Showing posts with label PRU 13. Show all posts
Showing posts with label PRU 13. Show all posts

Tuesday, 1 January 2013

2013: Pilih Pakatan pertama kali dalam 55 tahun


KUALA LUMPUR: Biar 2013 menamatkan pencacatan negara dan membawa era transformasi yang sebenar dengan memilih kerajaan Pakatan Rakyat buat pertama kalinya dalam tempoh 55 tahun. Demikian kata Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang dalam perutusan sempena tahun 2013.

Menurut Ahli Parlimen Ipoh Timur itu, empat tahun pemerintahan Najib akan dikenang oleh rakyat Malaysia sebagai pentadbiran yang penuh dengan menjunamnya pelbagai indeks global dan hakikat yang tidak enak ini telah ditonjolkan melalui tiga laporan antarabangsa dalam bulan terakhir tahun ini.

Di bawah adalah perutusan beliau.

Hampir empat tahun, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menjanjikan satu demi satu program transformasi – kerajaan, ekonomi, politik, pendidikan, sosial dan sebagainya dengan slogan 1Malaysia di bawah satu demi satu agensi.

Yang dicapai oleh semua pengumuman dan inisiatif itu adalah gelaran “Negara Akronim” sementara pencacatan negara dalam semua aspek kehidupan masih berterusan.


Empat tahun pemerintahan Najib akan dikenang oleh rakyat Malaysia sebagai pentadbiran yang penuh dengan menjunamnya pelbagai indeks global dan hakikat yang tidak enak ini telah ditonjolkan melalui tiga laporan antarabangsa dalam bulan terakhir tahun ini, iaitu:-

SAMBUNG BACA

Saturday, 15 December 2012

Mustafa Ali akui Pas akan tewas di PRU13 kerana isu Saloon..



Isu saman “kelakuan kurang sopan” ke atas pasangan bukan Islam oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan berkemungkinan menjejaskan peluang Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Datuk Mustafa Ali.

Setiausaha agung PAS itu mengakui tempias akan dirasai oleh PR menjelang pilihan raya umum ke (PRU) 13 yang akan berlangsung tidak lama lagi.

“Saya tidak boleh kata langsung tidak memberikan kesan kepada pengundi bukan Islam,” kata Mustafa kepada The Malaysian Insider dalam satu temuramah.

“Ia mungkin ada beri kesan.” PAS, DAP dan PKR mendapat kemenangan bersejarah semasa PRU 2008, merampas empat lagi negeri dan memenangi 82 kerusi parlimen untuk menafikan majoriti tradisi dua pertiga gabungan Barisan Nasional (BN) daripada 222-kerusi.

Kemenangan 2008 menguatkan keyakinan PR untuk bekerja bermatian-matan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang dan membentuk kerajaan persekutuan tetapi beberapa siri isu-isu menyebabkan mereka berada dalam keadaan defensif.

Mustafa juga menyalahkan MCA kerana membesar-besarkan isu ini dan memberi persepsi buruk kepada PR, mengkritik akhbar harian bahasa Inggeris The Star, kerana mempunyai niat jahat terhadap parti tersebut.

“Ia mungkin menyebabkan timbul persepsi kurang baik kepada PR,” tambah Mustafa. “Tindakan MCA ini adalah satu tindakan jahat.”

The Star melaporkan tentang penguatkuasa Kelantan menyaman dua pasangan bukan Islam berkhalwat baru-baru ini, jenayah di bawah undang-undang syariah, tetapi PAS dengan pantas menjelaskan ianya saman bagi kelakuan tidak senonoh.

MCA mengutuk tindakan oleh penguatkuasa negeri dan menuduh kerajaan PAS mengenakan hukum hudud ke atas bukan Islam.

Sekutu PAS seperti pengerusi kebangsaan DAP Karpal Singh, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan ketua Dewan Perhimpunan Penyokong PAS Hu Pang Chaw masuk campur dalam isu itu, dan meminta kerajaan negeri untuk menjelaskan tentang saman tersebut.

Pendandan rambut bukan Islam di Kelantan baru-baru ini dilaporkan disaman kerana mempunyai pelanggan daripada jantina berlainan, melanggar undang-undang kecil kerajaan tempatan yang melarang pendandan rambut wanita daripada bekerja untuk lelaki dan sebaliknya — mencetuskan kekecohan tentang pelaksanaan undang-undang Islam.

Akan tetapi kerajaan Kelantan menggantung peraturan-peraturan berkaitan dengan pendandan rambut dua hari lalu selepas kekecohan tersebut.

Menjelang PRU ke-13, BN berusaha keras untuk tidak menggalakkan pengundi bukan Islam daripada mengundi PR dengan mengatakan PAS akan melaksanakan kod keseksaan Islam, hudud, dan mewujudkan sebuah negara Islam.

Walaupun bukan Islam dikecualikan daripada undang-undang Syariah, sistem dua mahkamah di Malaysia menyebabkan pertindihan dan kekelabuan mengenai kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Friday, 14 December 2012

PRU13 : Umno P.Pinang janji gempur Pakatan.



UMNO Pulau Pinang telah pun menggerakkan jentera pilihan raya dengan mengaktifkan 141 pusat daerah mengundi sebagai persiapan awal, kata Timbalan Pengerusi UMNO Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Katanya UMNO Pulau Pinang menyahut seruan Presiden UMNO dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya jentera pilihan raya parti di peringkat negeri diperkuat.

"Bagi kami di UMNO Pulau Pinang, kami sudah pun bergerak, sudah turun padang, pergi rumah ke rumah dan mengadakan ceramah. Kami terus buat kerja kami, menguatkan jentera pilihan raya," katanya kepada Bernama di sini.

Tambah Musa, “Soal calon kami serahkan kepada presiden dan akan sokong (keputusan). Kami pun nampak di peringkat bahagian di negeri ini, mereka pun tak kisah siapa yang akan jadi calon, tetapi apa yang penting adalah bekerja kuat untuk pilihan raya akan datang.

"Saya percaya selePas nasihat daripada PM dan TPM, sekarang kita dapat lihat bahawa pemimpin UMNO di peringkat akar umbi (di Pulau Pinang) akan sokong siapa saja jadi calon, tidak akan ada sabotaj daripada ahli-ahli.

Ini kerana mereka lihat keadaan politik di Pulau Pinang dan sudah pun juga merasai pengalaman (daripada pemerintahan pakatan pembangkang)," tambah beliau.

Musa juga memberitahu bahawa UMNO kini semakin diterima sebagai parti yang bukan hanya semata-mata mewakili masyarakat Melayu, tetapi kaum lain juga.

Bagi UMNO Pulau Pinang dan khususnya UMNO Bahagian Bukit Mertajam, kini boleh dilihat rakyat pelbagai kaum sering mengunjungi pusat khidmatnya untuk memohon bantuan atau urusan yang lain. - BERNAMA

Saturday, 8 December 2012

Nik Aziz sedia bubar PAS-PAS Perlis.



Pas sedia dibubarkan dan semua ahlinya menyertai Umno jika parti itu melaksanakan hukum Islam di negara ini. Hashim Jasin (Pas-Sanglang) berkata, Mursyidul Am Pas (Datuk Nik Aziz Nik Mat) pernah menyebut jika Umno melaksanakan hukum Islam pada jam 12 tengah malam, Pas akan dibubarkan pada jam 12.05 tengah malam. Bagaimana pun, beliau berkata setakat ini tidak pernah terlintas dalam hatinya untuk menyertai Umno kerana ia masih gagal melaksanakan apa yang dikehendaki oleh Islam. “Saya tidak akan menyertai Umno kerana ia menolak hukum Islam,” katanya ketika ketika perbahasan Bajet 2013 peringkat jawatankuasa, semalam.

 Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Shahidan Kassim (BNTambun Tulang) yang ingin tahu sama ada wakil Pas itu akan menyertai Umno jika gagal dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang kerana doa mereka agar ‘Umno KO’ tidak dimakbulkan. Shahidan berkata, Umno akan terus meraih kemenangan cemerlang dalam PRU akan datang kerana ALLAH SWT merestui perjuangan selama ini. Hashim berkata, jika mahu menyertai Umno, beliau boleh berbuat demikian sejak dahulu lagi iaitu ketika berkhidmat dengan Pejabat Agung Pas di Kuala Lumpur. “Saya mempunyai ramai kawan dari Umno termasuk dalam kalangan timbalan menteri dan setiausaha parlimen (ketika itu). Mereka mengajak saya tetapi saya menolak kerana tidak dapat menerima perjuangannya. “Jadi saya tidak akan menyertai Umno walau apa pun yang terjadi,” katanya.

 Sementara itu, Shahidan membidas Hashim kerana menuduh Umno menolak Islam sebaliknya menegasksn parti itu berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air. “Biarlah Mursyidul Am Pas seorang yang menuduh Umno tolak Islam. Saya harap YB tidak terikut-ikut dengan keadaan itu. “Saya kesal Pas tidak konsisten dengan perjuangannya. Dulu Pas kata nak menegaskan negara Islam tetapi kini mahu melaksanakan negara berkebajikan,” katanya. Menurutnya, Umno sudah lama memperjuangkan negara kebajikan dengan menyalurkan pelbagai kemudahan kepada rakyat sejak merdeka lagi. "Pas tidak berani mempertahankan perjuangannya disebabkan menghadapi tekanan dari rakan dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP dan PKR," katanya.

Thursday, 6 December 2012

Persediaan PRU13 Umno menakutkan: Apa maksud Prof Agus?


Ahmad Lutfi Othman
Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2012 memang berwarna-warni. Bukan hanya nampak garang dengan warna merah menyala pakaian perwakilan dan pemerhati, tetapi juga lagak-aksi pemimpin serta pembahas.

Ada tangisan, gelak ketawa, sorakan dan yang juga paling sukar dilupakan apabila Presidennya, Najib Razak kelihatan suka sangat menjerit, menengking, menjerkah dan "meneran".

Saya kira, berakhirnya PAU 2012, corong televisyen tidak bingit lagi dengan gema suara tinggi Najib melaung dan mengherdik. Saya salah. Pengerusi BN itu rupanya masih gian menguji suaranya, mungkin mahu menyaingi lantunan bicara Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS.

Malam Isnin, 2 Disember lalu, sekitar jam 8 malam, sewaktu saya mula mengedit buku (yang tertangguh lebih empat tahun) mengenai kematian puteri saya, Nurul Syafiqah, dari ruang depan, suara bising Buletin Utama TV3 cukup mengejutkan.

Segera saya meluru bergegas mencari kepastian. Siapa pula mengacau ketenangan hari minggu ini? Nampak urat leher Najib yang tegang. Presiden Umno itu "meneran" lagi. Butir perkataannya tidak begitu jelas. Cuma saya dapat menangkap dia mempertegaskan dirinya sebagai perdana menteri yang prihatin dengan kebajikan dan kepentingan rakyat.

Biasalah ayat-ayat klise, terutama untuk mendapatkan mandat dalam PRU13 ... tetapi kenapa perlu menjerkah dan menjerit, dengan nada yang menjengkelkan, yang tidak selayaknya dilafazkan oleh seorang negarawan. Saya tidak pasti apakah Najib -- di depan M Keyveas dan ahli-ahli PPP yang semuanya merangkap pemimpin -- mengulangi perisytiharan perangnya lagi. Ya, memerangi rakyat yang ghairah menuntut perubahan dan pertukaran kuasa di Putrajaya!

Rupanya Najib masih berdiri di PWTC, tempat berlangsungnya PAU 2012 yang melabuhkan tirainya sehari sebelum itu (maghrib Sabtu), tetapi kini berucap merasmikan mesyuarat agung ke-59 Parti Progresif Penduduk.

Lensa TV menyorot wajah mentornya, Dr Mahathir Mohamad. Dalam hati terdetik, "hebat orang tua ini." Sebelum itu berhari-hari dia berkampung bersama ahli-ahli Umno sehingga Najib merakamkan penghargaan tinggi buat bekas Perdana Menteri itu semasa ucapan penangguhannya. Dr Mahathir bagaikan penceramah Umno paling aktif sekarang.

Saya menahan diri daripada memandang rendah, apatah lagi memperleceh, keupayaan Umno dan gabungannya dalam BN, untuk mempertahankan sisa-sisa kuasa. Masing-masing parti sudah sewajarnya cuba mempamerkan kekuatan dan berlagak penuh yakin merekalah bakal pemenang dalam PRU13 nanti.

Namun, sesiapa sahaja yang mengikuti PAU Ke-66, walaupun sekadar menonton TV dan membaca akhbar, akan terkesan bahawa Najib serta sekutunya nampak gelabah dan tidak dapat menyembunyikan kegelisahan mereka.

Jeritan dan pekikan, serta sesekali ketawa besar dengan jenaka tanpa isi itu, sebenarnya cuba menyembunyikan gelodak rasa takut amat sangat akan kehilangan kuasa. Umno tanpa kuasa -- seperti sering diulang Najib dan Dr Mahathir -- tidak lebih daripada sampah.

Bukan saja Najib, yang pastinya bersungguh-sungguh dengan apa jua cara memastikan bahtera yang dinakhodainya tidak bocor dan tenggelam, malah Dr Mahathir juga bagaikan cacing kepanasan dan tidak betah duduk diam.

Masakan tidak, bagi pemimpin Umno, hilang Putrajaya bukan hanya bermakna peralihan kuasa kepada Pakatan Rakyat, tetapi mimpi ngeri buat para pemimpin dan kroni suku-sakat yang korup, merompak wang rakyat, menyeleweng dan hidup penuh kecurangan.

Petang 1 Disember lalu, di depan lebih 2,700 perwakilan, Najib memaklumkan bahawa Dr Mahathir secara sukarela bertemu dengan pemimpin akar umbi Umno untuk meraih sokongan untuk parti itu menjelang PRU13, walaupun tanpa diminta untuk berbuat demikian.

Anwar Ibrahim, yang cukup masak dengan perangai bekas bos yang telah memecat dan mengaibnya itu, dalam sidang media 3 Disember, segera menyanggah: "Kita tahu hakikatnya bahawa Dr Mahathir secara sendiri telah memanggil pemimpin Umno dan pemimpin negeri. Najib memaparkan keberanian yang sangat sedikit sebagai seorang pemimpin. Dia tidak mampu menangani Shahrizat (dalam skandal NFC), jadi saya tidak boleh bayangkan bagaimana dia mampu berurusan dengan Dr Mahathir."

Anwar turut memperlekehkan Umno yang dikatakan memperoleh keyakinan semula pengundi dengan menyifatkan pemimpinnya tidak mampu mendapat sokongan akar umbi dengan hanya "menginap di hotel 5 bintang, menghabiskan masa di lobi dan menghisap curut mahal ... Hal ini jelas terpisah antara kaya, pemimpin jutawan Umno dan rakyat di bawah."

Meskipun cuba mempertegaskan Umno sebagai organisasi massa yang berakar bersama rakyat, namun sebahagian besar pemimpinnya "tetap elit dan eksklusif". Desakan perubahan selepas kalah lima negeri dan hilang majoriti dua pertiga di Parlimen langsung tidak membekas kepada gaya kehidupan mereka.

Rasuah yang membarah langsung tidak diberi penekanan oleh Najib, dan pendedahan sensasi Deepak (termasuk berkaitan pembunuhan Altantuya Shariibuu) juga tidak cuba dijawab. Naib Presiden parti dan Menteri Pertahanan Zahid Hamidi yang rapat dengan Najib sejak zaman Pemuda, gagal menunaikan janjinya kepada media, untuk menjawab serangan terhadap keluarga bosnya itu semasa ucapan penggulungan, sebaliknya "melambung" Presiden Umno setinggi langit.

Penganalisis politik terkemuka, Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff dalam Facebook sempat membidas: "Saya tidak mengikuti PAU dari dekat tahun ini. Tapi dari berita yang saya baca, dari video Youtube yang saya tonton dan dengar, saya dapati gaya perdebatan perwakilan gagal untuk meletakkan agenda Umno ke depan. Ucapan banyak diisi dengan jenaka, puji memuji pemimpin, semangat kepartian yang tidak ada substance dan retorik basi. Ucapan penggulungan pemimpin juga lemah dan tidak meyakinkan. Jika ini mahu diambil sebagai gambaran tahap persediaan Umno untuk menghadapi PRU13, ini menakutkan!"

Saya tidak pasti apa maksud "menakutkan" bagi Dr Agus. Tidak mungkin beliau "takut" Umno akan hilang kuasa. Atau ia membayangkan bagaimana seorang sarjana dan pemikir seperti Dr Agus sudah merasakan babak Umno-BN menguasai pemerintahan akan berakhir tidak lama lagi

Sunday, 17 June 2012

Umno BN dalam dilema untuk hadapi PRU13


Mohamad Shafiq Rohaizad Buyong, 17 Jun 2012

Dalam dekat ini mood pilihan raya umum ke-13 semakin dirasai. Setiap di antara kita tidak kira ahli politik, pelajar, mahupun orang kampung sedang mencongak tarikh bilakah parlimen akan dibubarkan untuk memberikan laluan kepada PRU13. Walaupun parti pemerintah khususnya UMNO masih lagi berteka-teki berkenaan tarikh keramat tersebut, namun perang bendera antara parti politik sudah pun bermula, tidak kira daripada parti pemerintah mahupun dari parti pembangkang sekali pun.

Hal ini sudah menjadi tanda yang jelas bahawa PRU13 tidak lama lagi, dan boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja atau paling lewat sekali pun pada hujung tahun ini. Dalam misi menongkah perjalanan menuju tarikh PRU13 yang bakal menjelma, setiap parti politik, kerajaan mahupun pembangkang semakin giat memenangi hati rakyat. Dalam keghairahan menuju PRU13, beberapa perkara yang harus diberi perhatian, terutamanya daripada parti UMNO itu sendiri. Hal ini disebabkan, UMNO boleh dikatakan sedang sakit dan harus diubati sebelum PRU13 berlangsung.


UMNO Ketandusan Pemimpin Muda

UMNO boleh dikatakan ketandusan pemimpin-pemimpin muda yang berkaliber, berani, dan berjiwa besar. Itulah yang jelas daripada pandangan perspektif penulis. Persoalannya, dimanakah pemimpin-pemimpin muda UMNO yang lain? Ketua Puteri, Ketua Putera UMNO Malaysia boleh dikatakan sebagai golongan pelapis di dalam legasi kepimpinan UMNO. Dalam hal ini penulis tidak dapat melihat dengan lebih jelas apakah peranan yang dimainkan oleh kedua-dua pemimpin muda ini, adakah sebagai memenuhi jawatan yang beri atau pun mahu menjadi popular dengan jawatan yang disandang.

Dalam ruangan yang terhad ini penulis ingin memuji peranan yang dimainkan oleh saudara Khairi Jamaluddin selaku Pemuda UMNO Malaysia, yang kiranya ketika ini boleh dikatakan antara pemimpin muda UMNO yang menyerlah daripada kalangan pemimpin-pemimpin muda UMNO lain. Tidak keterlaluan jika penulis katakan bahawa sesetengah anak-anak muda, mahupun mahasiswa mulai kagum dengan kredibiliti, karisma, dan keberanian beliau dalam mengurus sesuatu isu. Kekaguman sesetengah anak muda terhadap beliau bermula dengan keberanian Khairi untuk berdebat dengan saudara Rafizi Ramli berkenaan isu PTPTN.

Hal ini disebabkan belum ada lagi dalam kalangan pemimpin UMNO yang sanggup mahupun berani menyahut cabaran untuk berdebat berkenaan isu-isu semasa secara terbuka melainkan debat melibatkan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Datuk Seri Shabery Cheek berkenaan isu harga minyak yang diadakan beberapa tahun lepas di Dewan Syed Nasir Dewan Bahasa dan Pustaka. Bukan lambang parti menjadi pokok perbincangan kali ini, tetapi menjadi kayu ukuran utama ialah penampilan pemimpin muda itu menjadi contoh atau ikon kepada pemimpin-pemimpin muda lain yang untuk terus berani tampil ke hadapan berkongsi idealisme, walaupun idealisme itu bertentangan dengan kehendak masyarakat.

Dalam pada masa yang sama Khairi juga turut aktif dalam memberi respond mahupun maklum balas berkenan isu-isu semasa melibatkan golongan muda mahupun mahasiswa. Isu terbaru yang mendapat perhatian beliau adalah berkenaan pembekuan pinjaman PTPTN terhadap mahasiswa baru unisel. Walaupun pendapat yang diberikan oleh Khair lebih kepada mewakili lidah UMNO/BN namun sekurang-kurangnya beliau berani memainkan peranan sebagai pemimpin muda yang harus peka berkenaan isu-isu semasa terutama melibatkan golongan mahasiswa. Persoalan yang harus dijawab oleh saf kepimpinan UMNO sekarang adalah ke mana menghilangnya pemimpin-pemimpin muda UMNO yang lain? Persoalan atau di leman inilah yang harus ditangani oleh UMNO dengan lebih cermat dan serius sekiranya masih lagi bercita-cita untuk kekal di Putrajaya

Penulis melihat pada ketika ini hanya Perdana Menteri sahaja Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang betul-betul serius untuk memastikan UMNO terus kekal di Putrajaya. Jika kita melihat kepada kedua-dua pemimpin ini mereka bukanlah dalam kalangan pemimpin muda malah boleh dikategorikan sebagai pemimpin yang sudah separuh abad bergelumang dalam kancah politik negara. Siapakah yang ingin memimpin UMNO jika kedua-dua pemimpin ini tidak terdaya lagi? Jika UMNO masih lagi memilih untuk melihat pemimpin muda tidak mampu menerajui kepimpinan parti, terutama saf kepimpinan yang lebih tinggi seperti Majlis Tertinggi UMNO pandangan itu adalah dangkal sama sekali.

Hal ini disebabkan, jika kita melihat kepada kepimpinan Pakatan Rakyat, jelas dan nyata bahawa mereka ramai dibarisi pemimpin-pemimpin muda yang berkaliber seperti Mohamad Azmin Ali Timbalan Presiden PKR, Saifuddin Nasition Ismail Setiausaha PKR, Ustaz Nasaruddin Tantawi Ketua Dewan Pemuda Pas, Dato Seri Nizar Jamaluddin, Shamsul Iskandar Ketua Angkatan Muda PKR dan ramai lagi. Jika diamati nama-nama di atas, barisan pemimpinan ini amat dikenali dalam kalangan anak muda mahu pun mahasiswa. Sebab kenapa? Kerana mereka ini sentiasa mengambil berat dan juga cakna berkenaan isu-isu golongan muda berbanding pemimpin UMNO.

UMNO harus sedar bahawa zaman sekarang bukanlah zaman orang lama untuk terus berkuasa tetapi zaman yang mana orang lama harus memberi laluan orang muda untuk berkuasa. Dalam erti mudahnya orang lama perlu memberi laluan kepada pimpinan muda untuk berada dalam kedudukan mereka sekarang, ini jelas supaya idea dan pembaharuan-pembaharuan dalam parti dapat dilaksanakan, mengikut acuan politik semasa.

UMNO/BN Kurang Idealisme

Ternyata UMNO/BN ketika ini sangat tandus dengan idealisme. Mengapa penulis berkata demikian? Hal ini disebabkan, rakyat khususnya golongan muda ingin melihat serta menilai apakah idealisme atau dasar yang ingin dibawa UMNO/BN pada PRU yang akan datang dan bukannya meminta rakyat memutarkan kembali memori yang mana UMNO/BN pernah berjasa dalam membangunkan negara. Ya, UMNO pernah berjasa pada negara dan orang Melayu suatu ketika dahulu, Itu memang benar. UMNO/BN juga harus sedar bahawa rakyat ketika kini bukan mahu melihat apa yang telah dilakukan oleh UMNO suatu ketika dahulu, walaupun bermanfaat hanya sedikit untuk khabarkan, tetapi yang paling penting rakyat mahu melihat apakah dasar atau pun idea yang ingin dibawa oleh UMNO/BN untuk perancangan 5 atau 10 tahun akan datang.

Hal ini sangat berlainan dengan PR yang mana gabungan PAS, PKR, dan DAP sangat sarat dengan idealisme-idealisme yang membuatkan rakyat berfikir, menilai setiap dasar yang dikemukakan dan dasar itu akan dilaksanakan sekiranya mereka membentuk kerajaan kelak. Perkara inilah yang tiada di dalam UMNO itu sendiri. Mengapa ia terjadi? Hal ini disebabkan PR dibarisi ramai pemimpin muda yang sarat dengan idealisme dan juga memahami jiwa dan kemahuan anak muda seiringan politik semasa, berbanding dengan UMNO yang dibarisi ramai pemimpin sudah mencapai umur separuh abad. Malah, ramai dalam kalangan pemimpin UMNO tidak memahami jiwa-jiwa golongan muda. Sebab itulah golongan muda menjauhi UMNO yang perkiraan mereka UMNO tidak lebih sebuah parti politik untuk orang-orang lama dan veteran sahaja.

UMNO kini boleh digambarkan sebagai baju lama yang telah terlalu usang untuk dipakai. Justeru, baju yang lama yang telah lapuk perlulah diganti dengan baju yang baru dan lebih elok dan mengikut trend semasa. Bukan bermakna baju yang lama harus dibuang begitu sahaja tetapi perlulah diubah suai sedikit supaya bersesuaian dengan peredaran zaman

Sunday, 16 October 2011

BAJET 2012 : Duit RM500 yg Najib bagi tu patut ambik atau tidak..??



RM500 untuk Rakyat dari Bajet Najib... Tapi Rakyat kena ingat bahawa nak dapat duit nie kena pie serah diri di LHDN untuk nak declare yg pendapatan seisi keluarga bawah RM3000.00 jadi jika layak maka dapatlah RM500 itu utk tahun 2012...

TAPI kena ingat tahun 2013 belum tentu dapat lagi kerana ia pemberian ONE OFF sahaja..dan yg penting skrg anda sudah ada nama di LHDN jadi mau tahulah apa LEMBAGA itu akan lakukan kepada anda setiap tahun selepas itu..

Pakat2 pikiaq laa noooo....

Wednesday, 12 October 2011

BOH SIKIT! Lagi Cerita Pasal Politik UMNO Kedah!!?




Lagi-lagi UMNO Kedah, popular betul UMNO Kedah ni..penuh dengan masalah2 baru.

Pentadbiran Kerajaan PAS Kedah, begitu selesa dengan apa yang telah mereka buat dan tidak sedikit pun merasa gusar untuk menghadapi PRU13 yang kian hampir, walaupun rata-rata rakyat Kedah sudah muak dengan janji-janji PRU12 yang tak kunjung tiba.

Insyallah kalau tiada aral melintang, dari apa yang DS Najib bentang dalam belanjawan dan suara-suara halus, sebelum tutupnya tirai 2011 pada tanggal ??/12/2011 PRU13 akan dinobatkan (firasat aku – jangan percaya nanti puak PAS kata ni kerja Syirik bab-bab firasat ni…….). Di saat menghitung hari ini, kancah politik UMNO Kedah masing-masing “ibarat menarik benang dalam tepung…….”.

Sepanjang pengamatan aku di Kedah, geli hati aku melihat kelaku KB, YB, mantan-mantan YB dan langau-langau dok berkeliaran memasang umpan ibarat “kaduk naik junjung”, setidahk-tidaknya “untung batu tenggelam, untung sabut timbul”.

Kalau ini yang berterusan, ucapan DS Najib sempena Majlis Penerangan Perdana Wilayah Persekutuan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), mengingatkan anggota Barisan Nasional (BN) untuk bersiap siaga bagi menghadapi PRU13 akan datang dengan tidak mencipta masalah dan melakukan sabotaj ke atas parti. Rasanya macam di pandang sepi.

SAMBUNG BACA LAGI NAA

Saturday, 8 October 2011

Bujet Najib gagal jaga pekerja swasta


Pakatan: Bajet 2012 gula-gula PRU BN, gagal ‘jaga’ semua lapisan


SHAH ALAM, 8 Okt — Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat Azmin Ali menyifatkan Bajet 2012 sebagai ‘gula-gula’ yang amat jelas bagi Barisan Nasional (BN) untuk meraih sokongan pengundi dalam pilihan raya umum ke-13 tetapi gagal menawan hati semua lapisan rakyat. 
 
“Tidak dapat dinafikan ini adalah bajet pilihan raya, tetapi Pakatan Rakyat (PR) telah bersiap sedia dan melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dengan melancarkan bajet Pakatan,” kata beliau sambil mengulas ketidakadilan kerajaan terhadap golongan swasta.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan Bajet 2012 dengan peruntukan RM232.8 bilion.

“Kita tidak menolak kepentingan kakitangan awam kepada kemajuan negara, sumbangan perkhidmatan awam amat penting, namun begitu tumpuan juga harus diselaraskan kepada semua pihak seperti kita lihat dalam pembentangan hari ini (semalam), tidak ada insentif untuk kakitangan swasta,” jelas beliau.

“Untuk menjana ekonomi, Najib seharusnya memberi keadilan kepada kedua-dua sektor, bukan hanya mengutamakan sebelah pihak untuk diberikan gula-gula pilihan raya dan hanya memberikan tumpuan kepada kumpulan sasaran mereka,” ujarnya lagi.

“Justeru, pertimbangan saksama seharusnya diberi perhatian, terutamanya kepada masyarakat berpendapatan rendah berikutan peningkatan kos sara hidup pada masa kini,” tambah beliau.

Menjelaskan berkenaan keadaan defisit, Azmin (gambar) berkata, Bajet 2012 kerajaan pusat masuk tahun ke-14 dengan mengekalkan amalan tersebut yang dilihatnya sebagai ancaman dalam pembangunan ekonomi negara.

“Masalah fenomena ekonomi global masa kini menuntut pengurusan kewangan tidak dapat dijalankan dalam keadaan bajet berhemah, namun beberapa kaedah harus diberi perhatian seperti kaedah pentadbiran yang cekap, tata kelola yang baik, mengelak ketirisan, dan pengurusan yang cekap, tetapi Perdana Menteri tidak membentangkan perkara ini sewaktu pembentangan bajet,” katanya yang juga Ahli Parlimen Gombak.

“Kerajaan menyasarkan kutipan hasil tahun hadapan berjumlah RM186 bilion tetapi RM181 bilion akan digunakan untuk operasi mengurus manakala baki 50 bilion ringgit akan digunakan untuk tujuan pembangunan,” ujarnya.

Menurut beliau, amalan tata kelola yang baik seharusnya meletakkan bajet pembangunan melebihi bajet bagi perbelanjaan pengurusan tetapi peruntukan bajet kali ini melihatkan peruntukan pengurusan itu melebihi 70 peratus daripada pembangunan.

Peruntukan pengurusan yang melebihi pembangunan akan menjejaskan pendapatan dan ekonomi negara, seterusnya masalah defisit negara tidak akan dapat ditangani.

Azmin melihat pemansuhan yuran persekolahan adalah sesuatu yang amat penting, namun begitu keutamaan seharusnya diberikan kepada pembangunan infrastruktur asas institusi itu sendiri.

“Ini tidak cukup, pendidikan merupakan pelaburan jangka panjang untuk negara, oleh itu, perhatian seharusnya diberikan kepada pembangunan kemudahan asas infrastruktur tersebut, apa yang dapat dilihat, pendemokrasian pendidikan itu tidak wujud dalam pentadbiran Umno-BN, sebaliknya hanya kontrak-kontrak untuk kepentingan kroni,” jelasnya.

“Tiada guna sekiranya kita berikan mereka komputer percuma jika kemudahan asas seperti air bersih dan bekalan elektrik tidak dapat disalurkan kepada sekolah-sekolah ini, terutamanya sekolah di kawasan pedalaman yang masih banyak lagi tidak menerima kemudahan tersebut,” tegasnya.

Mengulas isu gaji minimum untuk rakyat, beliau menjelaskan, adalah penting untuk negara yang mengamalkan konsep ekonomi domestik seperti Malaysia memperkukuh dan merancakkan perbelanjaan dalam negara.

“Lebih 60 peratus ekonomi Malaysia berasaskan aktiviti eksport dan sekiranya ekonomi domestik negara tidak kukuh, prestasi ekonomi akan terjejas dan keupayaan berbelanja dan menyimpan rakyat menjadi terhad,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, penetapan gaji minimum, menurut beliau, adalah perlu bagi meningkatkan kuasa beli pengguna.

Oleh yang demikian, katanya, bajet Pakatan Rakyat mengenai gaji minimum bakal menjanjikan keselesaan kepada rakyat dan beliau melihat kerajaan pusat gagal melaksanakan perkara itu ketika pembentangan bajet semalam.

“Bagaimana rakyat nak berbelanja sekiranya pendapatan mereka lemah?” katanya.
Oleh yang demikian, beliau meminta agar rakyat melihat secara komprehensif tentang bajet yang dibentangkan dan tidak hanya memfokus kepada satu dua perkara yang dilihat sebagai gula-gula pilihan raya BN.

Sunday, 2 October 2011

Guen Eng bukan saja kena mohon maaf tapi kena masuk MCA baru puak songkok 3 jengkal akan puas hati..!!


Walaupun Guan Eng telah mohon maaf, rupa-rupanya Guan Eng terlupa ada satu lagi......alahai.....

Gambar hanya sebagai hiasan

Memang saya dah agak, hatta Guan Eng menangis air mata darah sekalipun merayu-rayu memohon maaf, puak-puak songkok tiga jengkal ini akan tetap memainkan isu ini lagi dan lagi.

Pada halnya memang sudah jelas Guan Eng sudah mohon maaf seperti DI SINI .


Soal keikhlasannya adalah perkara dalam hati.

Apa, selama ini adakah anda ingat puak-puak songkok 3 jengkal ini ikhlas menolong anda? Terpulanglah kepada anda untuk mentafsirnya jika anda betul-betul ikhlas. [sumber .]

Kenapa puak-puak ni masih memekak hinggakan Mahathir pun masih membebel lagi.

Tapi kita maafkan Mahathir kerana sifat dia sebagai seorang yang sudah lanjut usia tapi masih lagi perasan berkuasa......jadi bila di acah oleh pencacai-pencacai......maka mengomellah dia.

Mungkin Mahathir sudah lupa (nyanyuk?) atau buat-buat lupa bahawa dia masih lagi ber'hutang'.....beliau masih belum memohon maaf dengan Raja-Raja Melayu kerana Mahathirlah yang bertanggungjawab menarik kekebalan Raja-Raja Melayu dalam krisis Perlembagaan 1993 seperti DI SINI dan kepada rakyat Malaysia dalam krisis Perlembagaan 1988 seperti DI SINI .

Konklusinya, Guan Eng tidak dikira memohon maaf atau dalam bahasa yang lain Guan Eng perlu memohon maaf dengan puak-puak di bawah ini barulah beban Guan Eng ter'lepas' kerana puak-puak ini merasakan dirinya yang paling ber'KUASA' di Malaysia.

Itulah puak-puak songkok 3 jengkal yang dibangsakan Umno.

al-brangionline:

Orang Melayu perlu mengikiskan stigma bahawa Umnolah yang paling berkuasa di bumi Malaysia ini.

Ubahlah segera......Umno perlu diganti di PRU13 nanti.
http://al-brangionline.blogspot.com/2011/10/walaupun-guan-eng-telah-mohon-maaf-rupa.html