Showing posts with label ISA. Show all posts
Showing posts with label ISA. Show all posts

Saturday, 19 November 2011

ISA: Polis hina Najib

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 19 Nov: PAS mengingatkan pihak keselamatan membebaskan segera semua tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sekaligus menghormati keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang telah mengumumkan akta itu dimansuhkan.

AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman ketika dihubungi Harakahdaily berkata, tindakan terbaru pihak polis yang menangkap 13 orang di bawah akta itu di Sabah adalah satu penghinaan kepada Najib dan juga seluruh rakyat yang dijanjikan pemansuhan akta itu.

"Kalau polis ada bukti, heret ke mahkamah, dakwa mereka, bukan guna ISA.

"Kuasa polis 'lebih besar' dari perdana menteri nampaknya. Ini satu penghinaan kepada pengumuman PM," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar semalam bahawa penahanan 13 orang yang didakwa anggota kumpulan militan, dibuat selepas polis mendapat maklumat risikan dari dalam dan luar negara.

Ismail semalam juga mengesahkan tujuh rakyat Malaysia dan enam warganegara asing ditahan di Sabah sejak Isnin lalu mengikut Seksyen 73 (1) ISA kerana disyaki ada kaitan dengan usaha untuk menghidupkan kembali gerakan militan di Sabah.

Identiti dan nama kumpulan militan itu tidak dinyatakan namun sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan polis menahan anggota militan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan Abu Omar yang juga dikenali sebagai kumpulan Kaltim dan berpangkalan di Kalimantan.

Serah memo ke Suhakam

Dalam pada itu, Mazlan yang kini berada di Sabah memaklumkan satu memorandum akan diserahkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Kota Kinabalu pada 21 November ini.

Memorandum dari anggota keluarga tahanan itu menuntut Suhakam mendesak kerajaan membebaskan semua tahanan tersebut.

Selain kepada Suhakam, pihak keluarga juga akan menyerahkan memorandum tersebut kepada perdana menteri di parlimen.

Pada masa sama, Mazlan turut mengalukan kenyataan Pengerusi Suhakam Tan Sri Hasmy Agam yang meluahkan rasa kecewa penangkapan terbaru di bawah akta itu.

Hasmy Agam semalam juga menggesa agar pihak berkuasa membebaskan kesemua mereka yang ditahan di bawah undang-undang tersebut dan memberikan hak mereka kepada perbicaraan terbuka dengan diwakili peguam.

Selain itu, PAS Sabah juga ujar Mazlan telah melancarkan derma kilat bagi membantu anggota keluarga mangsa tahanan.

"Rata-rata isteri tahanan ini bergantung kepada pekerjaan suami.

"Tidak lama lagi akan buka sekolah, sudah tentu mereka perlukan wang untuk perbelanjaan sekolah anak-anak," katanya sambil menyeru orang ramai turut sama membantu.

Thursday, 17 November 2011

Tangkapan ISA, Najib Tipu Rakyat


Harakahdaily

Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) dan Jabatan Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Dewan Pemuda PAS Pusat menempelak sekeras-kerasnya tangkapan yang dikenakan ke atas 10 orang Pendakwah di Tawau, Sabah di bawah Akta kuku besi, ISA pada 14/11/2011 yang lalu.

Kami telah dimaklumkan oleh ahli keluarga mangsa yang ditahan bahawa tangkapan tersebut dilakukan oleh Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi Counter Terorism) Bukit Aman diketuai oleh DSP Azman bin Omar. Keluarga/Waris orang yang ditangkap dimaklumkan sehari kemudian yang mereka ditangkap di bawah Seksyen 73 (1) AKDN 1960 (ISA).

Kami amat terkejut dengan situasi malang ini tatkala Perdana Menteri pada malam hari Malaysia mengumumkan akan memansuhkan ISA dan Akta Buang Negeri 1959 serta kononnya akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Maka benarlah sangkaan PAS dan kebanyakan rakyat selama ini bahawa janji Perdana Menteri untuk memansuhkan ISA sebenarnya hanyalah suatu pembohongan terancang bagi memperbodohkan rakyat Malaysia kononnya kerajaan Umno/Barisan Nasional ingin memartabatkan Malaysia sebagai sebuah Negara yang paling demokrasi di dunia.

Namun pada hakikatnya Umno/Barisan Nasional masih tetap mengekalkan kezaliman, keangkuhan dan tetap sujud kepada talian hayat terakhir mereka iaitu Akta kukubesi ISA bagi menakut-nakutkan rakyat supaya tunduk kepada Umno/Barisan Nasional.

Kami percaya tangkapan ini adalah rentetan daripada laporan oleh pihak PAS Sabah sendiri bahawa ahli-ahli PAS Sabah telah diberikan amaran oleh pihak Polis supaya tidak terlibat dengan program-program politik dan dakwah sekiranya tidak mahu ditangkap.

Justeru, kami percaya bahawa tangkapan ini hakikatnya adalah bermotifkan politik semata-mata dan langsung tidak mempunyai kaitan dengan Seksyen 73 (1) ISA. Apatah lagi, tangkapan ini berlaku tatkala PAS Sabah melaungkan amaran bahawa PAS Sabah akan memberikan tentangan sengit pada Pilihanraya yang akan datang.

Jadi, kerajaan Umno/Barisan Nasional pada hakikatnya takut dan gusar dengan gelombang tsunami PAS di Sabah yang menyebabkan mereka tidak mempunyai pilihan melainkan kembali menjilat ludah mereka sendiri iaitu kembali menggunakan ISA bagi mengekang kebangkitan PAS di Sabah.

Oleh itu, kami bertegas menggesa kesemua 10 orang yang ditangkap di bahawa ISA ini harus dilepaskan dan dibebaskan dengan serta merta tanpa syarat. Selain itu, mereka ini harus diberikan layanan yang selayaknya sepertimana yang dijamin di bawah Perlembagaan Malaysia iaitu diberikan peluang untuk dibicarakan secara adil di Mahkamah, dan bukannya ditangkap tanpa diberikan peluang untuk dibicarakan.

Sekiranya pihak Polis benar-benar yakin bahawa mereka mempunyai bukti yang kukuh dalam mengaitkan para tahanan dengan sebarang aktiviti keganasan, seharusnya pihak Polis tidak teragak-agak untuk menuduh mereka di Mahkamah terbuka dan membenarkan para tahanan ini membela diri secara adil di Mahkamah kerana banyak peruntukan di dalam Kanun Keseksaan yang boleh diguna-pakai sekiranya pihak Polis benar-benar meyakini mereka ini terlibat dengan pengganas.

Akhirnya, Kerajaan Umno/Barisan Nasional dicabar supaya berdepan dengan rakyat secara ”gentleman” pada hari pengundian Pilihanraya Umum yang akan datang, dan bukannya bersikap bacul dan penakut dengan menakut-nakutkan rakyat melalui Akta ISA yang ketinggalan zaman ini.

Ahmad Zamri As’ad Khuzaimi (Pengarah JUHAM)
Abang Ahmad Kardee Abang Masagus (Pengarah Jab Hal Ehwal Sabah & Sarawak)

Eishhh Kata ISA dah dihapuskan.. Awat ada 10 orang kena tahan ISA lagi..???

Tangkapan terbaru ISA, GMI selar Najib

KUALA LUMPUR, 17 Nov: Penangkapan terbaru membabitkan sekurang-kurangnya 10 orang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Sabah Isnin lalu membuktikan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya 'sandiwara'.

Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Syed Ibrahim Syed Noh berkata, ianya secara jelas menunjukkan bahawa Najib sememangnya tidak ikhlas dengan pengumumannya sebelum ini untuk memansuhkan ISA.

"Penahanan terbaru ini menjadi satu singgungan yang kuat kepada rakyat.

"Ia tak memberi apa-apa makna kepada janji perdana menteri untuk memansuhkan ISA melainkan hanya sandiwara untuk mendapat sokongan rakyat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas maklumat terbaru berhubung penahanan 10 aktivis Islam di bawah akta itu di Sabah, 14 November lalu.

Semalam, Pesuruhjayanya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling berkata tangkapan pendakwah dan aktivis Islam dengan perbagai profesion tersebut dilakukan oleh pegawai-pegawai polis dari Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi Counter Terorism) Bukit Aman diketuai oleh DSP Azman Omar.

Menurutnya, keluarga atau waris yang ditangkap dimaklumkan sehari kemudian bahawa mereka ditangkap di bawah Seksyen 73(1) AKDN 1960 (ISA).

Menurut Syed Ibrahim, GMI bagaimanapun mendapat maklumat sekurang-kurangnya 11 hingga 14 orang yang ditangkap dalam operasi hari tersebut.

"(Dengan pengumuman Najib) Kita jangka tak ada lagi tangkapan besar-besaran seperti apa berlaku ini.

"Tapi malangnya kita lihat tindakan tidak menyokong janji yang dibuat," jelasnya sambil mendakwa akan mengeluarkan kenyataan rasmi GMI hari ini.

Sementara itu, GMI menurutnya akan mendapatkan maklumat lanjut dari waris mangsa tahanan untuk membuat tidakan susulan.

Beliau menyeru pihak keluarga terutamanya dan PAS Sabah memberi kerjasama untuk tujuan tersebut.

"Ramai yang ingat (selepas pengumuman Najib), tidak ada lagi mangsa yang ditahan, dan tiadak ada lagi yang akan ditahan.

"Sebenarnya masih ada yang belum dibebaskan dan masih berlaku tangkapan-tangkapan baru," jelasnya.

Saturday, 17 September 2011

PKR gesa pembebasan tahanan


 
ALOR SETAR - Kerajaan Pusat wajar menunjukkan keikhlasannya mengenai hasrat menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dengan membebaskan tahanan semasa yang ditahan di bawah ISA dan Ordinan Darurat (EO).

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Kedah, Senator Zamri Yusof berkata, pihaknya menyambut baik langkah yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi perutusan khas Hari Malaysia, malam kelmarin.

“ISA sebenarnya mencabul demokrasi dan hak asasi manusia kerana individu ditahan tanpa dibicarakan, melibatkan suatu tempoh yang lama, justeru kita menyambut baik saranan itu.

“Bagaimanapun, kita ingin melihat langkah positif daripada Perdana Menteri dan beliau perlu menunjukkan kesungguhan itu dengan ‘membebaskan’ tahanan semasa, yang ditahan di bawah ISA dan EO,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, pembebasan yang dimaksudkan ialah membawa kes individu yang berada dalam tahanan ke mahkamah untuk perbicaraan sebelum diputuskan sama ada bersalah atau tidak.

“Setiap individu berhak melalui proses perbicaraan, malah tempoh tahanan polis selama 60 hari juga perlu mendapatkan perintah reman daripada mahkamah.

“Perdana Menteri turut memaklumkan mengenai dua undang-undang yang akan digubal bagi menggantikan ISA, kita berharap agar undang-undang berkenaan akan mengambil kira hak asasi manusia dan tidak sezalim ISA,” katanya.

Perghhh MAT BASHAH pekana 'toyu Cap Kipas Udang' nampak...dulu bukan main tak sokong ISA nie..!!


Mansuh ISA langkah tepat

 
 
ALOR SETAR - Umno Kedah menyifatkan langkah bersejarah dan berani Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) serta pindaan terhadap beberapa akta lain sangat tepat dan memenuhi situasi geopolitik semasa.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, langkah itu pasti disambut baik oleh rakyat.

Menurutnya, langkah itu bukan untuk mempopularkan kerajaan sebaliknya dilakukan atas dasar memenuhi aspirasi rakyat selaras dengan mendahulukan kehendak rakyat.

“Umno Kedah menyambut baik tindakan yang diumumkan oleh Perdana Menteri malam kelmarin.

“Syabas kepada Kerajaan Pusat kerana sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Ahmad Bashah berkata, dari sudut politik, Pakatan Rakyat (PR) seperti biasa akan menyuarakan ‘sesuatu yang tidak kena’ dengan pengumuman yang dibuat malam kelmarin.

“Walaupun rakyat menyokong tindakan itu, saya pasti pembangkang akan mengeluarkan pelbagai versi dan teori bagi memberi gambaran negatif komitmen kerajaan ke arah itu.

“Yang penting rakyat menyokong tindakan itu, biarkan pembangkang semakin terluka dengan pembaharuan dilakukan pentadbiran Najib,” katanya.

Malam kelmarin, Najib mengumumkan keputusan kerajaan memansuhkan ISA dan Akta Buang Negeri 1959.

Selain memansuhkan ISA, kerajaan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Kajian semula komprehensif itu akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

Kerajaan Pusat juga akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

Bagaimanapun, bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah bagi memelihara ketenteraman dan keselamatan awam, kerajaan akan menggubal dua undang-undang baru yang sesuai di bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.

MANSUH ISA: SYABAS DAN TAHNIAH PEMUDA UMNO


Tiadalah manusia yang bertamadun di dalam dunia yang rela diri mereka dizalimi, dihina, dikurung, ditangkap, ditahan tanpa bicara, tidak boleh diwakili peguam dan diperlakukan sesukanhatinoleh orang lain. Itulah yang berlakundengan wujudnya akta zallim seumpama Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA. Pernah dalam perbahasan di Dewan Rakyat, bermati-matian ahli parlimen Barisan Nasional mempertahankan akta lapuk dan zalim itu. Sebahagian ahli parlimen itu berhujah, semua tahanan akta zalim itu ada sebabnya termasuklah tahanan itu melakukan kesalahan. Termasuklah yang berhujah itu ialah ahli parlimen Pasir Salak yang pernah ditahan.

Apabila pimpinan pembangkang termasuk Naib Presiden PAS Dato Mahfuz Omar menjawab, bahawa beliau bersetuju bahawa sekiranya seseorang yang ditahan dibuktikan bersalah, dibawa ke mahkamah, tetapi beliau tidak dibuktikan bersalah atau diberitahu, jadi kenapa beliau ditahan? Kenapa tidak dibicara di mahkamah terbuka? Terduduk ahli-ahli parlimen Barisan Nasional. Seingat saya, Datuk Zaid Ibrahim bekas Menteri meletak jawatan akibat penentangan beliau terhadap akta itu yang pada ketika itu dipertahan habis-habidan oleh pemimpin tukang angguk Barisan Nasional.

Saya ingin merujuk kepada kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah Saudara Badrol Hisham Hashim di dalam akhbar Sinar Harian bertarikh 17 haribulan September 2011 berkaitan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan ingin mengucapkan sekalung penghargaan dan tahniah atas pengakuan yang berani dan jujur beliau mewakili kepemimpinan Pergerakan Pemuda UMNO Kedah. Beliau secara tidak langsung mengakui beberapa perkara.

1. Akta itu tidak demokratik, zalim dan tidak berperikemanusiaan. Ketika akta ini yang bertujuan mengekang pergerakan komunis dan unsur-unsur subversif, kebanyakan kepemimpinan UMNO pertahankan habis-habisan. Namun, mereka cepat-cepat menjustifikasikan semula apabila keputusan memansuhkan akta ini diumumkan.

2. Pemansuhan itu membuktikan bahawa selama hampir 50 tahun parti pemerintah sememangnya zalim. Kenyataan Ketua Pemuda UMNO Kedah yang mengatakan bahawa pemansuhan akta itu "demi memastikan amalan demokrasi yang lebih telus dan terbuka dapat dilaksanakan di negara ini" membuktikan kezaliman parti pemerintah. Saya mengalukan pengakuan ikhlas daripada saudara ketua pemuda UMNO Kedah. Demokrasi yang tempang itulah yang menyelamatkan UMNO.

3. Pengakuan beliau "rakyat negara ini juga tidak harus terburu-buru membuat spekulasi negatif terhadap langkah pemansuhan ISA dan pemindaan beberapa akta kerana keputusan berkenaan dibuat setelah mengambil kira kepentingan rakyat". Saya ingin persoalkan kenyataan ini, adakah beliau memperakui bahawa dengan hampir 50 tahun berjalannya akta ini menunjukkan parti pemerintah tidak mengambil kira kepentingan rakyat? Setelah beribu-ribu mangsa dizalimi, puluhan ribu ahli keluarga yang dihina, anak-anak yang membesar tanpa bapa di sisi, isteri yang menjadi janda bercerai-berai akibat kesalahan yang tidak dibuktikan, saya gembira apabila mendengar pengakuan ikhlas pemimpin UMNO.

4. Soal bahawa pemansuhan akta ini tiada kena mengena dengan desakan pembangkang adalah satu kenyataan yang menghina keputusan yang dibuat oleh rakyat memilih pemimpin. Saya dan rakan-rakan ahli dewan rakyat secara konsisten membantah akta ini. Malah, kami berdepan dengan cemuhan dan sindiran. Malah saudara Ketua Pemuda UMNO sendiri pernah mempersoalkan perbahasan saya yang katanya membela tahanan ISA. Saya cadangkan bahawa beliau memetik ucapan saya diluar konteks dan menyalahertikan ucapan saya. Sedangkan pembelaan saya dalam ucapan saya ialah berkaitan dengan pembelaan kepada manusia yang dizalimi yang tidak dibuktikan secara proses perundangan.

5. Apapun saya percaya, ketakutan kepada janji Pakatan Rakyat melalui Buku Jingga menyebabkan Barisan Nasional menjadi hilang punca. Respon kerajaaan Barisan Nasional antara lain ialah menghapuskan akta-akta zalim

Apapun sekali lagi tahniah atas keberanian dan kelantangan saudara.

Ustaz Mohd Nasir Zakaria
ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kedah
Ahli Parlimen Padang Terap

Nak termuntah tengok pengampu Be End komen mansuh ISA


Mana pi bloggers Be End yang bermati-matian pertahankan ISA hari itu...

Oleh: Che Nad

Pihak yang paling gembira dengan pengumuman pemansuhan ISA oleh Perdana Menteri tentulah ratusan ribu manusia yang pernah disembur air kimia dan gas pemedih bata dalam demonstrasi baju merah mendesak penghapusan ISA serta seluruh rakyat yang bencikan kezaliman ISA.

Perlukah berterimakasih kepada PM? Ia mengingatkan kepada sejarah Firaun yang menghimpun dua manusia, satu dilepaskan hidup dan satu dibunuh...lalu memberitahu rakyatnya: Tengok aku berkuasa menghidup dan mematikan seseorang.

Orang yang tidak dibunuh lantas berterima kasih kepada Firaun. Sebenarnya orang yang yang tidak dibunuh itu tidak perlu berterima kasih kepada Firaun, kerana kalau dia dibunuh pun bukan kerana apa-apa kesalahan tetapi semata2 kerana kezaliman Firaun. Dalam kes ini, Firaun bukan melakukan kebajikan kerana 'memberi nyawa' kepada seseorang tetapi cuma berhenti melakukan kezaliman pada waktu itu.

Bagaimana pula rakyat biasa yang melihat peristiwa itu? Mereka lagilah tidak perlu BERTERIMA KASIH kepada Firaun atau MEMINTA MAAF apa2 dari Firaun.

Tapi dalam kisah kefiraunan ISA, puak2 pengampu Be End beriya-iya berterima kasih memuja muji Najib kerana memansuhkan ISA. Ahli politik BN, ahli akademik dan NGO pengampu inilah yang beriya-iya mempertahankan ISA dengan segala hujah.. Hari ini orang yang sama muncul di TV mengalu-alukan tindakan Najib seolah-olah mereka tidak pernah berkata2 mengenai ISA sebelum ini... Nak termuntah tengok.

Cuma yang terkantoi sekarang ialah bloggers pro Be End, mereka yang pulun habis pertahankan ISA. Sekarang mengapa tak serang Najib, seranglah?!! Nampak sangat dalam apa isu yg berlaku dalam dunia ini mereka bukan golongan yang mempertahankan kebenaran tetapi mempertahankan UMNO/BN walau apa parti dokongan mereka itu lakukan.

Friday, 16 September 2011

Mansuh ISA! Luahan Rasa Seorang Tahanan ISA!!




Kuala Lumpur, 16 September- EXCO Pemuda UMNO Malaysia, Lokman noor Adam berkata, keputusan yang telah dibuat oleh YAB Perdana Menteri sememangnya satu keputusan yang sukar dan hanya mampu dilakukan oleh seorang yang benar-benar berani dan mempunyai tahap keyakinan yang tinggi.

“selaku bekas tahanan ISA yang sempat bersama tahanan-tahanan lain lebih dua tahun, saya tahu betapa pentingnya undang-undang pencegahan di negara ini. Apabila teknologi risikan menjadi semakin canggih, sudah pasti lebih banyak usaha pihak yg tidak bertanggungjawab untuk melakukan kegiatan terrorisma dan subversive dapat dikesan oleh badan risikan kita sebelum ianya memudaratkan negara.

Di sinilah peri pentingnya undang-undang pencegahan seperti ISA wujud, sepertimana yang diwujudkan di Amerika, United Kingdom, Australia dan beberapa negara lain selepas trajedi 11 September 2001. Sebagai seorang Perdana Menteri yang berpandangan jauh, yang sentiasa mengambil kira pandangan akar umbi dan peka pada tuntutan masyarakat antarabangsa, saya yakin YAB Perdana Menteri telah mengkaji perkara ini dengan sedalam-salamnya bersama mereka yang ahli dalam soal keselamatan Negara,” ujarnya yang juga mantan MKT dan Setiausaha Pemuda Keadilan Nasional.

Sudah pasti penghapusan ISA ini mempunyai kesan positif dan negatif. Apatah lagi dalam keadaan politik tanahair kita sekarang, sudah pasti akan ada pihak yang akan mengambil kesempatan untuk melakukan sewenang-wenangnya apabila terhapusnya ISA.

Sebagai rakyat Malaysia, kita harus menyokong penuh keputusan Perdana Menteri ini dan meletakkan keyakinan yang tinggi kepada beliau untuk terus memastikan keselamatan negara ini akan terus kekal ditahap yang membanggakan walaupun tanpa akta tersebut.

Usaha menyuburkan sistem demokrasi di negara ini pasti akan penuh dengan pelbagai halangan dan rintangan. Cabaran yang akan dihadapi dalam era politik baru yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri ini pasti menjanjikan cabaran yang amat dasyat.

“Sungguhpun YAB PM yakin bahawa kerajaan Barisan Nasional mampu untuk berdepan dengan era politik baru ini, saya sakin ianya akan lebih mudah kita harungi jika setiap rakyat turut sama membantu

Sungguhpun YAB PM yakin bahawa kerajaan Barisan Nasional mampu untuk berdepan dengan era politik baru ini, saya yakin ianya akan lebih mudah kita harungi jika setiap rakyat turut sama menyumbang dalam menjayakannya,” ujarnya lagi.

SUMBER

Aduhai NAJIB.. mahsuh 1 tapi mau bikin yg baru 2 pulak tuuu...!!


Guan Eng: Najib mansuh satu ISA, mahu gubal dua ‘ISA’

September 16, 2011
GEORGE TOWN, 16 Sept — Lim Guan Eng menegaskan langkah pentadbiran Najib mahu menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan dua undang-undang baru satu perkembangan yang mengecewakan dan penjenamaan semula akta yang kontroversial itu.

Justeru kata beliau, inisiatif pembaharuan politik yang diumumkan malam tadi adalah sesuatu yang tidak bermakna jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu mengadakan undang-undang baru bagi tujuan yang sama.

“Ya, sudah pasti ia berita yang baik tetapi jika anda mahu menggantikan dengan dua undang-undang baru, maka ia akan menjadi dua ISA?

“Kami tidak mahu melihat satu situasi di mana anda memasukkan wain yang lama dalam satu botol yang baru,” kata beliau pada sidang media hari ini.

Lim (gambar), seorang bekas tahanan ISA berkata, rakyat Malaysia mahukan elemen peruntukan boleh menahan seseorang tanpa perbicaraan dibuang daripada mana-mana undang-undang pencegahan yang mahu diadakan.

Setiausaha Agung DAP menambah, satu tempoh yang pendek boleh dibenarkan bagi penahanan tetapi tahanan mesti dibicarakan di mahkamah.

Dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia semalam, Najib mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Kata Najib, dua undang-undang baru itu akan digubal di bawah “semangat serta payung” Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Perdana Menteri menegaskan bahawa undang-undang baru itu akan memperuntukkan tempoh tahanan polis yang lebih pendek daripada yang dijalankan pada masa ini.

Kerajaan juga menjamin bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa kerajaan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan, kata Najib semalam.

Kerajaan juga akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

Beliau juga berkata kebenaran berhimpun akan diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak dengan mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, Putrajaya seharusnya memansuhkan undang-undang berkaitan media selari dengan usaha memansuhkan ISA.

“Saya juga mangsa PPPA . . . saya ditahan selama 18 bulan,” kata beliau.
Lim juga membidas pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA, Gerakan dan MIC kerana menyokong pembaharuan diumumkan oleh Najib kerana mereka juga menyokong ISA sebelum ini.

“Sekarang, mereka cuba untuk mengambil kredit dengan pengumuman Najib,” kata Lim lagi.
Sehubungan itu kata Lim, rakyat Malaysia seharusnya diberikan pujian atas pengumuman Najib semalam, yang dilihat sebagai hasil perubahan landskap politik menerusi pilihan raya umum 2008.
Pilihan raya umum 2008 menyaksikan tsunami politik dengan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dinafikan dan lima negeri dikuasai komponen Pakatan Rakyat.

“Mereka menyokong pembangkang yang berjuang untuk kebebasan yang lebih luas. Ia juga kesan kebangkitan di negara-negara Arab . . . jadi kerajaan-kerajaan, diktator-diktator jatuh pada era moden ini, ia tidak lagi berfungsi lain,” katanya lagi

Mohon Maaf, Bayar Pampasan dan Tutup Kem Kemunting.


1. Syukur Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan Yang Maha Adil lagi Maha Mengasihani. Setelah sekian lama PAS berjuang dan kini bersama Pakatan Rakyat, menuntut keadilan dan kesaksamaan dalam sistem pemerintahan negara terutama tuntutan supaya dimansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri [ISA], kini hampir menjadi kenyataan setelah ramai pimpinan PAS dan aktivisnya terpaksa merengkok dalam tahanan kejam tanpa bicara itu, semata - mata kerana persaingan politik yang tidak matang.

2. Saya tidak lokek untuk mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Datuk Seri Najib Tun Abd Razak yang telah mengisytiharkan komitmennya untuk memansuhkan ISA sebentar tadi, biarpun UMNO dan BN telah mengambil masa yang terlalu lama untuk memahami betapa kejam dan zalimnya undang - undang ISA ini ke atas makhluk yang bergelar insan. Sementara PAS telah menentang ISA sejak hari pertama ia dibentang dan diluluskan di Parlimen justeru ia bertentangan dengan semangat keadilan yang dianjurkan oleh syariat Islam.

3. Sejurus mendengar pengisytiharan Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam ini, hampir mengalir air mata saya mengenang penderitaan dan kesengsaraan yang terpaksa dialami oleh bekas tahanan ISA sebelum ini. Alangkah jika ISA dimansuhkan sejak komunis menyerah diri dan membubarkan parti serta perjuangan mereka tempoh silam. Pastinya mereka tidak perlu menderita dan sengsara hanya kerana dendam politik sang pemerintah.

4. Datuk Seri Najib Tun Abd Razak mesti mengotakan komitmennya dengan membentangkan secara rasmi Kertas pemansuhan ISA ini di dalam Parlimen yang akan bersidang awal bulan depan dan disokong pula oleh keseluruhan Ahli Parlimen UMNO dan BN sekaligus mengusulkan penutupan Kem Kemunting dengan membawa semua tahanan yang masih ada kemuka pengadilan untuk diadili mengikut proses undang - undang negara.

5. Dewan Pemuda PAS Malaysia mengharapkan Kerajaan UMNO dan BN pimpinan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abd Razak juga mestilah mengemukakan permohonan maaf secara terbuka serta membayar pampasan kepada semua mangsa - mangsa tahanan ISA dan keluarga mereka yang terpaksa mengalami penderitaan dan trauma yang teruk akibat akta draconian ini.[ISA]

6. Alhamdulillah, Sekali lagi saya lafazkan rasa syukur kepada Allah swt. berikutan komitmen yang diberi oleh YAB Perdana Menteri untuk turut mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

7. Subjek yang diumum dan diisytiharkan oleh YAB Perdana Menteri adalah merupakan jurus - jurus kecil dari pelan induk Reformasi yang digerakkan oleh Pakatan Rakyat khasnya melalui Buku Jingganya sebelum ini. Demikian juga apa yang ditawarkan oleh PAS menerusi Dokumen Negara Berkebajikan. Tidak mengapalah siapa pun yang melaksanakannya asal ia membawa kebaikan kepada rakyat. Namun Kerajaan UMNO dan BN mesti sedar dan insaf, bahawa masih terlalu banyak perkara yang perlu direformasikan secara menyeluruh. Tidak memadai YAB Perdana Menteri pancing sokongan pengundi dengan hanya membuat beberapa perubahan atau pindaan yang bersifat jurus - jurus kecil sedang masaalah pokok masih tergantung diawangan.

8. Masaalah pokok yang saya maksudkan di sini ialah pemulihan sistem demokrasi yang adil dan ketelusan sistem pengurusan pilihanraya. Tiada erti perubahan itu dilakukan sedang hak pengundi untuk mengundi secara adil, telus dan saksama ternafi atau dinafikan dengan pincangnya sistem demokrasi dan selewengnya pengurusan pilihanraya.

9. Hari ini, negara masih berdepan dengan pelbagai bentuk kekeliruan dan keraguan yang timbul dari daftar pemilih, corak pengendalian pilihanraya, identiti pengundi, mykad palsu, pengundi klon dan undi pos sebagaimana yang didedahkan oleh DPP Malaysia, malah ianya masih gagal dijawab dengan jawapan yang meyakinkan oleh pengendali pilihanraya iaitu SPR mahupun kerajaan sendiri.

10. Ketelusan sistem pengurusan pilihanraya menjadi perkara terpenting setelah dilihat kepada usaha YAB Perdana Menteri cuba melakukan perkara yang serupa dengan apa yang mahu dilakukan oleh PAS dan Pakatan Rakyat. Apabila dilihat program dan subjeknya serupa, maka rakyat perlu kepada keadilan dan ketelusan untuk memilih siapakah yang lebih layak untuk menjadi kerajaan atau pemimpin bagi melaksanakan program reformasi negara tersebut.

11. Apa yang pasti, kini Pakatan Rakyat telah dilihat mampu memimpin dan memerintah. Tiada siapa boleh menafikannya lagi setelah banyak idea dan program reformasi negara yang dicadang oleh Pakatan Rakyat kini dilaksanakan oleh kerajaan UMNO dan BN.

12. Saya sendiri bertambah yakin. Bahawa Pakatan Rakyat mampu mengambil alih teraju kepimpinan negara, kerana rakyat kini beralih perhatian untuk memilih siapa yang paling layak memimpin dan memerintah setelah dilihat idea dan program perubahan hampir serupa dari kedua - dua parti iaitu Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Malah rakyat tahu siapa yang menggerakkan program dan idea perubahan tersebut.

13. Ertinya selepas ini nilai integriti, akhlak pemimpin, kecerdasan dan karisma kepimpinan akan menjadi nilai fokus pada pengundi untuk diberi mandat kepimpinan negara, kerana tiada erti diserahkan urusan pemerintahan kepada manusia yang rosak nilai integriti, rasuah dan tidak diyakini kewibawaannya. Justeru itu, berikan ruang secukup dan seadilnya untuk rakyat membuat pilihan tepat tanpa sebarang tekanan dan ugutan jua tanpa sebarang manipulasi.

14. Dewan Pemuda PAS Malaysia percaya, pengumuman YAB Perdana Menteri malam ini adalah isyarat gendang tari pilihanraya telah dipalu. Pemuda PAS secara asasnya telah bersedia untuk menghadapi kemungkinan pilihanraya di adakan pada bila - bila masa secara spiritual, mental, material dan fizikal. Pembentangan belanjawan pada bulan hadapan juga pastinya akan dijadikan belanjawan pilihanraya seperti lazimnya dan akan banyaklah tawaran - tawaran dikemukakan kepada rakyat terutama rakyat marhaen dan menengah.

15. Kini DPP Malaysia telah memasuki gear lima untuk terus meluncur dengan persiapan dan gerakkerjanya ke arah memenangi pilihanraya umum ke 13 insyaallah.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
11.00 malam
15 Sept 2011

Thursday, 15 September 2011

PANAS!! Mansuh ISA, DS Najib PM yang sukar dibaca!!




Mansuh ISA! Itu perkataan yang mengejutkan seluruh rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi pada yang pro pembangkang. Keputusan berani DS Najib ni, boleh membuatkan pihak pembangkang terutamanya Anwar Ibrahim, tertelan air liur dengan keberanian keputusan DS Najib ini.

Namun sudah resmi pembangkang Malaysia, takkan tunduk walaupun salah, takkan kalah walaupun tewas. Mereka tetap akan mencari jalan untuk menghentam kerajaan Malaysia walaupun cara yang mereka gunakan itu kita lihat sebagai perbuatan yang sempit dan meloyakan.

Selang beberapa jam DS Najib menyampai perutusan yang mengejutkan.

Muncul lah beberapa hero Pakatan, yang bersuara sinis hanya untuk mempertikaikan apa yang DS Najib katakan di dalam perutusannya semalam.

Salahuddin Ayup diantara hero 'sakit' yang cuba bersuara malah dengan sombongnya Salahuddin meminta kerajaan Malaysia meminta maaf terhadap individu yang pernah ditahan dibawah akta ISA.

Apa masalah mereka pun Mc taktau. Kerajaan menahan individu dengan ISA kerana individu terbabit telah mengeluarkan kenyataan atau perbuatan yang boleh membahayakan keselamatan negara. Contohnya menghasut dalam isu perkauman, atau menghina agama secara terang-terangan. Itu dua perkara sensitif yang boleh menganggu gugat negara kita yang berbilang kaum ini.

Takkan tanpa sebarang kesalahan, kerajaan akan bertindak sesuka-hati dan menahan orang secara membabi buta. Itu namanya gila.. saranan Salahudin Ayub itu langsung tidak masuk akal, dan hanya akan memalukan kerajaan Malaysia sahaja.

DS Najib adalah seorang PM yang sukar dibaca gerak gerinya. Kadang2 tindakan yang beliau buat langsung tidak pernah kita fikir yang beliau akan lakukan.

Termasuklah semalam..

Apapun demi keselamatan dalam negara, Mc harap, DS Najib akan satu 'back up plan' untuk mengawal, anasir buas dan jahat yang hanya tunggu ISA di mansuhkan oleh kerajaan.


lagu khas sempena merdeka!!!

Alhamdulillah...ISA telah dikuburkan.. TAHNIAH SUARA RAKYAT MALAYSIA..!!


K'jaan mansuhkan ISA dan Akta Buang Negeri

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini mengumumkan keputusan kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Buang Negeri 1959.
"Sepertimana yang saya janjikan dalam ucapan sulung saya semasa mula-mula mengambil alih jawatan perdana menteri pada 3 April 2009, ISA akan dikaji secara komprehensif.

"Suka saya mengumumkan pada malam yang bersejarah ini, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dimansuhkan terus," katanya dalam ucapan perutusan khasnya sempena Hari Malaysia malam ini.

Selain memansuhkan ISA, katanya, kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

"Sehubungan dengan itu lagi, kita tidak akan teragak-agak untuk meminda atau memansuhkan undang-undang yang tidak lagi relevan," tambahnya.
Perdana menteri juga mengumumkan prinsip pembaharuan tahunan bagi permit pencetakan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.
sementara itu, Najib berkata, kerajaan, di bawah Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, akan membentangkan kepada kedua-dua Majlis Parlimen usul agar ketiga-tiga proklamasi darurat yang telah diisytihar dulu, ditamatkan kuatkuasanya.
"Pada hemahnya, sudah tiba waktu rakyat Malaysia menuju masa depan dengan paradigma seterusnya yang berasaskan harapan baru dan bukannya terbelenggu oleh nostalgia kekangan sejarah lampau," tambahnya.
Gubal dua undang-undang baru
Bagaimanapun, katanya, untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah bagi memelihara ketenteraman dan keselamatan awam, dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal di bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.

"Pokoknya, akta-akta ini nanti bermatlamat untuk memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

"Di atas segalanya, kerajaan akan tetap memastikan hak asasi mereka yang terbabit terpelihara. Apa-apa undang-undang yang diperbuat akan mengambil kira hak dan kebebasan asasi berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

"Undang-undang baru ini akan memperuntukkan tempoh tahanan oleh polis yang secara substansialnya lebih pendek daripada apa yang ada sekarang dan apa-apa tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah kecuali undang-undang berkaitan keganasan, masih dikekalkan bawah kuasa Menteri," tambahnya.

Di sudut lain, tambahnya, kerajaan juga memberi komitmen bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.
"Umumnya pula, kuasa untuk melanjutkan penahanan akan beralih daripada badan eksekutif kepada badan kehakiman kecualilah undang-undang berkaitan keganasan itu tadi," tegasnya.

Kerajaan juga akan mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.
"Namun, kebenaran berhimpun diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak disamping mengambilkira norma-norma di peringkat antarabangsa," tegasnya.

Saturday, 18 June 2011

ISA : Pemuda tidak akan undur walaupun setapak


KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
ISA : Pemuda tidak akan undur walaupun setapak
18 Jun 2011 (Sabtu)

1. MUBARAK mendesak kerajaan agar menangkap perancang Himpunan BERSIH 2.0 di bawah Akta Keselamatan Dalam negeri [ISA]. Ini satu ugutan yang keterlaluan dan melanggar lunas demokrasi. Saya nasihatkan MUBARAK agar tidak menjadi Husni Mubarak 2.0 yang suatu ketika dahulu bermaharajalela dan menangkap siapa sahaja yang menentang beliau tanpa sebarang bicara.

2. Mereka mahu ugut siapa ? Kami sudah menegaskan kepada semua bahawa kami hanya akan berhimpun secara aman dan menunjuk perasaan kami membantah sistem demokrasi yang masih pincang dan mendesak supaya beberapa tuntutan kami yang mewakili sebahagian besar rakyat diterima dengan baik oleh pihak kerajaan. Apa masaalah MUBARAK ? apa masaalah kerajaan ? untuk tidak menunaikan permintaan sebahagian rakyat biar pun tidak semua rakyat dalam negara ini membuat tuntutan serupa, justeru apa yang kami minta adalah untuk keadilan dan ketelusan.

3. Kita tidak minta lebih. Kita tidak meminta suatu yang merugikan mana - mana pihak termasuk kerajaan. Apa yang kita minta ialah padang yang sama rata, alat yang serupa dan suasana yang mengizinkan ketelusan berlaku dan dilihat berlakunya ketelusan dalam sistem demokrasi khasnya sistem pengendalian pilihanraya dalam negara ini.

4. Setelah permintaan kita selama ini gagal dilayan dengan baik oleh pihak berwajib, himpunan BERSIH 2.0 adalah sebagai langkah untuk menunjuk perasaan dan menarik perhatian bahawa permintaan kita adalah serius dan tidak boleh dipandang ringan oleh mereka.

5. Cara mahu menangani Himpunan BERSIH 2.0 ialah dengan mengawal himpunan ini agar tidak terdedah kepada provokasi pihak yang tidak bertanggungjawab dan menunaikan permintaan rakyat tersebut. Bukan dengan ugutan dan tangkapan . Jika ugutan dan tangkapan itu mereka fikir boleh menakutkan rakyat, maka saya fikir mereka silap dan 1001 kali silap.

6. Insyaallah, saya sendiri akan berada di saff hadapan dan jangan fikir ISA itu boleh mengendurkan semangat saya dan melemahkan kesungguhan saya apalagi mahu menakutkan saya. Saya yakin ini adalah perjuangan rakyat yang mahu menuntut kebenaran, keadilan, ketelusan dan kejujuran dalam sistem pengendalian demokrasi negara dan ia adalah suatu yang dituntut oleh Islam justeru Islamlah pelopor keadilan, ketelusan dan kejujuran ini.

7. Saya menyeru semua rakan - rakan anak muda dari seluruh negara agar gembira dan tenang. Himpunan BERSIH 2.0 adalah untuk keamanan dan kesejahteraan negara. Rakyat juga tidak perlu resah, peniaga tidak perlu bimbang dan orang ramai tidak usah gundah, himpunan ini aman jika mana - mana pihak termasuk pihak polis tidak mencetus provokasi. Saya yakin, yang rasa tidak aman ialah UMNO dan BN, yang resah ialah UMNO dan BN dan yang gundah ialah UMNO dan BN.

8. Malaysia bukan negara polis. Maka usahlah kerajaan menangani masaalah rakyat dan tuntutan mereka dengan kekerasan dan tangkapan. Tapi, kalau kerajaan fikir mereka mahu jatuh cepat dari jadual yang telah ditentukan, silakan lah berbuat sesuka hati. Saya tidak boleh jamin apa - apa.

9. Saya menyeru buat kesekian kalinya, datanglah ke Kuala Lumpur pada 9 Julai 2011 nanti dengan happy dan enjoy membawa semangat "Visit Day" dan Kuala Lumpur adalah destinasi anda kali ini. Melancunglah dalam negeri ! bukankah ini slogan kerajaan.Pelancungan pada 9 hb Julai 2011 ini adalah bertemakan Keadilan dan Ketelusan di samping menikmati Kota Raya negara kita sendiri.

10. Datang jangan tak datang. Saya tunggu anda semua pada 9 hb Julai 2011 kelak . Salam perjuangan dari saya mewakili seluruh warga Dewan Pemuda PAS Malaysia .


Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia