berkenaan memberi laoran kepadanya.

 Katanya lagi, pegawai berkenaan kemudiannya mengadu kepadanya kerana keliru. Musa berkata demikian dalam satu sidang media di sebuah hotel di Petaling Jaya anjuran Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) - sebuah NGO yang dinaunginya. Ketika ditanya, Musa berkata ketua setiausaha kementerian yang dimaksudkannya itu adalah yang sedang berkhidmat pada masa ini. Musa pada bulan lalu mendakwa Hishammuddin campur tangan dalam urusan polis dan memberi arahan kepada pegawai polis bawahan dan seorang ketua polis daerah semasa perkhidmatan bekas ketua polis negara itu. Musa berkata kerajaan tidak memberi sebarang maklum balas berhubung dakwaannya ke atas Hishammuddin, dan usaha MyWatch untuk bertemu ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar juga menurutnya tidak dilayan.

Friday, 7 December 2012

Bekas Ketua Polis,Musa Hassan cuba berlembut dengan UMNO,anggap Pakatan tiada kualiti.



Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, yang menjadi tumpuan politik tempatan ekoran kenyataan kontroversi sejak baru-baru ini, mengakui negara demokrasi memerlukan pembangkang. Bagaimanapun menurut beliau, barisan pembangkang itu sewajarnya terdiri daripada barisan "berkualiti" untuk menstabilkan hala tuju negara. Musa yang bersara sebagai Ketua Polis Negara dua tahun lalu berkata, pembangkang dapat mengelak kerajaan daripada "bermaharajalela", dengan menggunakan kuasa ke atas rakyat secara sewenang-wenangnya.

 "Sesebuah negara demokrasi perlu ada pembangkang, tapi perlu ada kualiti untuk menentukan apa yang perlu dibantahnya. "Kalau tak ada pembangkang, pemerintah kerajaan akan bermaharaja lela dalam menggunakan kuasa. "Bukan buat bantahan sesuka hati yang akan mencetuskan perkara lain yang ancam keselamatan dan sebagainya," kata beliau pada Wacana Sinar Siri ke-16, bertajuk "Politik Samseng Di Mana Maruah Kita?" di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini,semalam.Beliau mendapat liputan media baru-baru apabila mendakwa Menteri Dalam Negeri mencampuri urusan dalam Polis Diraja Malaysia. Kenyataan itu mencetuskan tanda tanya sama ada beliau akan menyertai politik.

 Bagaimanapun Musa menegaskan beliau tidak berminat menyertai politik. Negara menyaksikan buat pertama kali Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional (BN) kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan lima kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Umum ke-12 empat tahun lalu. Pilihan Raya Umum ke-13 dijangka diadakan Mac depan. Mengulas lanjut, Musa juga berkata, pembangkang tidak perlu turun ke "jalan raya" untuk menunjukkan bantahan terhadap kerajaan. Menjawab pertanyaan yang berkisar peranan polis terhadap politik samseng, beliau berkata, pembangkang juga perlu mengubah persepsi terhadap anggota polis yang mengatakan badan berkanun ini tidak adil dan memihak kepada kerajaan BN. Beliau berkata, pihak polis akan mengambil tindakan secara adil jika timbul masalah terhadap kedua-dua parti politik.

 "Oleh kerana pembangkang ramai-ramai turun ke jalan itu tidak betul, sepatutnya anggap polis anggap sebagai kawan bukan anggap musuh dan berpihak kepada kerajaan sahaja. "Kedua-dua pihak kita siasat kalau terlibat masalah, bukan kita propaganda tetapi kalau masalah ini tidak kawal, akan jadi masalah contohnya seperti 13 Mei. "Semua kena bersama-sama untuk perbetulkan kedaan," katanya.

Thursday, 6 December 2012

Bekas ketua Polis,Musa Hassan makin disayangi pembangkang.



Pandangan yang dikeluarkan berkaitan campur tangan menteri dalam soal Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya untuk menasihati dan mengingatkan bahawa sekiranya ia tidak dibendung akan membawa "rosak", demikian reaksi bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan. Sehubungan itu kata Musa, beliau tidak mahu niatnya disalahertikan oleh mana-mana pihak. Bercakap kepada media, Musa berkata, campur tangan dalam urusan operasi polis oleh pihak atasan misalnya akan menyebabkan reputasi PDRM terjejas.

 "Perkara ini saya nak dibetulkan, bukan saya sakit hati kepada sesiapa, nanti orang kata saya ini sebab sakit hati tidak sambung (kontrak), saya iri hati dengan orang... "... saya sudah seronok pencen. Tapi saya tengok benda ini kalau tidak dibetulkan negara kita akan rosak. "Saya bercakap ini bukan sebab saya nak hentam orang..., tidak... tetapi untuk betulkan keadaan. Keadaan sekarang makin teruk, makin teruk dan saya tidak mahu orang tidak percaya kepada polis," tegas beliau.

 Musa diminta mengulas kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim semalam yang menyelar pihak yang mempertikai dan mengkritik tugas yang dilaksanakan sambil memberi contoh seperti dakwaan yang dikenakan ke atas Menteri Dalam Negeri. Menurut Musa, memang tidak menjadi kesalahan untuk Menteri Dalam Negeri mencampuri urusan polis seperti dalam hal-hal kenaikan pangkat atau disiplin anggota polis, tetapi tidaklah sampai ke tahap campur tangan dalam hal-hal berkaitan operasi polis yang berada di bawah bidang kuasa Ketua Polis Negara.

 "Macam Bersih, itu IGP sahaja lah bagi arahan. Tak perlu nak bagi arahan. Kalau salah tindakan IGP, biar IGP sahaja yang kena tindakan. Janganlah atas arahan turun lagi. Orang di bawah pun pening kepala nak buat kerja. "Campur tangan dari segi pentadbiran itu memang tanggungjawab dia, tetapi jangan lah campur tangan dalam hal-hal buat kerja polis. Campur tangan dalam operasi polislah, macam-macamlah. Operasi tak boleh (campur tangan), pentadbiran tidak apa sebab dia (Menteri Dalam Negeri) Pengerusi Suruhanjaya Polis," jelas beliau. Ekoran kelantangannya mengkritik institusi polis negara selepas bersara, timbul spekulasi bahawa bekas Ketua Polis Negara itu berminat menceburi bidang politik.

 Namun Musa menegaskan, beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik, meskipun ada menerima tawaran, tetapi akan terus lantang untuk menyumbang memperbaiki sistem pentadbiran negara. Ditanya mengapa baru sekarang beliau mahu menyuarakan perkara ini dan sama ada baru sekarang berlakunya campur tangan dalam pentadbiran polis di negara ini, Musa berkata: "Dulu tak kerap berlaku begini. Dulu tak ada saya rasa. Masa Menteri Dalam Negeri yang lama-lama kita tak pernah (dengar) jadi begini. Tapi yang baru-baru ni lah." "Kalau IGP itu tak berani, ia berlakulah (campur tangan), kalau IGP berani, maka tak berlakulah. Saya merasakan kebanyakan IGP tak pernah akan mengikut apa kehendak menteri suruh buat kalau tak betul mengikut undang-undang lah," ujarnya lagi.

Thursday, 29 November 2012

Bekas Ketua Polis Negara semakin Pro-Pakatan.



Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mendakwa ada campur tangan luar, dalam tugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) semasa beliau memimpin pasukan tersebut. Beliau berkata, semasa pimpinannya, pegawai junior dan seorang ketua polis daerah pernah menerima arahan daripada seorang menteri tanpa pengetahuannya.

 Menurutnya, tindakan menteri tersebut adalah tidak wajar dan bertentangan dengan peruntukan undang-undang. “Saya berdepan dengan menteri tersebut dan menerangkan dalam Seksyen 4 (1) Akta Polis 1967 menjelaskan hanya mereka yang dilantik sebagai Ketua Polis Negara sahaja boleh mengeluarkan arahan untuk polis. “Walaupun saya tahu beliau tidak suka dengan penerangan itu, tetapi saya menyampaikan dengan cara baik,” katanya pada sidang media isu peningkatan jenayah, semalam.

 Turut sama, Pengerusi Pasukan Petugas Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), R Sri Sanjeevam dan Penasihat MyWatch, S Gobikrishnan. Musa yang telah memegang jawatan sebagai KPN selama empat tahun mengakui ada menerima aduan daripada pegawai polis yang mendakwa menerima arahan daripada menteri. Menurutnya, pihak pengurusan tertinggi PDRM perlu melihat keadaan ini bagi memperbaiki mutu kerja dan profesionalisme polis.