Showing posts with label najib razak. Show all posts
Showing posts with label najib razak. Show all posts

Thursday, 6 December 2012

Persediaan PRU13 Umno menakutkan: Apa maksud Prof Agus?


Ahmad Lutfi Othman
Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2012 memang berwarna-warni. Bukan hanya nampak garang dengan warna merah menyala pakaian perwakilan dan pemerhati, tetapi juga lagak-aksi pemimpin serta pembahas.

Ada tangisan, gelak ketawa, sorakan dan yang juga paling sukar dilupakan apabila Presidennya, Najib Razak kelihatan suka sangat menjerit, menengking, menjerkah dan "meneran".

Saya kira, berakhirnya PAU 2012, corong televisyen tidak bingit lagi dengan gema suara tinggi Najib melaung dan mengherdik. Saya salah. Pengerusi BN itu rupanya masih gian menguji suaranya, mungkin mahu menyaingi lantunan bicara Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS.

Malam Isnin, 2 Disember lalu, sekitar jam 8 malam, sewaktu saya mula mengedit buku (yang tertangguh lebih empat tahun) mengenai kematian puteri saya, Nurul Syafiqah, dari ruang depan, suara bising Buletin Utama TV3 cukup mengejutkan.

Segera saya meluru bergegas mencari kepastian. Siapa pula mengacau ketenangan hari minggu ini? Nampak urat leher Najib yang tegang. Presiden Umno itu "meneran" lagi. Butir perkataannya tidak begitu jelas. Cuma saya dapat menangkap dia mempertegaskan dirinya sebagai perdana menteri yang prihatin dengan kebajikan dan kepentingan rakyat.

Biasalah ayat-ayat klise, terutama untuk mendapatkan mandat dalam PRU13 ... tetapi kenapa perlu menjerkah dan menjerit, dengan nada yang menjengkelkan, yang tidak selayaknya dilafazkan oleh seorang negarawan. Saya tidak pasti apakah Najib -- di depan M Keyveas dan ahli-ahli PPP yang semuanya merangkap pemimpin -- mengulangi perisytiharan perangnya lagi. Ya, memerangi rakyat yang ghairah menuntut perubahan dan pertukaran kuasa di Putrajaya!

Rupanya Najib masih berdiri di PWTC, tempat berlangsungnya PAU 2012 yang melabuhkan tirainya sehari sebelum itu (maghrib Sabtu), tetapi kini berucap merasmikan mesyuarat agung ke-59 Parti Progresif Penduduk.

Lensa TV menyorot wajah mentornya, Dr Mahathir Mohamad. Dalam hati terdetik, "hebat orang tua ini." Sebelum itu berhari-hari dia berkampung bersama ahli-ahli Umno sehingga Najib merakamkan penghargaan tinggi buat bekas Perdana Menteri itu semasa ucapan penangguhannya. Dr Mahathir bagaikan penceramah Umno paling aktif sekarang.

Saya menahan diri daripada memandang rendah, apatah lagi memperleceh, keupayaan Umno dan gabungannya dalam BN, untuk mempertahankan sisa-sisa kuasa. Masing-masing parti sudah sewajarnya cuba mempamerkan kekuatan dan berlagak penuh yakin merekalah bakal pemenang dalam PRU13 nanti.

Namun, sesiapa sahaja yang mengikuti PAU Ke-66, walaupun sekadar menonton TV dan membaca akhbar, akan terkesan bahawa Najib serta sekutunya nampak gelabah dan tidak dapat menyembunyikan kegelisahan mereka.

Jeritan dan pekikan, serta sesekali ketawa besar dengan jenaka tanpa isi itu, sebenarnya cuba menyembunyikan gelodak rasa takut amat sangat akan kehilangan kuasa. Umno tanpa kuasa -- seperti sering diulang Najib dan Dr Mahathir -- tidak lebih daripada sampah.

Bukan saja Najib, yang pastinya bersungguh-sungguh dengan apa jua cara memastikan bahtera yang dinakhodainya tidak bocor dan tenggelam, malah Dr Mahathir juga bagaikan cacing kepanasan dan tidak betah duduk diam.

Masakan tidak, bagi pemimpin Umno, hilang Putrajaya bukan hanya bermakna peralihan kuasa kepada Pakatan Rakyat, tetapi mimpi ngeri buat para pemimpin dan kroni suku-sakat yang korup, merompak wang rakyat, menyeleweng dan hidup penuh kecurangan.

Petang 1 Disember lalu, di depan lebih 2,700 perwakilan, Najib memaklumkan bahawa Dr Mahathir secara sukarela bertemu dengan pemimpin akar umbi Umno untuk meraih sokongan untuk parti itu menjelang PRU13, walaupun tanpa diminta untuk berbuat demikian.

Anwar Ibrahim, yang cukup masak dengan perangai bekas bos yang telah memecat dan mengaibnya itu, dalam sidang media 3 Disember, segera menyanggah: "Kita tahu hakikatnya bahawa Dr Mahathir secara sendiri telah memanggil pemimpin Umno dan pemimpin negeri. Najib memaparkan keberanian yang sangat sedikit sebagai seorang pemimpin. Dia tidak mampu menangani Shahrizat (dalam skandal NFC), jadi saya tidak boleh bayangkan bagaimana dia mampu berurusan dengan Dr Mahathir."

Anwar turut memperlekehkan Umno yang dikatakan memperoleh keyakinan semula pengundi dengan menyifatkan pemimpinnya tidak mampu mendapat sokongan akar umbi dengan hanya "menginap di hotel 5 bintang, menghabiskan masa di lobi dan menghisap curut mahal ... Hal ini jelas terpisah antara kaya, pemimpin jutawan Umno dan rakyat di bawah."

Meskipun cuba mempertegaskan Umno sebagai organisasi massa yang berakar bersama rakyat, namun sebahagian besar pemimpinnya "tetap elit dan eksklusif". Desakan perubahan selepas kalah lima negeri dan hilang majoriti dua pertiga di Parlimen langsung tidak membekas kepada gaya kehidupan mereka.

Rasuah yang membarah langsung tidak diberi penekanan oleh Najib, dan pendedahan sensasi Deepak (termasuk berkaitan pembunuhan Altantuya Shariibuu) juga tidak cuba dijawab. Naib Presiden parti dan Menteri Pertahanan Zahid Hamidi yang rapat dengan Najib sejak zaman Pemuda, gagal menunaikan janjinya kepada media, untuk menjawab serangan terhadap keluarga bosnya itu semasa ucapan penggulungan, sebaliknya "melambung" Presiden Umno setinggi langit.

Penganalisis politik terkemuka, Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff dalam Facebook sempat membidas: "Saya tidak mengikuti PAU dari dekat tahun ini. Tapi dari berita yang saya baca, dari video Youtube yang saya tonton dan dengar, saya dapati gaya perdebatan perwakilan gagal untuk meletakkan agenda Umno ke depan. Ucapan banyak diisi dengan jenaka, puji memuji pemimpin, semangat kepartian yang tidak ada substance dan retorik basi. Ucapan penggulungan pemimpin juga lemah dan tidak meyakinkan. Jika ini mahu diambil sebagai gambaran tahap persediaan Umno untuk menghadapi PRU13, ini menakutkan!"

Saya tidak pasti apa maksud "menakutkan" bagi Dr Agus. Tidak mungkin beliau "takut" Umno akan hilang kuasa. Atau ia membayangkan bagaimana seorang sarjana dan pemikir seperti Dr Agus sudah merasakan babak Umno-BN menguasai pemerintahan akan berakhir tidak lama lagi

Friday, 16 September 2011

Aduhai NAJIB.. mahsuh 1 tapi mau bikin yg baru 2 pulak tuuu...!!


Guan Eng: Najib mansuh satu ISA, mahu gubal dua ‘ISA’

September 16, 2011
GEORGE TOWN, 16 Sept — Lim Guan Eng menegaskan langkah pentadbiran Najib mahu menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan dua undang-undang baru satu perkembangan yang mengecewakan dan penjenamaan semula akta yang kontroversial itu.

Justeru kata beliau, inisiatif pembaharuan politik yang diumumkan malam tadi adalah sesuatu yang tidak bermakna jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu mengadakan undang-undang baru bagi tujuan yang sama.

“Ya, sudah pasti ia berita yang baik tetapi jika anda mahu menggantikan dengan dua undang-undang baru, maka ia akan menjadi dua ISA?

“Kami tidak mahu melihat satu situasi di mana anda memasukkan wain yang lama dalam satu botol yang baru,” kata beliau pada sidang media hari ini.

Lim (gambar), seorang bekas tahanan ISA berkata, rakyat Malaysia mahukan elemen peruntukan boleh menahan seseorang tanpa perbicaraan dibuang daripada mana-mana undang-undang pencegahan yang mahu diadakan.

Setiausaha Agung DAP menambah, satu tempoh yang pendek boleh dibenarkan bagi penahanan tetapi tahanan mesti dibicarakan di mahkamah.

Dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia semalam, Najib mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Kata Najib, dua undang-undang baru itu akan digubal di bawah “semangat serta payung” Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Perdana Menteri menegaskan bahawa undang-undang baru itu akan memperuntukkan tempoh tahanan polis yang lebih pendek daripada yang dijalankan pada masa ini.

Kerajaan juga menjamin bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa kerajaan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan, kata Najib semalam.

Kerajaan juga akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

Beliau juga berkata kebenaran berhimpun akan diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak dengan mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, Putrajaya seharusnya memansuhkan undang-undang berkaitan media selari dengan usaha memansuhkan ISA.

“Saya juga mangsa PPPA . . . saya ditahan selama 18 bulan,” kata beliau.
Lim juga membidas pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA, Gerakan dan MIC kerana menyokong pembaharuan diumumkan oleh Najib kerana mereka juga menyokong ISA sebelum ini.

“Sekarang, mereka cuba untuk mengambil kredit dengan pengumuman Najib,” kata Lim lagi.
Sehubungan itu kata Lim, rakyat Malaysia seharusnya diberikan pujian atas pengumuman Najib semalam, yang dilihat sebagai hasil perubahan landskap politik menerusi pilihan raya umum 2008.
Pilihan raya umum 2008 menyaksikan tsunami politik dengan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dinafikan dan lima negeri dikuasai komponen Pakatan Rakyat.

“Mereka menyokong pembangkang yang berjuang untuk kebebasan yang lebih luas. Ia juga kesan kebangkitan di negara-negara Arab . . . jadi kerajaan-kerajaan, diktator-diktator jatuh pada era moden ini, ia tidak lagi berfungsi lain,” katanya lagi

Thursday, 15 September 2011

PANAS!! Mansuh ISA, DS Najib PM yang sukar dibaca!!




Mansuh ISA! Itu perkataan yang mengejutkan seluruh rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi pada yang pro pembangkang. Keputusan berani DS Najib ni, boleh membuatkan pihak pembangkang terutamanya Anwar Ibrahim, tertelan air liur dengan keberanian keputusan DS Najib ini.

Namun sudah resmi pembangkang Malaysia, takkan tunduk walaupun salah, takkan kalah walaupun tewas. Mereka tetap akan mencari jalan untuk menghentam kerajaan Malaysia walaupun cara yang mereka gunakan itu kita lihat sebagai perbuatan yang sempit dan meloyakan.

Selang beberapa jam DS Najib menyampai perutusan yang mengejutkan.

Muncul lah beberapa hero Pakatan, yang bersuara sinis hanya untuk mempertikaikan apa yang DS Najib katakan di dalam perutusannya semalam.

Salahuddin Ayup diantara hero 'sakit' yang cuba bersuara malah dengan sombongnya Salahuddin meminta kerajaan Malaysia meminta maaf terhadap individu yang pernah ditahan dibawah akta ISA.

Apa masalah mereka pun Mc taktau. Kerajaan menahan individu dengan ISA kerana individu terbabit telah mengeluarkan kenyataan atau perbuatan yang boleh membahayakan keselamatan negara. Contohnya menghasut dalam isu perkauman, atau menghina agama secara terang-terangan. Itu dua perkara sensitif yang boleh menganggu gugat negara kita yang berbilang kaum ini.

Takkan tanpa sebarang kesalahan, kerajaan akan bertindak sesuka-hati dan menahan orang secara membabi buta. Itu namanya gila.. saranan Salahudin Ayub itu langsung tidak masuk akal, dan hanya akan memalukan kerajaan Malaysia sahaja.

DS Najib adalah seorang PM yang sukar dibaca gerak gerinya. Kadang2 tindakan yang beliau buat langsung tidak pernah kita fikir yang beliau akan lakukan.

Termasuklah semalam..

Apapun demi keselamatan dalam negara, Mc harap, DS Najib akan satu 'back up plan' untuk mengawal, anasir buas dan jahat yang hanya tunggu ISA di mansuhkan oleh kerajaan.


lagu khas sempena merdeka!!!

Alhamdulillah...ISA telah dikuburkan.. TAHNIAH SUARA RAKYAT MALAYSIA..!!


K'jaan mansuhkan ISA dan Akta Buang Negeri

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini mengumumkan keputusan kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Buang Negeri 1959.
"Sepertimana yang saya janjikan dalam ucapan sulung saya semasa mula-mula mengambil alih jawatan perdana menteri pada 3 April 2009, ISA akan dikaji secara komprehensif.

"Suka saya mengumumkan pada malam yang bersejarah ini, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dimansuhkan terus," katanya dalam ucapan perutusan khasnya sempena Hari Malaysia malam ini.

Selain memansuhkan ISA, katanya, kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

"Sehubungan dengan itu lagi, kita tidak akan teragak-agak untuk meminda atau memansuhkan undang-undang yang tidak lagi relevan," tambahnya.
Perdana menteri juga mengumumkan prinsip pembaharuan tahunan bagi permit pencetakan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.
sementara itu, Najib berkata, kerajaan, di bawah Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, akan membentangkan kepada kedua-dua Majlis Parlimen usul agar ketiga-tiga proklamasi darurat yang telah diisytihar dulu, ditamatkan kuatkuasanya.
"Pada hemahnya, sudah tiba waktu rakyat Malaysia menuju masa depan dengan paradigma seterusnya yang berasaskan harapan baru dan bukannya terbelenggu oleh nostalgia kekangan sejarah lampau," tambahnya.
Gubal dua undang-undang baru
Bagaimanapun, katanya, untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah bagi memelihara ketenteraman dan keselamatan awam, dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal di bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.

"Pokoknya, akta-akta ini nanti bermatlamat untuk memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

"Di atas segalanya, kerajaan akan tetap memastikan hak asasi mereka yang terbabit terpelihara. Apa-apa undang-undang yang diperbuat akan mengambil kira hak dan kebebasan asasi berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

"Undang-undang baru ini akan memperuntukkan tempoh tahanan oleh polis yang secara substansialnya lebih pendek daripada apa yang ada sekarang dan apa-apa tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah kecuali undang-undang berkaitan keganasan, masih dikekalkan bawah kuasa Menteri," tambahnya.

Di sudut lain, tambahnya, kerajaan juga memberi komitmen bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.
"Umumnya pula, kuasa untuk melanjutkan penahanan akan beralih daripada badan eksekutif kepada badan kehakiman kecualilah undang-undang berkaitan keganasan itu tadi," tegasnya.

Kerajaan juga akan mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.
"Namun, kebenaran berhimpun diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak disamping mengambilkira norma-norma di peringkat antarabangsa," tegasnya.

Sunday, 11 September 2011

HEBAT! Pas dan Pkr sambut DS Najib meriah di Permatang Pauh!!


 Ini laluan ke rumah terbuka 1 Malaysia.. meriah dengan bendera parti..



Nampaknya bukan UMNO saja yang mengalu-alukan kedatangan DS Najib ke sini. Pas dan Pkr pun sambut juga..



tengoklah kemeriahannya..


Serupa nak pilihanraya saja gamaknya..

sumber gambar pejuang bangsa

UMNO patut berterima kasih kepada PKR dan Pas Permatang Pauh kerana turut sama mempromosikan rumah terbuka ini dengan bendera mereka. Ini menunjukkan komitmen mereka sebagai rakyat Malaysia dan menyokong kedatangan DS Najib ke Permatang Pauh. Apakah ini tanda-tanda Pas dan Pkr sudah tidak mahukan Anwar lagi?

Thursday, 8 September 2011

NAJIB duit takdak... lalu meragut duit rakyat : Cukai 6% Untuk Setiap Pembelian Tambah Nilai...


Cukai 6 Peratus Untuk Setiap Pembelian Tambah Nilai

Cukai Enam Peratus(%) Setiap Topup Dan Permulaan Prabayar/Pek Sim

Pembelian tambah nilai prabayar dan permulaan prabayar/pek SIM bagi semua syarikat telekomunikasi akan dikenakan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus, berkuat kuasa 15 Sept.

Pelanggan prabayar akan dimaklumkan melalui SMS bermula tengah hari ini mengenai cukai perkhidmatan ITU, demikian menurut industri syarikat telekomunikasi Malaysia dalam kenyataan bersama di sini Khamis. Para pelanggan juga boleh merujuk kepada laman web syarikat telekomunikasi masing-masing untuk maklumat atau menghubungi pusat perkhidmatan pelanggan sekiranya mereka mempunyai pertanyaan lanjut.

Syarikat telekomunikasi itu berkata cukai perkhidmatan merupakan cukai penggunaan dan boleh dikenakan kepada pelanggan sebagaimana yang disediakan dalam perundangan cukai perkhidmatan.

Akta Cukai Perkhidmatan 1975 memerlukan syarikat telekomunikasi mengenakan levi cukai perkhidmatan pada kadar tertentu terhadap perkhidmatan telekomunikasi, termasuk perkhidmatan prabayar mudah alih.

Ini sama seperti cukai perkhidmatan yang dilevi terhadap pembelian makanan dan minuman daripada restoran dan hotel.

Cukai perkhidmatan terhadap prabayar bukan baru kerana syarikat telekomunikasi telah menyerapnya bagi perkhidmatan prabayar mudah alih sejak pengenalan pada 1998.

Langkah yang diambil adalah bagi memastikan perkhidmatan prabayar mudah alih kekal kompetitif berbanding pasca bayar, memandangkan kadar prabayar tinggi bagi panggilan dan SMS pada permulaan.

Dengan kadar prabayar berkurangan sejak bertahun, ia kini ditawarkan pada kadar yang amat kompetitif.

“Dengan cukai perkhidmatan enam peratus terhadap perkhidmatan prabayar, seorang pelanggan yang membeli tambah nilai RM10 perlu membayar RM10.60, dengan 60 sen sebagai cukai perkhidmatan,” kata kenyataan itu. – BERNAMA

huh!..nak beli topup sepuluh pun kena sedia rm11 ringgit lah macam ni..adoyai…

http://iqbalhakimi.com/2011/09/08/cukai-6-peratus-untuk-setiap-pembelian-tambah-nilai