Showing posts with label PRU-13. Show all posts
Showing posts with label PRU-13. Show all posts

Saturday, 15 December 2012

Betul ke Belia Malaysia sokong kerajaan BN?



Majoriti belia berumur antara 17 hingga 35 tahun di negara ini menyatakan rasa puas hati dan berikrar menyokong hala tuju yang dibawa kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika ini.

Perkara itu didedahkan The Asia Foundation menerusi kaji selidik terbaharu mereka ke atas 2,012 belia seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak untuk tempoh April hingga Jun lalu.

Wakil negara The Asia Foundation, Anthea Mulakala berkata, kajian yang bertujuan mengetahui pandangan belia terhadap negara itu mendapati, sebanyak 48 peratus daripada mereka meletakkan kepercayaan Malaysia sedang bergerak ke arah yang betul manakala 88 peratus belia dari Sarawak pula lebih optimis terhadap hala tuju negara.

"Faktor ekonomi yang stabil, aman dan harmoni, kemajuan teknologi, peluang pekerjaan dan kaedah menangani jenayah yang lebih baik adalah punca utama sejumlah 58 peratus belia bersetuju kerajaan hari ini adalah yang terbaik.

"Bagaimanapun terdapat belia beranggapan, jika faktor jenayah dan penderaan, tekanan disebabkan pekara-pekara tertentu dalam kalangan rakyat, sukar mendapat pekerjaan dan sistem pilihanraya yang tidak seimbang terus dipandang remeh, maka sokongan terhadap kerajaan BN boleh menjadi sebaliknya," katanya kepada pemberita hari ini.

Sementara itu, Anthea berkata, kajian sama turut dilakukan ke atas peratusan daftar pemilih dalam kalangan belia yang mendapati golongan berumur antara 21 hingga 22 tahun merupakan kumpulan paling sedikit mendaftar sebagai pengundi.

Namun katanya, lebih menarik sebanyak 73 peratus daripada belia yang terpilih iaitu bermula umur 25 tahun ke atas memperlihatkan peningkatan menjadi pengundi dalam pilihan raya umum ke-13.

Jelas beliau, belia di Utara mencatat jumlah tertinggi penambahan penggundi baharu iaitu sebanyak 60 peratus manakala belia Wilayah Persekutuan dan Timur mencatat jumlah terendah iaitu masing-masing sebanyak 49 dan 44 peratus.

Beliau berkata, menurut hasil kaji selidik itu faktor tertinggi menyebabkan masih ramai golongan belia tidak daftar mengundi kerana tidak mempunyai masa dan benci kepada politik.

"Selain itu, faktor tidak pasti terhadap proses mendaftar dan tidak tahu dimana untuk mendaftar merupakan alasan kedua tertinggi golongan belia gagal menjadi pengundi," katanya.

Wednesday, 7 March 2012

PAS Johor sasar menang 17 kerusi

Nazri Abdullah,07 Mac 2012

KUALA LUMPUR, 7 Mac: PAS Johor mensasarkan sekurang-kurangnya 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk dimenangi pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Mazlan Aliman (gambar) berkata, sasaran itu ditetapkan berdasarkan perubahan positif rakyat negeri itu yang kini menyambut baik Pakatan Rakyat khususnya PAS yang disifatkan 'tidak pernah berlaku sebelum ini'.

Menurutnya, melihat mood positif rakyat, beliau bukan sahaja yakin PAS boleh menang di kerusi sasaran itu, malah Pakatan Rakyat secara keseluruhan juga tidak mustahil akan menerajui negeri itu.

"Kita (PAS) kini sedang fokus kepada 17 Dun sasar.

"Mungkin orang kata saya bermimpi, atau angan-angan, tapi dengan sambutan kepada kita pada waktu ini, saya yakin kejutan akan berlaku, Johor mungkin jatuh kepada Pakatan Rakyat," katanya kepada Harakahdaily.

Pada PRU ke-12 lalu, PAS bertanding 39 daripada keseluruhan 56 kerusi, manakala PKR dan DAP masing-masing 9 dan 12 kerusi.

Dari jumlah ditandingi itu itu PAS hanya menang di dua kerusi iaitu di Dun Maharani dan Sungai Abong.

Menurut Mazlan lagi, perbezaan ketara sokongan rakyat Johor terhadap Pakatan rakyat berbanding 2008 boleh dilihat dengan sambutan terhadap program-program mereka di negeri itu sejak kebelakangan ini.
Sambutan luar biasa itu katanya, telah menyebabkan ada pihak 'tak senang duduk' sehingga mengupah kumpulan tertentu mengganggu dan membuat kecoh khususnya di ceramah-ceramah anjuran mereka.

Manifesto 15 perkara dasar


Menurut Mazlan lagi, PAS Johor juga telah selesai berbincang berhubung manifesto pilihan raya peringkat negeri yang akan ditawarkan.

Tanpa menjelaskan secara terperinci, beliau berkata ianya menggariskan 15 perkara dasar antara lain tawaran penyelesaian masalah tanah dan tawaran pengurusan pentadbiran lebih baik.

"Kita telah siap seminar manifesto, dan sedang timbang dengan PKR dan DAP.

"Kita yakin menifesto ini akan menjadi kekuatan utama kita untuk ambil Johor," katanya lagi.

Muhyiddin mula gusar

Mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya Johor masih 'tiang seri' BN pada PRU-13 akan datang, Mazlan berkata, ia sebenarnya menggambarkan kebimbangan timbalan perdana menteri itu.

"Kenyataan Muhyiddin tu menggambarkan kebimbangan beliau.

"Saya nak bagi tahu (kepada Muhyiddin), 'tiang seri' itu sudah dimakan anai-anai. Bila-bila pun boleh patah," katanya yang juga AJK PAS Pusat

Menurut Mazlan lagi, beliau mendapat maklumat Umno sememangnya gusar dengan kedudukan mereka di Johor sekarang ini.

Katanya, tidak pernah selama ini, Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman turun berkampung di setiap kawasan parlimen seperti yang terpaksa dilakukan sekarang ini.

Malah katanya, selepas lawatan Muhyiddin semalam, Najib pula dijangka turun ke Johor dalam masa terdekat.

"Orang Johor ni dia pandai, dia senyap-senyap sahaja, dia tak tunjuk sokong kita," jelasnya.

Sejauh mana pengundi muda penentu PRU-13?

http://tips-tips.info/wp-content/uploads/2011/07/orang-muda.jpg
KUALA LUMPUR - Pengundi muda merangkumi 38.8 peratus atau 4.5 juta daripada lebih 12 juta pengundi di negara ini, dan persoalan sekarang ialah sejauh mana mereka ini mampu menjadi penentu keputusan pilihan raya umum ke-13 nanti.

Pemerhati politik Prof Datuk Dr Zainal Kling berpendapat kenyataan bahawa pengundi muda adalah penentu agak "samar" berdasarkan pelbagai faktor antaranya kesukaran menentukan sokongan pengundi itu.

"Kenyataan itu barangkali betul dan barangkali tidak. Kebanyakan pengundi muda ini 'atas pagar', sukar hendak pastikan mereka sokong satu parti sahaja untuk tentukan parti itu menang. Kita juga lihat 3.7 juta rakyat di negara ini gagal mendaftar sebagai pengundi dan sebahagian besar daripada mereka golongan muda. Bila tidak daftar bagaimana hendak jadi penentu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Zainal, yang juga Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Universiti Pendidikan Sultan Idris, berkata generasi muda perlu diberi pendedahan yang luas kepada politik agar mereka berminat untuk mengundi.

Beliau berkata pendekatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menggunakan media baru bagi menarik sokongan generasi muda, wajar dicontohi semua parti politik dalam meraih sokongan golongan ini.

Seorang lagi pemerhati politik Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berpendapat pengundi muda memainkan peranan yang penting pada PRU-13 nanti, namun mereka bukanlah faktor penentu keputusannya.

"Undi mereka antara undi menentukan siapa memerintah, namun sukar mengatakan mereka penentu melainkan ada tinjauan demografi tepat dan kita tahu siapa yang pengundi muda ini pangkah. Malah sukar kita hendak tahu golongan mana faktor penentu kerana tidak semestinya semua golongan lebih dewasa akan memangkah parti sokongan mereka pada PRU-13, pengundi dewasa ada juga 'atas pagar' seperti pengundi muda," katanya. Zainal Abidin, yang juga Pengarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, berkata media baru dan faktor "anak tempatan" turut memainkan peranan penting pada PRU-13 nanti.

"Media baru sama penting dengan media lama, cuma media baru ini lebih digemari pengundi muda. Faktor 'anak tempatan' ini kita lihat pada Naib Presiden Pas Salahuddin Ayub sukar diterima di Kelantan kerana bukan anak tempatan," katanya.

Presiden Majlis Belia Malaysia Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata pengundi dewasa terikat dengan sentimen mengenang jasa dan kepartian, berbeza dengan pengundi muda yang dilihat lebih bebas dalam menentukan sokongan mereka.

"Sokongan pengundi dewasa lebih untuk jangka masa lama, pengundi muda sokongan mereka lebih bersifat jangka pendek di mana mereka menilai dasar parti, sikap pemimpin dan isu semasa. Paling utama mereka sokong berdasarkan kredibiliti calon, mereka sandarkan harapan kepada calon yang boleh beri inspirasi dan menjamin masa depan. Mereka tidak meletakkan sokongan berdasarkan politik kepartian," katanya.

Mohamed Maliki berkata generasi muda lebih menyukai media baru kerana media itu memberikan interaksi pelbagai hala kepada mereka.

"Mereka perlu informasi sepanjang masa. Mana-mana calon yang masih lambat menggunakan media baru ini, contohnya tiada akaun Facebook dan blog, akan lihat markahnya kurang pada PRU akan datang," katanya.

Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Mua'amar Ghadafi Jamal Jamaludin, berkata wujud perbezaan dalam fokus penilaian antara pengundi muda di bandar dan luar bandar.

"Pengundi muda luar bandar fokus mereka lebih kepada isu tempatan seperti bagaimana hendak membantu golongan nelayan dan petani, pengundi bandar pula lebih fokus kepada isu semasa dan pentadbiran sesebuah kerajaan. Pengundi bandar fokus kepada isu seperti ekonomi negara, dasar luar dan pelbagai lagi. Mereka juga fokus kepada bagaimana kerajaan tangani sesuatu isu sosial seperti masalah remaja," katanya.

Pelajar Kejuruteraan daripada Universiti Industri Selangor, Mohd Faizal Ramli, 27, berkata agak sukar menentukan adakah pengundi muda penentu PRU-13 kerana pengundi ini mempunyai sokongan yang berbeza antara satu sama lain.

"Ada kajian (oleh Pemuda Barisan Nasional) kata 62 peratus pengundi muda ini tidak menyokong sesiapa, mereka akan tentukan pendapat mereka ketika mahu mengundi nanti. Ini menunjukan pengundi muda ini tidak mempunyai sokongan yang satu, mereka punyai sokongan yang pelbagai," kata Mohd Faizal yang akan mengundi buat kali kedua di kawasan Parlimen Ayer Hitam dan Dewan Undangan Negeri Yong Peng di Johor.

Pendapat itu dikongsi petugas media Dhamirah Atiqah Mohd Norzin, 25, namun beliau menegaskan pengundi mudalah yang menentukan siapa yang memerintah untuk jangka masa panjang.

"Semua pengundi di negara ini bermula sebagai pengundi muda. Pengundi muda ini lama kelamaan akan menjadi pengundi dewasa dan diganti dengan pengundi muda lain. Maka penting bagi parti politik untuk menarik sokongan bermula daripada pengundi muda kerana kita akan bawa sokongan itu sehingga jadi pengundi dewasa," kata Dhamirah Atiqah yang akan mengundi buat pertama kali bagi kerusi Parlimen Kota Melaka dan kerusi Dewan Undangan Negeri Kesidang di Melaka. - Bernama