Saturday 15 December 2012

Memerdekakan polis dari gangguan Umno


Oleh Subky Latif

BETAPA polis dipandang rendah oleh masyarakat disebabkan gangguan orang politik telah didedahkan oleh Tan Sri Musa Hasan yang baru setahun jagung bersara dari Ketua Polis Negara.

Lebih dari sekali dia bersungut tentang campuran tangan orang politik mengganggu polis menjalankan tugasnya.

Jika sekadar sekali dua atau sekali sekala gangguan itu berlaku, tentu pegawai polis yang diketahui tinggi disiplinnya terhadap kerajaan tidak akan bersungut secara terbuka kepada umum.

Dia tidak menamakan orang politik mana yang campur tangan kerja polis itu, tetapi tentulah bukan PAS, PKR dan DAP walaupun kumpulan pembangkang itu sering mengkritik polis yang dikatakan tidak profesional menjalankan tugas.

Jika mereka yang mengganggu kerja polis itu sudah lama semua pemimpin pembangkang diseret ke mahkamah seperti yang dilakukan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pertuduhan menghalang polis menjalankan tugas. Sudah tentu ramai mereka telah dipenjarakan.

Siapa yang dituduh oleh Musa Hasan itu? Tentulah UMNO.


Memang persepsi umum merasakan orang kuat UMNO cawangan-cawangan lebih berkuasa dari Ketua Polis Daerah terutama dalam menangani urusan politik dengan pembangkang. Hingga payah hendak ditentukan sikap pihak berwajib terhadap Bersih yang tiga kali itu adakah keputusan polis atau keputusan UMNO?

Tujuan Musa membuat pendedahan itu bagi memulihkan persepsi rendah umum terhadap polis. Diakuinya pula, bukanlah senang hendak membetulkan semula imej polis disebabkan belenggu yang dihadapi polis itu bukanlah baru, bahkan sudah berlarutan.

Ada tanggapan Musa sudah dirasuk politik kerana dia menyatakan tidak puas hatinya itu pada saat UMNO/BN dikecam kiri kanan menjelang PRU13 ini. Hingga ada yang merasakan dia hendak masuk politik. Ada pula kononnya, ada parti politik mempelawa dia masuk politik.

Berkali-kali ditegaskannya dia tidak akan menyertai politik, tetapi apa yang dibuatnya sekadar mahu memebaskan polis dari gangguan politik tentunya UMNO dan mahu memulihkan persepsi buruk umum terhadap polis.

Musa memang mendapat perhatian dan sokongan masyarakat yang mahu semua perkhidmatan negara mendapat kebebasan profesional dalam menjalankan tugas masing-masing.

Ketika rencana ini ditulis belum ada reaksi rasmi kerajaan terhadap pendedahan Musa itu. Seperti sah sekarang polis dibelenggu oleh UMNO bagai persepsi kebanyakan orang bukan UMNO.

Adakah yang tidak suka dengan belenggu itu hanya Musa saja? Semua bekas polis dan anggota polis suka mereka dibelenggu? Mungkin orang yang dibelenggu itu tidak rasa mereka dibelenggu dan kalau dibelenggupun tidak mengapa kerana ia dilakukan oleh parti kerajaan. Kalau mereka tidak merasa malu kerana setia membabi buta kepada UMNO, tetapi polis Malaysia mesti malu kepada polis dunia yang negara masing-masing memberi kemerdekaan kepadanya berkhidmat secara profesional.

Kata Musa, bukan mudah untuk memulihkan kebebasan polis itu. Memang benar kiranya Malaysia terus dikuasa oleh UMNO. Polis jangan harap UMNO dan BN boleh mengubah nasib polis. Mereka sudah sedap pegawai-pegawai polis itu tunduk kepada orang kuat akar umbi UMNO.

Tuhan tidak akan mengubah nasib polis kiranya polis tidak mengubah nasibnya sendiri.

Musa sudah ada kesedaran itu. Tetapi dia sendiri menghadapkan supaya UMNO mengubah sikap terhadap polis. Musa kata, payah hendak mengubahnya.

Ia tidak payah seperti yang Musa sangka. Amat senang. Dan inilah masanya maruah polis dipulihkan iaitu memerdekakannya dengan polis tidak mengundi Barisan Nasional dalam PRU13 yang sudah dekat itu.

Kalau tok nenek polis dan anak cucu polis tidak mahu polis terus dibelenggu macam lembu Kedah, hari mengundi nanti jangan undi dacing. Pastikan kotak undi pos anggota polis itu kosong untuk BN. Kerajaan menunggu tidak akan membelenggu polis.

Mari sokong Musa memerdekakan profesionalisma kepolisian!

No comments:

Post a Comment