Showing posts with label bajet kedah 2012. Show all posts
Showing posts with label bajet kedah 2012. Show all posts

Wednesday, 14 December 2011

UMNO Kedah Dalam Era 4 Menteri Besar.... Tumbang 2008....

dari blog Azizi Abdullah
Awang Hamad yang tinggal di Kuala Nerang, Mat Kudin di Langkawi, Maniam Cendol di Bandar Baharu, Wan Munah di Baling dan Ah Ming di Alur Setar adalah di antara 1,778,188 juta yang tinggal di Kedah, yang tinggal dalam kepadatan 188.7/km2 di keluasan 9,426 km2. ( Populasi anggaran 2003).

Mereka adalah di antara 1,336,352 Melayu, 252,987 Cina, 122,911 India, 35,293 bukan warga negara dan 27,532 lain-lain, yang tidak pernah peduli, siapa naik, siapa turun, siapa lemah, siapa cerdik mentadbir negeri.

Apa yang mereka harap, esok dapat makan. Soal berapa kerajaan belanja, bagi mereka tidak penting. Yang penting, esok mereka mau makan apa, bukan mahu makan siapa.

Mereka juga tidak perduli, sama ada Pas mahu perintah, BN mahu kekal sampai kiamat atau KeAdilan mahu kerusi atau DAP perlu sokongan, itu bukan persoalan mereka. Yang mereka gembira harga getah naik, padi tambah hasil, penangkapan ikan bertambah. Mereka tidak peduli kalau diberitahu kepada mereka tentang menara tinggi, projek mewah, pembaziran, penipuan, kroni dan prestasi pentadbiran sama ada telus atau tidak, mereka tidak tahu apa-apa.

Tapi yang paling mereka tahu dan gah ialah tentang Kedah Maju kemudian di tukar kepada Kedah Gemilang. Dulu mereka diminta kibar bendera Maju 2010 tapi kini bendera itu ditarik balik dan diberi pula bendera Kedah Maju.

Mereka terkerisin terkernyih macam lutung di hujung dahan.

Sangat malang mereka seperti ini. Sudah 8 menteri besar bertukar, mereka masih tidak tahu apa-apa. Mereka tidak ada niat pun hendak menukar menteri besar atau kerajaan yang lebih baik. Bagi mereka tetap sama, sama ada Menteri Besar Hj. Mohamad Sheriff Osman 1948-1954, atau YTM Tunku Ismail Tunku Yahya 1954- 1959, atau Tan Sri Sayed Omar Sayed Abdullah Shahabuddin 1959-1967 atau T.Y.T. Tun Dato’ Utama Sayed Ahmad Sayed Mahmud Shahabuddin 1967-1978, atau Dato’ Seri Sayed Nahar 1978-1985 atau Tan Sri Hj. Osman Aroff 1985-1996 atau Tan Sri Sanusi Junid 1996-1999 atau Dato’ Sayed Razak 1999-2005 atau pun Dato’ Mahdzir Khalid 2005 hingga sekarang.

Selama 9 menteri besar, ada satu era yang mereka cukup bangga ketika mana ada seorang perdana menteri dari Kedah pula. Lama juga anak Kedah jadi Perdana Menteri. Tapi mereka tidak pernah tahu perdana menteri itu buat apa. Sekarang dengar khabar perdana menteri itu tunjuk meluat pada suku sakatnya. Pelik, dulu dia buat itu ini tidak mengapa , sekarang orang buat, dia marah. Pelik juga orang seperti ini.

Alangkah elok dan baiknya, mantan perdana menteri seperti ini, jual rumah di Kuala Lumpur, balik duduk di Kedah sama ada tepi sungai Kedah atau di pinggir hutan Sik atau dekat alur Wan Mat Saman. Dengan tekad yang satu, berazam , tawakkal alAllah, masuklah kampung, masuklah daerah memberi penerangan kepada rakyat bagaimana sudah sampai masanya Kedah ini bertukar teraju pemerintahannya. Sudah sampai arus politik dialih kepada yang lain. Sudah tiba waktu, tukar BN kepada apa-apa parti yang difikir lebih baik. Tetapi di Kedah potensinya tentulah PAS.

Jangan ambil kira fanatik parti. Jangan anggap PAS parti lebai atau jangan anggap parti yang menjurus kepada Islam, tidak sesuai. Ajaklah mereka mengubah bentuk pemerintahan ini kepada yang lebih baik.

Dan masa yang paling sesuai ialah menjelang pilihanraya ke 11 akan datang. Bagaimana pun pakat-pakatlah pula baca Yasin, minta pintu hati Pegawai-pegawai SPR menjadi telus. Berilah tahu dengan keramat mantan perdana bahawa, sudah lama penipuan yang mereka lakukan.

Pertama, beritahu kepada rakyat Kedah tentang Koridor Utara yang baru saja dirasmi oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Abdullah Ahmad Badawi pada hujung Julai 2007 lalu. Berilah tahu pada orang Baling, orang Sik, orang Kuala Muda, orang Padang Terap, Langkawi, apa dia Koridor Utara yang membuka laluan masa depan? Apa dia Wilayah Ekonomi Bertaraf Dunia, apa dia Koridor Utara Zon Makanan Moden, apa dia Pusat Pengeluaran Benih Antarabangsa, apa dia Daya Saing Pembuatan, Pelancongan dan Hab itu Hab ini.

Beritahulah juga, projek yang telah diluluskan bagi tempoh RMK-9 itu, bilangan projeknya 1556 dengan peruntukan RMK-9 sebanyak RM 8,117,555,076 manakala projek PFI, 58 (biaya swasta) dengan nilai RM1,241,456,590, agak-agak melepas ke tangan mana nanti?

Jangan cerita pasal sejarah lama. Ambil saja 4 orang menteri besar yang pernah menerajui Kedah, iaitu bermula Tan Sri Osman Aroff (28 Januari 1985-16 Jun 1996), Tan Sri Sanusi Junid (16 Jun 1996- November 1999) Dato Sayed Razak Sayed Zain (12 Disember 1999- 28 Disember 2005) dan Dato’ Mahdzir Khalid (28 Disember 2005- ) kemudian cuba congak dan kira balik, ajak rakyat muhasabah apa yang mereka lakukan, sama ada untung Kedah atau rugi Kedah atau membazir Kedah.

Cuba beritahu tanggung jawab pemimpin tentulah kepada rakyat. Yang utama dalam pemerintahan, kesaksamaan bukan pembaziran, bukan pemborosan. Maka kerana itu jika apa yang dilakukan oleh 4 menteri besar selama mereka mentadbir, alangkah baiknya minta rakyat berfikir. Bukankah di dunia dan di akhirat kita mahu sesuatu yang terbaik?

Tidak teringatkah bagaimana seorang menteri besar di antara 4 yang terakhir ini, memboros dan merampas tanah sawah petani walaupun berbagai pihmenasihati bahawa projek tersebut zalim, tidak berpotensi, membazir, menindas. Tapi malangnya bantahan rakyat, nasihat dari berbagai pihak tenggelam oleh ketamakan pribadi yang kononnya projek itu untuk rakyat yg untung pemimpin2 umno...??

Note - Al fatihah untuk arwah....

Wednesday, 16 November 2011

KASI PECAH!! KERAJAAN KEBAJIKAN KEDAH PAKAR MENGURUS EKONOMONEY



Kerajaan PAS Kedah Bentang Belanjawan Defisit

Kerajaan PAS Kedah pada Selasa membentangkan belanjawan 2012 defisit berjumlah RM1.008 bilion berbanding anggaran hasil RM550.8 juta.

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak semasa membentangkan belanjawan pada sidang Dewan Undangan Negeri, berkata RM570 juta akan diguna untuk perbelanjaan mengurus, RM259 juta untuk pembangunan dan RM179 juta bagi bekalan air.

Bagi belanja mengurus, sebanyak 38 peratus adalah untuk emolumen, bekalan dan perkhidmatan (19 peratus), pemberian dan kenaan tetap (38 peratus), pembelian aset (dua peratus) dan perbelanjaan lain (tiga peratus).

Bagi perbelanjaan pembangunan, 57.6 peratus adalah untuk projek infrastruktur, pertanian (12.96 peratus), pentadbiran (16.9 peratus) dan kemudahan sosial (13.84 peratus).

Azizan berkata hasil negeri bagi tahun 2012 dijangka meningkat 5.61 peratus kepada RM550.8 juta berbanding unjuran tahun ini, iaitu RM521.5 juta.

Empat strategi akan dilaksana bagi mencapai sasaran kutipan hasil tahun depan, iaitu meningkatkan pertumbuhan ekonomi dengan memperkasa sektor pertanian, meningkatkan kesejahteraan rakyat, meningkatkan modal insan dan memperkasa tadbir urus kerajaan negeri.

Azizan berkata kerajaan negeri juga menyambut baik pengumuman peruntukan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM420 juta untuk membangunkan Langkawi dan untuk itu satu pasukan petugas ditubuh bagi menyelaras dan menyusun semula pembangunan Pantai Cenang.

Selain itu, kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah juga akan memajukan 160 hektar kawasan industri di Kulim Hi-Tech Park dan 80 hektar di Bukit Kayu Hitam yang bakal meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini, katanya.

Mengenai kemasukan pelaburan dan bidang pembuatan, beliau berkata jumlah pelaburan yang diterima pada tahun 2010 ialah RM1.96 bilion dan sehingga Ogos tahun ini, pelaburan yang diterima ialah RM725 juta.

"Kerajaan negeri mengambil langkah untuk tidak meningkatkan Belanjawan 2012 bagi mengelakkan defisit yang besar serta membebankan kerajaan pada masa depan," katanya.

Azizan berkata kerajaan negeri juga bakal menerima hasil baru daripada aktiviti kuari bijih besi di beberapa daerah dan bayaran royalti lumayan akan diterima tahun hadapan, kata Azizan.

Beliau berkata bagi menghadapi banjir, kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM15.2 juta untuk melaksana projek tebatan banjir, pemuliharaan sungai dan menaiktaraf sistem saliran.

Dalam ucapan belanjawan itu, Azizan turut merakamkan ucapan tahniah kerajaan negeri kepada Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong untuk kali kedua untuk tempoh lima tahun berkuatkuasa 13 Dis ini.(Bernama)

Bajet 2012: RM78.5 diguna untuk penyelenggaraan jalan

Ditulis oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR, 15 November 2011 – Pada tahun 2012, sebanyak RM78.5 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi penyelenggaraan jalan di mana antaranya adalah menaiktaraf jalan dari Bukit Selambau ke Sungai Lalang. Selain itu, peruntukan adalah untuk memperkukuhkan jalan-jalan utama, mengurangkan tempoh pengangkutan barangan, tahap keselamatan dan keselesaan pengguna juga dipertingkatkan.

Dalam Ucapan Bajet 2012 juga memperlihatkan keperihatinan kerajaan negeri kepada golongan peniagaan kecil yang tidak mampu menyewa ruang niaga di pusat bandar. Peruntukan sebanyak RM3 juta telah disediakan untuk pembinaan ruang niaga dalam merealisasi hasrat tersebut.

“PKNK telah menyiapkan UKIR MALL di Alor Setar dan Sungai Petani untuk memberi peluang kepada usahawan menjalankan operasi perniagaan di lokasi yang strategik.

“Sementara itu, pada tahun 2012, dua buah lagi bangunan di Kota Sarang Semut dan Hosba yang bernilai 14 juta akan didirikan oleh PKNK untuk tujuan yang sama,” kata Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak ketika membentangkan Bajet 2012 di Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah, Penggal Keempat, di sini.

Banjir kilat yang berpunca dari pasarana saliran yang kurang sempurna, juga mendapat perhatian dan kerajaan negeri telah menyediakan RM15.2 juta untuk projek tebatan banjir, pemulihan sungai serta menaiktaraf sistem saliran.

“Kerajaan negeri perihatin kepada masalah penduduk yang sering dilanda banjir kilat. Tentulah dengan masalah sedemikian mereka mengalami kerugian dan kerosakan harta benda serta menyukarkan kehidupan mereka,” tambah beliau lagi.

Selain itu katanya lagi, sebanyak RM10.9 juta diperuntukan untuk projek pembangunan luar bandar yang memperlihatkan peningkatan sebanyak RM2 juta untuk mewujudkan pembangunan seimbang di seluruh kawasan dalam usaha meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Ucapan Bajet 2012 sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah, Penggal Keempat diadakan di Wisma Darul Aman.